
Edu Banun – Sinar Harapan Buat Anak-Anak Orang Asli
AIR BANUN, GERIK, 25 Mei 2025 – Di sebalik kehijauan hutan dan kehidupan sederhana masyarakat Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, sinar harapan kini semakin terang buat anak-anak kecil yang dahulunya jauh daripada arus pendidikan. Program Edu Banun anjuran HALUAN Malaysia telah membuktikan bahawa usaha yang berterusan mampu mengubah masa depan komuniti yang terpinggir.
Dilancarkan lima tahun lalu, program Edu Banun merupakan inisiatif khidmat bakti HALUAN bagi mentransformasikan kehidupan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan. Menggunakan pendekatan didik hibur yang lebih mesra dan mudah difahami, program ini memberi fokus kepada kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan bukan sahaja kepada anak-anak, malah kepada ibu bapa mereka.
Hasil daripada kerjasama erat antara HALUAN, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), kepimpinan kampung, Pengurus RPS Air Banun, pihak sekolah serta sokongan komuniti setempat, seramai 10 orang anak orang asli kini telah berjaya menjejak kaki ke alam persekolahan secara konsisten — satu pencapaian yang amat membanggakan dan luar biasa untuk komuniti terpinggir ini.
Sebagai tanda penghargaan, para pelajar dan keluarga mereka telah diraikan dalam satu majlis khas penyampaian hadiah oleh Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia, Encik Abdul Halim Khudri. Suasana majlis penuh syahdu itu menyaksikan air mata kegembiraan dan kesyukuran daripada ibu bapa yang tidak pernah menyangka anak-anak mereka akhirnya mampu mencapai kejayaan sedemikian.
Menurut Tok Penghulu Kampung Air Banun, Encik Cheknekleg, seluruh kampung menyambut baik bimbingan dan sokongan pendidikan daripada HALUAN. “Kami amat bersyukur dan berterima kasih atas segala tunjuk ajar. Anak-anak kami kini punya semangat untuk belajar, dan ibu bapa mula sedar betapa pentingnya ilmu untuk masa hadapan,” katanya.
HALUAN menyeru lebih banyak agensi kerajaan, swasta dan NGO agar turut serta dalam usaha mengangkat martabat pendidikan dan sosio-ekonomi masyarakat orang asli yang masih tertinggal daripada arus pembangunan. Impian HALUAN adalah untuk melihat anak-anak ini menjadi generasi pertama dari kampung berkenaan mengorak kejayaan; bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran, malah menjadi contoh dan pemangkin perubahan kepada komuniti mereka sendiri.
Bagi meneruskan usaha murni ini, HALUAN amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi memastikan kesinambungan program-program swadaya komuniti seperti Edu Banun dapat diteruskan.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Bank: Maybank Islamic Berhad
No. Akaun: 5572 5006 2982
Nota: “Edu Banun“
Setiap ringgit anda mampu menyalakan harapan, membuka jalan dan mengubah nasib mereka yang dahulunya terpinggir. Marilah kita menjadi sebahagian daripada agen perubahan ini.


—
Laporan Abd Halim Khudri, Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia