Semangat Aidilfitri Kukuhkan Ukhuwah dan Solidariti

Semangat Aidilfitri Kukuhkan Ukhuwah dan Solidariti

Semangat Aidilfitri Kukuhkan Ukhuwah dan Solidariti

BANDAR BARU BANGI, 29 Apr 2025 – HALUAN Malaysia telah menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri 1446H di pekarangan ibu pejabatnya di sini semalam dalam suasana penuh kesyukuran dan kemeriahan Syawal.

Dengan tema “Palestin di Hati“, majlis berkenaan menjadi wadah memupuk perpaduan, menyuburkan kasih sayang sesama insan serta menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin. Kehadiran para tetamu daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jiran sekitar menyemarakkan lagi suasana dan menjadi simbol kekuatan ukhuwah yang terjalin.

Antara tetamu kehormat yang hadir memeriahkan majlis termasuklah YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin; Ketua Pengarah Eksekutif Red A, Datin Azura Ibrahim; serta wakil-wakil daripada pelbagai NGO tempatan dan antarabangsa seperti NAMA Foundation, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Yayasan Maghfirah, ISMA, Yayasan Ikhlas, SALWA Malaysia, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) dan Islamic Relief Malaysia (IRM). Wakil NGO dari Palestin dan Turkiye turut menunjukkan solidariti dengan kehadiran mereka.

Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman bersama barisan pimpinan utama termasuk Setiausaha Agung, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin serta ahli EXCO Pusat turut menyantuni tetamu, menyemai kemesraan dan menyampaikan penghargaan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Pelbagai juadah tradisional seperti nasi berlauk, sate, lemang, rendang dan kuih-muih disajikan, menyerikan lagi kemanisan majlis sambil tetamu beramah mesra dalam suasana penuh kekeluargaan.

Di kesempatan majlis ini juga, HALUAN Malaysia mempromosi Program Ibadah Korban HALUAN 1446H di mana pelaksanaan ibadah sunat muakkad itu akan dilaksanakan bersama komuniti Islam yang sangat memerlukan bantuan seperti minoriti Muslim di Vietnam, pelarian di Somalia, Yaman dan Syria, komuniti mualaf di Filipina dan juga masyarakat terpinggir di Sabah. Sebanyak 19 buah negara menjadi sasaran korban Aidiladha HALUAN tahun ini.

HALUAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menyumbang dalam menjayakan majlis berkenaan. Semoga jalinan ukhuwah yang terbina terus berkembang dan menjadi asas kukuh dalam memperkasa usaha bersama demi kesejahteraan ummah dan masa depan yang lebih cemerlang.

Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia