
Mahasiswa B40 IPGKRM Terima Pakaian Raya Percuma, Hamper Ramadan
SEREMBAN, 25 Mac 2025 – Tidak semua mahasiswa terdiri daripada keluarga yang mampu. Atas faktor itu, menjelang Hari Raya ini Institut Perguruan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) di sini telah menganjurkan program khas “Free Market dan Sumbangan Hamper Ramadan Siswa IPGKRM B40” yang diadakan di Balai Kerapatan, Kampus IPGKRM, Sikamat semalam.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban golongan asnaf, khususnya mahasiswa dan mahasiswi daripada keluarga B40, dalam melalui bulan ramadan dan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Program buat kali ketiga ini dianjurkan dengan kerjasama HALUAN cawangan Negeri Sembilan, Pertubuhan Titian Wanita Negeri Sembilan (PERTIWI), Alumni Perguruan Raja Melewar, Biro Kebajikan dan Sosial IPGKRM serta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 25/26.
Para mahasiswa dan mahasiswi terbabit menerima sumbangan pakaian percuma termasuk baju Melayu, tudung, beg tangan, kasut serta pelbagai barangan keperluan hari raya secara percuma. Program ini juga turut menyampaikan bakul ramadan kepada 71 penerima daripada golongan B40 yang mengandungi barangan keperluan asas, sekaligus memberikan mereka peluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga dengan lebih ceria.
Selain itu, program ini dimeriahkan dengan majlis berbuka puasa bersama semua penerima sumbangan. Suasana penuh ukhuwah ini membolehkan semua peserta berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama.
Timbalan Pengarah IPGKRM, Dr. Nirwana Mohd. Rashid dalam ucapan aluan beliau mengajak semua pihak untuk terus berganding bahu dalam membantu mereka yang memerlukan. “Mungkin ada pelajar yang masih belum membeli baju raya, dan dengan adanya program ini mereka dapat memilih baju raya secara percuma,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Timbalan YDP HALUAN Negeri Sembilan, Encik Abd Halim Ahmad; wakil ALUMNI Perguruan Raja Melewar, Datin Hajah Musalmah Salleh; serta Ketua-Ketua Jabatan IPGKRM.
Seorang siswi semester kedua, Cik Nurul Ain Natharudin, 19, berkongsi pengalamannya selepas menerima sumbangan. “Kualiti baju ini sangat cantik dan nampak baharu. Baju kurung ini bukan sahaja boleh dipakai untuk raya, tetapi juga untuk ke kelas nanti,” ujar beliau dengan gembira.
Program ini jelas menunjukkan semangat kerjasama dan keprihatinan yang tinggi di kalangan komuniti IPGKRM, serta sokongan daripada pelbagai pihak untuk memastikan mahasiswa yang memerlukan tidak tercicir dalam menyambut bulan ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.






—
Laporan Shahruddin Shafri
Setiausaha HALUAN cawangan Negeri Sembilan