Bengkel Dai Berjiwa Besar: Membentuk Generasi Dakwah Silang Budaya Mampan

Bengkel Dai Berjiwa Besar: Membentuk Generasi Dakwah Silang Budaya Mampan

Bengkel Dai Berjiwa Besar: Membentuk Generasi Dakwah Silang Budaya Mampan

BANDAR BARU BANGI, 24 Feb 2025 – HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Fitrah (BHF) telah menganjurkan “Bengkel Dai Berjiwa Besar: Program Kader Dakwah Siri 1” dalam usaha memperkasa dakwah yang inklusif dan berkesan di Malaysia. Bengkel berlangsung selama dua hari di Kolej Teknologi Darulnaim Cawangan Kuala Lumpur (KTDKL) mulai 22 Februari, berakhir semalam.

Seramai 50 peserta dari seluruh negara telah berhimpun bertujuan melatih kader dakwah dengan kemahiran berkomunikasi dan berdakwah dalam masyarakat berbilang budaya dan agama. Program ini juga memberi penekanan pada pentingnya membina jaringan kerja berpasukan yang kuat dan menghasilkan modul latihan yang relevan untuk mempertingkatkan kompetensi di kalangan pendakwah masa kini.

Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan dengan sesi-sesi interaktif bersama panel yang berpengalaman. Sesi pertama bertajuk Peranan Individu dan NGO dalam Dakwah Silang Budaya telah disampaikan oleh Ketua Biro HALUAN Palestin, Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman, bersama Pengurus Pembangunan Program HALUAN Malaysia, Encik Mohd Jamil Muda. Dalam sesi ini, mereka menekankan pentingnya penglibatan individu dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk memperluaskan dakwah dengan lebih efektif. Menurut Mohd Jamil, salah satu faktor kegagalan dakwah masa kini adalah kurangnya penguasaan bahasa yang digunakan oleh masyarakat sasaran, seperti bahasa Mandarin.

Sesi kedua yang bertajuk Globalisasi Dakwah Silang Budaya telah disampaikan oleh Pengasas Japan Da’wah Center merangkap Presiden Japan Muslim Foundation, Encik Zukarnain Hasan Basri. Beliau berkongsi pengalaman dan strategi dakwah di negara bermasyarakat majmuk, khususnya di Jepun, dalam menghadapi cabaran globalisasi. Zulkarnain turut menyoroti budaya masyarakat Jepun yang boleh dicontohi, seperti tidak membazir dalam urusan kewangan dan makanan serta memberi lebih daripada apa yang diterima.

Sesi seterusnya, Amalan Baik dalam Pengurusan Dakwah Silang Budaya, dikendalikan oleh Pengerusi BHF cawangan Kedah, Encik Wan Mohamed Yusfi Mohd Abdoh, dan Ketua BHF Pusat, Puan Nurasna Abd Halim. Mereka berkongsi amalan terbaik dalam menguruskan organisasi dakwah secara sistematik, serta menyentuh isu-isu dalam menangani cabaran golongan mualaf.

Hari kedua bengkel dimulakan dengan sesi Keseimbangan Kekuatan Ruhiyah dan Organisasi, yang disampaikan Pengasas Sahabat Al-Aqsa dan Institut Al-Aqsa dari Indonesia, Encik Dzikrullah Pramudya. Beliau menekankan pentingnya keseimbangan antara kekuatan rohani dan pengurusan yang baik dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah.

Bengkel diteruskan dengan sesi perancangan strategik dakwah silang budaya oleh aktivis BHF cawangan Putrajaya, Encik Mohd Taib Pardi. Melalui sesi ini, para peserta terlibat dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memberikan mereka peluang untuk mengaplikasikan strategi dakwah yang telah dipelajari.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua BHF Pusat, Dr. Basir Towil. Beliau menggariskan kepentingan kesinambungan dalam usaha dakwah dan pembinaan jaringan yang lebih luas dalam masyarakat. Hal ini bertujuan untuk memastikan dakwah silang budaya dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan meluas.

Kesimpulannya, Bengkel Dai Berjiwa Besar: Program Kader Dakwah Siri 1 telah mencapai matlamat utamanya untuk memberikan kesedaran, kefahaman, dan kemahiran kepada peserta dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah kepada masyarakat bukan Islam dan golongan mualaf.

Program ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada peserta. “Saya sangat bertuah dapat menyertai bengkel ini. Banyak ilmu baru yang saya peroleh, terutama dalam berdakwah kepada masyarakat berbilang budaya,” kata Cik Salsabila Noor Azmi yang mewakili HALUAN cawangan Negeri Sembilan.

Cik Nur Adelina Abdullah, seorang mualaf yang mewakili HALUAN cawangan Kuala Lumpur mengulas, “Program ini sangat bermanfaat dalam meningkatkan kemahiran saya berdakwah kepada golongan bukan Islam. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan lebih ramai yang dapat menyertainya.” Manakala wakil dari Melaka, Encik Mohd Asyraf Arifin berkata, “Saya sedar bahawa setiap orang mempunyai amanah untuk berdakwah, termasuk kepada golongan bukan Islam. Untuk menjalankan kerja dakwah dengan berkesan, perlunya strategi yang jelas serta kekuatan rohani.

Dengan kejayaan penganjuran bengkel ini, HALUAN Malaysia berharap lebih ramai kader dakwah akan dapat menyumbang kepada pembangunan dakwah silang budaya di negara ini. Program seperti ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan harmoni antara masyarakat pelbagai bangsa dan agama serta menyebarkan kebenaran Islam dengan cara yang lebih berkesan.


Laporan Adlina Selamat
Unit Dokumentasi Bengkel Dai Berjiwa Besar: Program Kader Dakwah Siri 1