fbpx

TAKZIAH DI ATAS KEMBALINYA SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI KE RAHMATULLAH

TAKZIAH DI ATAS KEMBALINYA SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI KE RAHMATULLAH

TAKZIAH DI ATAS KEMBALINYA SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI KE RAHMATULLAH

Umat Islam kehilangan seorang ulamak dan cendekiawan besar dengan pemergian Syeikh Yusuf al-Qaradawi, yang dilaporkan meninggal dunia di Doha semalam, 26 September, pada usia 96 tahun.

Seluruh warga HALUAN amat berdukacita dengan pemergian beliau. Semoga Allah SWT mengangkat beliau ke darjat tertinggi, dan mengumpulkan beliau bersama para nabi, shiddiqun, syuhada dan orang-orang soleh.

Allahyarham al-Qaradawi, dikenali sebagai seorang mujtahid di era moden ini, dilahirkan di sebuah desa kecil bernama Shafth Turaab di tengah Delta Sungai Nil, Mesir, pada 9 September 1926.

Menjelang usia 10 tahun, beliau sudah hafal al-Quran. Setelah menamatkan pendidikan di Maahad Thantha dan Maahad Tsanawi, al-Qaradawi melanjutkan pelajaran di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar. Seterusnya beliau meraih PhD pada tahun 1972, dengan disertasi “Zakat dan Pengaruhnya dalam Penyelesaian Masalah Sosial”, yang kemudian disempurnakan menjadi Fiqh Zakat.

Allahyarham al-Qaradawi berhijrah ke Qatar pada tahun 1961, dan di sana beliau mendirikan Fakulti Syariah di Universiti Qatar. Pada masa yang sama, ia juga mendirikan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi.

Ulamak kontemporari yang produktif ini telah menulis sekitar 200 buah buku mengupas isu dan realiti semasa. Di antara tulisannya yang kekal memberi panduan kepada umat Islam termasuklah al-Halal wa al-Haram fil Islam (Halal dan Haram Dalam Islam), Fatawa Mu’ashirah (Fatwa-Fatwa Semasa), Taysir al-Fiqh: Fiqh Shiyam (Fikh Puasa), Fiqh at-Taharah (Fikh Kebersihan), Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqa (Fikh Nyanyian & Muzik), Fiqh al-Aqaliyyat al-Muslimah (Fikh Minoriti Muslim), Min Fiqh-Daulah al-Islam (Fikh Kenegaraan), Fiqh al-Zakat (Fikh Zakat), Bay’u al-Murabahah li al-Amri bi al-Shira (Sistem Jual Beli al-Murabahah) dan puluhan yang lain, tidak termasuk makalah dan tulisan-tulisan lainnya, yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham dan menganugerahkan sebaik-baik ganjaran dari sisiNya. Amiin. Al-Fatihah..

__
Join Broadcast List HALUAN
http://broadcasthaluan.wasap.my