
SBR : Lebih 700 Asnaf Pakistan Terima Tajaan Iftar dan Pek Makanan
KARACHI, 27 Mac 2025 – Satu acara yang penuh bermakna bagi golongan yang amat memerlukan telah diadakan selama dua hari di Surjani Town, di sini yang berakhir semalam. Lebih 700 golongan asnaf menerima bantuan melalui program iftar dan agihan pek makanan Ramadan hasil sumbangan masyarakat Malaysia melalui program Sejuta Barakah Ramadan (SBR) 6.0 anjuran HALUAN Malaysia.
Seramai 200 anak yatim, 220 balu dan wanita, serta 300 pekerja buruh, mereka yang masih mencari pekerjaan, dan golongan gelandangan telah menghadiri program ini. Mereka bukan sahaja dijamu dengan hidangan iftar, tetapi turut menerima pek makanan yang disediakan untuk membantu meringankan beban mereka sepanjang bulan ramadan. Usaha menyediakan juadah iftar dan membungkus pek makanan telah dilaksanakan oleh pasukan relawan rakan NGO tempatan, Jaza Ul-Ihsan.
Program ini merupakan usaha murni bertujuan membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi mereka peluang berbuka puasa dalam suasana yang penuh keberkatan. Pek makanan yang diagihkan mengandungi barangan asas yang penting bagi kelangsungan kehidupan seharian mereka.
Berdasarkan kajian oleh Pakistan Institute of Development Economics (PIDE), lebih kurang 45% daripada penduduk di Sindh, termasuk kota Karachi, hidup dalam kemiskinan multidimensi. Ini bermakna mereka menghadapi kekurangan dalam aspek kesihatan, pendidikan, dan taraf hidup.
HALUAN mengucapkan terima kasih kepada para dermawan dan relawan Jaza Ul-Ihsan atas kerjasama mereka dalam menjayakan program ini dan berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi membantu golongan yang memerlukan.



—
Laporan Shahkirin Mohd Shah
Pengurus Projek Bantuan Kemanusiaan Pakistan
HALUAN Malaysia