
SBR 6.0 Kukuhkan Semangat Kebersamaan Masyarakat Orang Asli Air Banun
GERIK, 23 Mac 2025 — Kempen Sejuta Barakah Ramadan (SBR) 6.0 yang dianjurkan oleh HALUAN Malaysia dan diterajui infak orang ramai telah berlangsung dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun di sini semalam. Program iftar di dua buah kampung yang berdekatan melibatkan komuniti orang asli ini memanfaatkan sekitar 300 orang penduduk, rata-ratanya golongan miskin B40 dan ke bawah.
Peristiwa ini bukan sahaja mencipta kenangan manis malah turut menyemarakkan semangat ukhuwah dan kasih sayang di bulan ramadan yang mulia ini.
Pelbagai aktiviti yang bermakna telah dilaksanakan, antaranya majlis berbuka puasa bersama antara kepimpinan kampung dengan lapan orang relawan HALUAN yang berkampung di sana. Turut diadakan adalah solat fardhu dan tarawih berjemaah. Atas semangat kempen SBR, HALUAN telah melaksanakan penyampaian sumbangan kepada 30 keluarga asnaf orang asli di Kampung Air Banun. Ia termasuk sekampit beras untuk satu keluarga dan hadiah minuman kordial dan kopi serbuk. Kehangatan suasana ini menggamit hati, mengukuhkan ukhuwah, dan mengingatkan kita akan kepentingan saling membantu serta menjaga kebajikan sesama insan. Turut menerima sumbangan adalah penduduk Kampung Sungai Raba berupa gula pasir.
Program ini merupakan sebahagian daripada kempen SBR 6.0 yang menyasarkan golongan yang memerlukan terutamanya komuniti pelarian, golongan asnaf dan mereka yang berada di kawasan pedalaman. Melalui program ini, HALUAN melalui Biro Kebajikan tidak hanya membawa bantuan material tetapi juga pengisian rohani yang mendalam, memberikan inspirasi untuk meningkatkan amal ibadat di bulan ramadan.
Ketua pasukan relawan HALUAN daripada cawangan Pulau Pinang, Ustaz Abdul Rahhim Abdul Wahab dalam ucapan ringkasnya mengajak lebih ramai orang asli tampil menyertai aktiviti ibadah seperti solat berjemaah. Beliau berpesan agar mereka menjaga iman dan takwa dan saling membantu dalam aktiviti yang disukai Allah SWT. Beberapa relawan muda HALUAN negeri telah bergilir menjadi imam isyak dan tarawih.
Dengan pendekatan dakwah bil hal yang penuh kelembutan dan kasih sayang serta sokongan padu daripada masyarakat, HALUAN terus berusaha membina jambatan hati antara umat Islam daripada pelbagai latar belakang. Usaha ini bukan sahaja menguatkan hubungan sesama insan malah turut memperkukuhkan semangat muhibah dan saling tolong-menolong.
Kesempatan di akhir program tersebut juga digunakan untuk menziarahi sebuah lagi kampung terpencil kira-kira 40 minit perjalanan dari Sungai Raba. Lapan orang sukarelawan HALUAN terbabit telah menaiki kenderaan pacuan empat roda menelusuri trek balak tanah merah menghala ke Kampung Pulau Tujuh. Di sana, mereka santuni penghulu Itam, 68 tahun, bertanya khabar tentang kampungnya yang semakin tersergam indah di tepi Tasik Banding. Rezeki SBR dihadiahkan kepada beliau dan juga buat Encik Anwar Charol, seorang guru agama orang asli kaum Jahai yang telah dipupuk didik oleh HALUAN sehingga mendapat sijil pengajian Islam di Kelantan. Anwar kini mengajar agama di beberapa buah kampung berhampiran dan menjadi khatib Jumaat. Semoga program SBR ini dapat memberi kesan yang berpanjangan serta pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan di samping mengingatkan kita semua untuk sentiasa bersyukur dan berusaha untuk memberi kepada mereka yang lebih memerlukan.
HALUAN Malaysia amat berharap agar program sebegini menjadi inspirasi kepada semua untuk terus berganding bahu dengan kami dalam memajukan masyarakat dan membina dunia yang lebih harmonis, penuh kasih sayang, dan saling menghormati.
Tidak terlambat untuk tuan-puan menyertai usaha kebajikan kami. Derma tetap kami alukan ke akaun berikut:
No. Akaun: 5572 5006 2982
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Nama Bank: Maybank Islamic Berhad
Nota Transaksi: Orang Asli Banun
WhatsApp makluman ke: Tel. +6 019 464 4357






—
Laporan Abdul Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia