fbpx

Urusetia Forum “Jom Cerita Islam” Lawati Masjid Putra

Urusetia Forum “Jom Cerita Islam” Lawati Masjid Putra

Urusetia Forum “Jom Cerita Islam” Lawati Masjid Putra

PUTRAJAYA, 12 Dis 2012 — Kumpulan urusetia Forum “Jom Cerita Islam Kepada India Malaysia” telahpun melakukan kunjungan hormat serta bermesyuarat dengan pihak pengurusan Masjis Putra, Putrajaya semalam, selaku tuan rumah forum berkenaan.

Rombongan tersebut diketuai oleh Pengurus Majlis forum iaitu Encik Wan Rafi Wan Husin yang juga merupakan Naib Pengerusi Kelab HALUAN Fitrah (HALUAN Fitrah) yang akan menguruskan majlis tersebut. Forum berkenaan adalah kerjasama di antara HALUAN Malaysia dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang akan diadakan pada hari Ahad, 23 Disember, 2012 dari pukul 8.00 pagi sehingga 1.00 tengahari.

“Kunjungan hormat kami ke Masjid Putra adalah untuk menyatakan rasa terima kasih kepada pihak masjid selaku tuam rumah dan juga kepada JAKIM selaku penganjur bersama majlis forum ini. Dengan kunjungan ini kami dapat menerima taklimat daripada pihak masjid serta menyaksikan sendiri auditorium dan kemudahan di sini. Juga untuk mendapat restu serta kerjasama kakitangan masjid yang sangat peramah dan berkerjasama,” jelas beliau kepada MediaHALUAN.

Turut serta di dalam sesi mesyuarat tersebut adalah Naib Presiden 2 HALUAN Malaysia, Sr. Mohd Sabbri Md. Yudin, dan bakal penceramah berbangsa India, Encik Baseer Ahmed, serta beberapa orang lagi petugas muda termasuk para ustaz. Rombongan sembilan orang itu dibawa melawat kawasan legar, laluan VVIP, bilik menanti, ruang aktiviti, dewan santapan serta auditorium. Pihak masjid kelihatan sedang rancak menjalankan kerja-kerja penambahbaikan kepada sistem lampu pentas semasa lawatan dibuat.

“Kami mensasarkan sekitar 300 orang awam akan hadir pada forum kali ini. Iklan berbentuk poster serta jemputan telahpun dikeluarkan. Tempat masih ada tetapi semakin sedikit. Forum ini akan membuka minda kita semua. Saya ingin syorkan muslimin-muslimat yang berminat supaya segera daftarkan diri secara online,” ujar Wan Rafi.

Selain Encik Baseer, seorang lagi penceramah dan ahli forum adalah Encik Muhammad Sharif Ghani, Setiausaha Agung Majlis Madrasah India Malaysia. Tajuk-tajuk mereka adalah Memahami Struktur Bangsa, Kasta dan Agama Orang Hindu di Malaysia, dan Sejarah Orang India di Malaysia dan Case Study Model Dakwah Kepada Hindu di India. Ini kemudiannya akan diikuti oleh sesi forum dan soal-jawab bersama peserta selama 45 minit.

Sementara itu semasa pembukaan mesyuarat, Ustaz Salled Saad sebagai pegawai tadbir Masjid Putra memesan agar penganjur sentiasa ingat bahawa forum itu perlu dibuat berdasarkan kepada iman kepada Allah SWT. “Bukan kerana hendakkan nama. Kita kena ada kesungguhan dalam melaksanakan kerja dakwah seperti ini, dan kena banyak bersabar. Di samping itu kita hendaklah ada rasa zuhud kepada Allah dan akhir sekali kita kena rasa bertanggungjawab di atas amanah dakwah ini,” pesan beliau kepada rombongan tersebut.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di http://haluanfitrah.haluan.org.my/ sebelum 22 Disember ini.

“Jom sertai! Forum ini percuma. Sarapan dan kudapan akan disediakan tetapi peserta perlu daftar online terlebih dahulu untuk memudahkan penyerahan kertas kerja dan sebagainya,” berkata Wan Rafi.