Kenali HALUAN

Latar Belakang Penubuhan

HALUAN, juga dikenali sebagai HALUAN Malaysia, adalah akronim kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia. Ditubuhkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada tahun 1989, HALUAN memberi fokus kepada program dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Dalam fasa awal penubuhan, HALUAN memberi tumpuan utama kepada program dan aktiviti kebajikan ahli-ahli, khususnya melalui program pembangunan keluarga dan kaunseling. Sebagai usaha menyantuni dan menyumbang bakti kepada masyarakat, HALUAN juga menganjurkan kem-kem motivasi dan pendidikan awam walaupun dalam kapasiti yang terbatas.

Perkembangan Semasa

HALUAN kini beroperasi melalui 13 buah cawangan di seluruh negara, serta turut berdaftar di Kemboja, Mesir, Jordan dan United Kingdom.

HALUAN meluaskan khidmatnya dalam program pendidikan serta misi kemanusiaan dan kemasyarakatan, melibatkan usaha sukarela membantu mereka yang sangat memerlukan. Selain khidmat di tanah air, misi dan aktiviti HALUAN hingga kini telah menjangkau ke 27 buah negara.

Tanggungjawab Dakwah

Aktiviti dakwah HALUAN memberi fokus kepada program pemantapan kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan umat Islam termasuk mualaf, serta program kesedaran tentang Islam kepada bukan bukan Islam. Kursus-kursus perbandingan agama turut dianjurkan bagi menjelaskan kepercayaan dan amalan agama majmuk di Malaysia.

Kerjasama dijalinkan dengan NGO seperti Majlis Dakwah Negara (MDN), Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Multiracial Reverted Muslim (MRM) dan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) serta agensi kerajaan dan majlis agama negeri. HALUAN turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa Majlis Wanita Islam YADIM.

Fokus Pendidikan

Antara lain, HALUAN menjalin kerjasama strategik untuk menubuhkan Akademi al-Quran dan as-Sunnah di Gaza, Syria Community Educare Center (SCEC) di Turki, dan Palestine Community Educare Center (PCEC) di Lubnan.

Manakala projek pendidikan dan kebajikan tempatan melibatkan penubuhan 12 buah Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) di Sabah, sebuah Rohingya Community Educare Center (RCEC) serta sebuah Asrama HALUAN Penyayang (AHP).

Kerjasama Kemanusiaan

Dalam usaha mengukuhkan peranan dalam bantuan kemanusiaan serantau dan global., HALUAN menjadi salah sebuah NGO pengasas kepada Southeast Asia Humanitarian Committee (SEAHUM), iaitu jaringan NGO di negara ASEAN. HALUAN turut bergabung dengan 44 buah NGO dan Kementerian Luar Negeri di bawah Ops Ihsan khusus untuk membantu rakyat Palestin.

Kerjasama turut dijalin erat dengan Yayasan Hasanah dan Yayasan Telekom serta beberapa badan korporat dalam mendanai projek-projek kebajikan. Komitmen sumbangan masyarakat awam menjadi sumber dana utama dalam projek kemasyarakatan HALUAN.

HALUAN merupakan sebuah rakan NGO bagi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di dalam Jawatankuasa Kerja Pembangunan Kapasiti dan Kepakaran. Di samping itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) telah memperakui HALUAN sebagai Rakan Implementasi dalam projek bantuan dan pendidikan untuk pelarian di Malaysia