fbpx

Ucapan Dasar Presiden Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN ke-25

Ucapan Dasar Presiden Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN ke-25

Ucapan Dasar Presiden Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN ke-25

BicaraPresidenMTP25TEMA: HALUAN PERUBAH DAN PEMIMPIN MASYARAKAT

PENDAHULUAN

  1. Visi kehidupan manusia adalah satu gagasan tujuan kehidupan yang terpenting bagi menggerakkan misi seseorang manusia itu memanfaatkan seluruh usia kehidupannya pada jalan yang benar dan selari dengan tuntutan Allah SWT.
  2. Allah SWT telah merangkumkan kesemua matlamat kehidupan manusia ini dalam ‘manual’ kehidupan itu sendiri iaitu al-Quranul Karim sepertimana firmanNya dalam Surah Ali Imran, ayat 19;

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.”

  1. Manual inilah sumber utama yang menjelaskan hakikat kehidupan manusia yang akan memandu mereka menuju ke jalan yang benar.
  2. Dalam rangka memperbaiki kehidupan individu, tidak dapat tidak kita perlu melihat dan melibatkan diri dengan usaha memperbaiki kehidupan manusia dan makhluk lain di bumi ini.Amanah sebagai khalifah merupakan suatu taklif Rabbani yang perlu dirasai oleh setiap insan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 30;

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak tahu.”

  1. Dalam memikul tanggungjawab ubudiah dan khalifah ini, HALUAN mengambil pendekatan melaksanakannya secara terancang. Antara perancangan yang dibuat termasuk rancangan jangka panjang. HALUAN sekarang sedang berada dalam era jangka panjang kedua: 2012-2026 dengan TIGA fokus strategi yang utama iaitu massa, rijal dan dana.

RANCANGAN JANGKA PANJANG
MASSA

Saudara/i yang dihormati,

  1. Saidina Ali RA pernah mengungkapkan,“kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.” Ada kata-kata hukama’ antaranya, “sekiranya kita gagal untuk merancang, maka sebenarnya kita sedang merancang untuk gagal.” Kata-kata seperti ini sering kali kita dengar dan sememangnya ada kebenarannya. Di sini, saya ingin mengingatkan kepada diri saya dan saudara/i ahli-ahli HALUAN tentang rancangan jangka panjang yang telah kita persetujui bersama.Perancangan ini dirangka untuk kita mengorak langkah lebih jauh ke hadapan dalam kerja-kerja pendidikan, kemasyarakatan, kesihatan dan kemanusiaan. Namun, perancangan hanya akan tinggal perancangan atau di atas kertas semata-mata jika tidak dihayati dan dilaksanakan. Oleh itu, seboleh mungkin perancangan ini seharusnya menjadi igauan dalam mimpi dan sentiasa bermain di benak fikiran kita dan seterusnya direalisasikan menjadi satu yang nyata.
  2. Sebagaimana tertulis dalam perancangan berkenaan, tumpuan kita adalah kepada TIGA (3) aspek utama iaitu ‘MASSA’, ‘RIJAL’dan ‘DANA’. Ketiga-tiga aspek ini tidak boleh ditanggapi secara berasingan kerana matlamat yang diharapkan tidak akan dapat dicapai jika keadaan demikian terjadi. Kerja-kerja ke arah mencapai matlamat, ketiga-tiga aspek tadi perlu berjalan serentak dan saling kukuh mengukuh antara satu sama lain.
  3. Apa yang kita maksudkan dengan ‘Massa’ adalah membina kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat, sehingga mereka boleh menerima Islam yang syumul serta meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya penyelesaian kepada apa jua masalah yang sedang dihadapi. Di samping itu kita juga mengharapkan masyarakat mengenali dan bersikap positif terhadap HALUAN. Gerak kerja Massa perlulah meliputi semua sektor-sektor yang telah ditetapkan serta menambah jumlah relawan sepertimana sasaran.
  4. Dalam menjayakan aspek Massa, kita perlu keluar kepada masyarakat dengan menyumbang khidmat bakti di samping mengajak mereka bersama-sama kita bekerja dalam perkara-perkara amar makruf nahi mungkar. Kita tidak mampu bergerak secara bersendirian, kerja-kerja Massa adalah banyak, oleh itu dokongan masyarakat amat diperlukan.
  5. Ruang untuk bersama dengan masyarakat terbentang luas di hadapan kita. Di mana ada manusia, di situlah sepatutnya kita berada. Kita tidak boleh mengharap masyarakat mengenali kita melalui aktiviti-aktiviti sedia ada. Kitalah yang perlu turun secara intensif kepada masyarakat dan mengenali mereka, menyelami perasaan mereka dan menyelesaikan masalah yang sedang mereka hadapi. Penyelesaian secara sendirian maupun dengan kerjasama pihak-pihak lain seperti agensi kerajaan, swasta dan sebagainya adalah amat digalakkan.
  6. Kita tidak hanya mahu melihat angka-angka yang direkodkan sebagai penunjuk utama, atau berpada dengan bilangan penyertaan masyarakat bersama kita tetapi apa yang lebih penting adalah kita mahu setiap aktiviti/program yang dijalankan berfokus kepada sasaran yang telah ditetapkan.
  7. Aktiviti/program Massa perlulah meliputi semua sektor dalam masyarakat, baik masyarakat yang dikatakan profesional maupun tidak. Baik yang berpendidikan tinggi maupun yang berpendidikan rendah dan sebagainya.
  8. Oleh itu saya menyeru kepada ahli-ahli HALUAN, berusahalah mencipta peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat. Jangan biarkan masa berlalu tanpa amal kerana umur diukur bukan pada panjangnya usia tetapi dinilai dengan banyaknya sumbangan kepada masyarakat. Mudah-mudahan masyarakat adalah kita dan kita adalah masyarakat. Ingatlah nilai kita yang sebenar ialah apa yang telah kita berikan bukan apa yang telah kita terima.

RIJAL

  1. Bilangan yang ramai belum menjamin gerak kerja yang berkesan dan mampu mencapai matlamat. Di sinilah perlunya HALUAN kepada ahli-ahli yang memahami halatuju organisasi, memahami erti bergabung dengan organisasi, mematuhi syarat-syarat dan peraturan organisasi dan seterusnya hidup dalam organisasi sepanjang hayatnya.
  2. Rijal yang kita maksudkan adalah peningkatan kualiti ahli yang dipantau secara sistematik setelah memenuhi syarat-syarat tertentu. Peningkatan kualiti yang akan dipantau meliputi sudut keimanan, pengetahuan, sahsiah dan juga sumbangan dan khidmat bakti.
  3. Pembentukan rijal adalah model perjuangan para Rasul dan para nabi. Rasulullah SAW telah mendidik Khadijah r.a. isterinya, kemudian Abu Bakar as Siddiq, sahabat karibnya, diikuti dengan Ali bin Abi Talib, sepupunya dan juga Zaid bin Haritsah, hamba yang dibebaskannya. Ia kemudiannya berkembang dengan keislaman Uthman Affan r.a., Zubair al Awwam r.a, Abdul Rahman Auf r.a., Saad bin Abi Waqqas r.a. dan Talhah bin Ubaidillah r.a. Rijal-rijal inilah yang kemudiannya telah memperkembangkan dakwah Islam sehingga dapat kita kecapi nikmatnya pada hari ini. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 146;

“Dan berapa banyak daripada nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

  1. Adalah suatu musibah yang amat besar jika kita lemah dalam usaha-usaha pembentukan rijal. Perlaksanaan aktiviti/program akan lambat ataupun mungkin terhenti sama sekali disebabkan kehilangan tenaga atau tiadanya rijal yang menggerakkannya. Walaupun dari segi kuantiti ahli kita ramai bilangannya, namun tanpa pembentukan yang teliti dan efektif maka tidak akan lahir rijal yang berkualiti.
  2. Kekuatan sebenar sesebuah organisasi bergantung kepada gabungan kelebihan-kelebihan yang ada pada ahli-ahlinya. Kita memerlukan ahli-ahli yang memiliki kualiti diri yang mapan dan mampu melaksanakan apa juga aktiviti/program yang dirancang serta mampu berhadapan dengan masalah dan kesulitan.

Saudara/i sekalian,

  1. Dalam perkara ini, perkara utama dan pertama yang harus kita lakukan ialah membentuk dan menyediakan diri kita dengan kemampuan untuk melakukan kerja-kerja yang besar dan banyak. Kita perlu mempersiapkan diri kita dari masa ke semasa agar sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Penting juga kita perlu rasa dahaga kepada peningkatan diri agar diri terus berfungsi, dinamik dan mempunyai posisi setiap masa dan keadaan. Jika bukan kita yang tampil ke hadapan, siapa lagi yang kita harapkan?
  2. Seterusnya kita perlu mendidik dan membina orang lain yang ada di sekeliling kita, dalam rumah kita, jiran tetangga kita, sahabat kenalan kita dan sesiapa sahaja yang bersedia untuk bersama dengan kita.Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang-orang yang menyeru kepada Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam.” (al-Fussilat: 30)
  3. Kita mempunyai banyak institusi yang dipimpin dan dikendalikan oleh ahli-ahli HALUAN sendiri. Jadikan ia sebagai satu medan, platform dan peluang untuk sesiapa sahaja bersamanya menerima khidmat didikan kita. Kita perlu memastikan agar terbentuknya kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar, terbentuknya individu-individu yang iltizam dengan Islam seterusnya menyumbang kepada pembangunan Islam secara terancang dan sistematik.
  4. Di samping itu saya menyeru agar kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi kita dalam pelbagai bidang profesional dan deeniyah terutama dalam kalangan golongan muda lelaki dan wanita.

DANA

  1. ‘Dana’ yang kita maksudkan adalah peningkatan syuur infak dalam kalangan ahli-ahli. Ahli-ahli merasai tanggungjawab berinfak semaksima mungkin untuk tujuan membiayai aktiviti-aktiviti pendidikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dijalankan. Di samping itu peluang-peluang dana juga dicari daripada sumber luar organisasi HALUAN termasuk dermawan-dermawan samada individu, syarikat maupun pihak kerajaan sendiri.

Saudara/i sekalian,

  1. Keikhlasan dan kesungguhan sahaja adalah tidak mencukupi dalam melaksanakan amal. Kita memerlukan sumber kewangan/dana yang besar untuk menyokong aktiviti/program yang dilaksanakan. Sekadar sumbangan ahli-ahli berbentuk yuran tahunan dan sumbangan orang ramai adalah tidak mencukupi untuk menampung kos-kos yang semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh itu kita perlu berusaha untuk mendapatkan sumber-sumber dana untuk menambah tabungan pertubuhan dan seterusnya dibelanjakan secara berhemah untuk tujuan pendidikan, kemasyarakatan, kesihatan dan kemanusiaan.
  2. Marilah kita mulakan tuntutan memperkukuhkan tabungan dana ini dengan diri kita dahulu yakni dengan mempertingkatkan syuur infak di jalan Allah SWT. Kejayaan umat terdahulu antaranya disebabkan oleh syuur infak yang tinggi di kalangan mereka. Ada di antara mereka telah menyerahkan seluruh kekayaan mereka untuk perjuangan Islam seperti Saidina Abu Bakr r.a., separuh kekayaan seperti Saidina Umar r.a. seterusnya diikuti dengan sahabatsahabat r.a. yang lain semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.
  3. Abdul Rahman bin Auf r.a. antara sahabat baginda SAW yang kaya dan telah menginfakkan seluruh kekayaannya untuk fisabilillah pada permulaan Islam. Dia seorang peniaga yang pintar dan memiliki harta yang banyak ketika di Madinah.
  4. Mus’ab bin Umair r.a., yang dahulunya seorang anak yang disayangi ibunya, pakaiannya cantik dan mahal, baunya sentiasa harum semerbak dengan minyak wangi, tetapi dia meninggalkan segalanya itu demi Islam. Mus’ab meninggal dunia dalam keadaan dirinya tidak mempunyai cukup kain untuk menutupi jenazahnya. Namun, di sana syurga yang seluas langit dan bumi sedang menunggunya.Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 134;

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

  1. Marilah kita sedaya upaya mempertingkatkan infak di jalan Allah SWT daripada pendapatan kita dari masa ke semasa. Hendaklah kita kurangkan perbelanjaan yang tidak penting semata-mata untuk meraih redha dari Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya ganjaran di sisi Allah amatlah besar, sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 261;

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

STRATEGI PENINGKATAN DANA PENEROKAAN BIDANG BERNILAI EKONOMI

  1. Kita juga perlu meneroka bidang-bidang yang boleh menjana pendapatan. Projek-projek ekonomi seperti sektor perladangan, kesihatan, koperasi dan sebagainya merupakan wadah yang baik untuk menjana sumber kewangan secara jangka panjang bagi aktiviti/program kita.

DANA DALAM NEGARA

  1. Di samping itu, sumber-sumber dana dalam negara juga banyak. Agensi kerajaan maupun swasta banyak memperuntukkan dana untuk tujuan kemasyarakatan. Peluang ini seharusnya direbut oleh kita agar aktiviti/program yang dilaksanakan tidak menghadapi masalah pembiayaan. Untuk tujuan ini juga kita perlu melaksanakannya secara professional dan boleh dipertanggungjawabkan.

PENYELARASAN TENAGA PROFESSIONAL

  1. Kita mempunyai ramai tenaga professional yang bergerak atau bekerja secara sendirian. Bukankah lebih baik sekiranya tenaga-tenaga ini digabung dan digembelingkan sebagai satu pasukan yang boleh menyumbang dana kepada organisasi. Usaha-usaha untuk melahirkan usahawan muda ataupun usahawan daie perlu diberi perhatian serius. Lahirnya usahawanusahawan ini bukan sahaja dapat membentuk satu pasukan yang mempunyai sifat berdikari, tetapi juga untuk jangkamasa panjang akan membantu kerja-kerja pendidikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

ISU-ISU DALAM NEGARA

Tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan sekalian,

  1. Sebagai sebuah organisasi yang bertaraf antarabangsa, adalah tidak munasabah bagi HALUAN untuk tidak peka dengan suasana sekelilingnya. Jadi isu-isu semasa juga mendapat perhatian HALUAN sama ada di dalam maupun luar negara.

PENDIDIKAN

  1. Pendidikan merupakan perkara asas dalam pembangunan sesebuah negara dan ia adalah asset utama menentukan maju atau mundurnya negara berkenaan.
  2. Anggaran bilangan pelajar pada tahun 2015 bermula dari pra sekolah hingga ke pra universiti adalah 6,380,717 orang, manakala kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (kerajaan dan swasta) pula dianggarkan 1,610,408 orang. Ini adalah satu angka yang besar iaitu kira-kira 27% dari jumlah penduduk Malaysia (1). Mereka inilah nantinya yang akan menjadi peneraju masa depan negara.

Saudara/i sekalian,

  1. Bagaimana acuan, begitulah kuahnya. Bagaimana sistem pendidikan yang dilaksanakan, maka begitulah natijahnya.
  2. Islam menekankan pendidikan yang mampu melahirkan manusia yang mengabdikan diri hanya semata-mata kepada Allah SWT (maksud al Quran 51:56) dan juga menjadi khalifah yang memikul amanah di bumi ini (maksud al Quran 2:30). Dengan kata lain matlamat pendidikan Islam ialah untuk melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, muslim beriman, berakhlak mulia, beramal soleh dan layak berkhidmat untuk membangun keluarga, masyarakat, negara dan ummah mengikut acuan Islam.
  3. Pendidikan tanpa teras yang dinyatakan akan hanya melahirkan robot-robot atau alat kepada kemajuan ekonomi (kebendaan) semata-mata. Kemajuan diukur dari sudut ekonomi dan mengabaikan sudut-sudut lain.
  4. Pendidikan Islam mensasarkan individu yang bukan sahaja merasai bahawa hidup mereka didunia ini sahaja tetapi meyakini bahawa ada kehidupan lain selepas mati. Pendidikan tanpa akhirat sebagai matlamat hanyalah pendidikan yang berpaksikan jangka pendek jua. Jika jangka hayat hidup antara 72 tahun hingga 76 tahun maka itulah sahaja yang diperolehi.
  5. Kita melihat matlamat pendidikan hari ini seperti yang digariskan Kementerian Pendidikan, sememangnya hendak melahirkan pelajar yang seimbang dari segi emosi,rohani dan jasmani. Hakikatnya ia masih tidak mampu melahirkan pelajar yang mengabdikan diri kepada Allah SWT dan merasai tanggungjawab sebagai khalifah. Gejala sosial yang semakin bertambah akhir-akhir ini memungkinkan kita untuk memikirkan di manakah kekurangan yang perlu diperbaiki.
  6. Kita perlu kembali kepada sistem yang dibawa oleh Rasulullah SAW, satu usaha yang berterusan kearah memperkembangkan potensi individu muslim sebagai hamba Allah SWT dan khalifahNya di bumi secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, akliah, akidah, emosi dan jasmani berdasarkan ajaran Islam.

SOSIAL

  1. Masyarakat Muslim di Malaysia pada hari ini tidak lagi mempamerkan semangat perpaduan (ukhuwah) sepertimana yang dianjurkan oleh Islam. Perpecahan umat Islam amat membimbangkan dan memilukan kita. Bagaikan retak menanti belah, tiada jalan penyelesaian, segalanya berakhir dengan kebuntuan. Umat Islam terjebak dalam igauan lampau yang berlegar-legar pada titik yang sama, antaranya isu perbezaan politik kepartaian, fahaman mazhab, pertelingkahan dalam perkara-perkara cabang (furu’) dan sebagainya.
  2. Tambahan pula kita dihujani masalah keruntuhan, kerosakan dan kebejatan akhlak. Anakanak remaja Muslim menjadi perhatian media massa hari ini. Jenayah penyalahgunaan dadah, zina, rogol, rempit, video lucah, ponteng kelas, seks bebas, hedonisme, merokok dan sebagainya sudah menjadi mangli dalam masyarakat. Di mana-mana sahaja hatta di dalam rumah sendiri sudah tidak selamat lagi. Kebejatan akhlak ini adalah barah yang semakin tenat yang harus dirawat dengan segera!
  3. Keruntuhan sosial dalam masyarakat perlu dicari puncanya, bukan melabelkan masalah yang muncul sebagai simptom sosial. Faktor utama masalah sosial yang sedang melanda masyarakat ialah kemiskinan dalam pelbagai aspek dan lemahnya proses intervensi perancangan sosial. Peranan agensi sosial dilihat agak pasif dengan strategi tidak berkembang seiring dengan perubahan semasa masyarakat. Walaupun ratusan juta ringgit diperuntukkan untuk itu saban belanjawan, tetapi hasilnya tetap mendukacitakan.

DIMANAKAH SILAP KITA?

  1. Pembangunan sosial perlu mengambil kira pelbagai pendekatan kerana setiap strategi adalah berbeza. Contohnya pada peringkat mikro, intervensi mencerminkan strategi yang lebih luas bagi membantu individu dan isi rumah untuk memulakan perniagaan kecil yang boleh beroperasi dalam pasaran bebas. Berdikari dengan berniaga sendiri dengan bantuan mikro kredit untuk menampung keperluan keluarga agar menjadi lebih selesa harus menjadi keperluan untuk masyarakat strata bawahan yang memerlukan lonjakan ekonomi, tidak kira bangsa ataupun agama mereka. Kita harus menyediakan saluran-saluran sebegini untuk tidak memaksa mereka menjadi penyamun, perompak atau pembunuh dek himpitan hidup untuk sesuap nasi.
  2. Pemberian wang tunai, penetapan gaji minimum dan pemberian subsidi makanan dilihat sebagai antara strategi yang dilaksanakan utuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi suasana ekonomi yang mencabar sekarang. Namun begitu kita melihat rakyat terpaksa pula menanggung kesan negatif akibat dari kenaikan harga barang dan inflasi. Ini sudah pasti mengakibatkan kos hidup turut meningkat. Kesan akhirnya menjadikan rakyat tidak menikmati bantuan dan subsidi dalam erti kata yang sebenarnya kecuali sekadar mendapat kenaikan pendapatan wang tunai semata-mata.Misalnya bagi rakyat yang berpendapatan RM1000.00 atau kurang mereka akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM600 setahun. Ini bermakna rakyat telah mendapat kenaikan pendapatan sebanyak RM50.00 sebulan (RM600/12 bulan = RM50). Dengan kata lain rakyat telah mendapat nikmat kenaikan pendapatan sebanyak 5 peratus sebulan {(RM50 x 100)/RM1000 = 5}. Jika sekiranya kadar inflasi berlaku sebesar 5 peratus bermakna pada hakikatnya rakyat tidak mendapat apa-apa keuntungan. Yang untung sebenarnya ialah peniaga. Tapi sebaliknya jika kadar inflasi kurang dari 5 peratus maka rakyat mendapat keuntungan.Tetapi jika pada masa yang sama kadar inflasi ialah lebih dari 5 peratus maka rakyat sebenarnya rugi kerana terpaksa menanggung kos hidup yang lebih besar berbanding dengan kenaikan pendapatan yang diperolehi dari bantuan kerajaan.Isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat adalah implikasi kepada isu sebenar yang masih belum dapat ditangani sepenuhnya iaitu kemiskinan dan pendidikan yang berkesan. Walaupun masih ada sebilangan kecil ahli masyarakat yang masih berada dalam kelompok ini, pendidikan yang benar-benar membawa kepada perubahan taraf hidup masih belum dapat menjiwai sebahagian besar anggota masyarakat.
  3. Justeru, kes pembunuhan masih berlaku melibatkan kanak-kanak berumur dua tahun, 14 tahun sehingga warga emas berusia 70 tahun. Penguatkuasaan undang-undang juga masih gagal memberi peringatan serta amaran kepada masyarakat menyebabkan perbuatan jenayah semakin dianggap sebagai perkara yang lumrah. Saban hari ada sahaja rakyat yang menjadi mangsa dan bilangannya semakin bertambah. Sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana, jenayah boleh memudaratkan masyarakat kerana kebimbangan mereka terhadap keselamatan diri, nyawa, harta benda dan ahli keluarga boleh membuatkan manusia hilang pertimbangan. Sudah sampai masanya pihak-pihak berkepentingan melihat kepada undangundang Islam sebagai jalan penyelesaian supaya “perasaan selamat” kembali wujud dalam masyarakat.

POLITIK

  1. Kita memandang berat tentang suasana politik di tanah air masa kini. Akhir-akhir ini banyak isu-isu yang timbul dan mewujudkan suasana tidak selesa di kalangan rakyat. Isu kalimah Allah, kitab Injil dalam Bahasa Melayu dan lain-lainnya telah menghangatkan suasana. Isu-isu Tuhan dan agama dibincangkan tanpa nilai akidah, asas keilmuan dan kefahaman yang betul dan akhirnya seluruh rakyat terjebak dengan isu yang tiada kesudahan.
  2. Gejala-gejala tidak sihat seperti perebutan kuasa, pecah amanah, tuduh menuduh dengan menggunakan pelbagai media sosial amat membimbangkan. Rakyat secara tidak langsung tersepit dalam kemelut yang berlaku.
  3. Isu kepimpinan adalah satu isu yang sangat sensitif. Ujudnya budaya fitnah terutama dalam media sosial memperlihatkan betapa tahap akhlak masyarakat dalam Negara kita (termasuk pemimpin daan rakyat). Ini jelas apabila fitnah menfitnah ini berlaku disemua peringkat kepimpinan; atasan dan bawahan; serta diperingkat local dan nasional.
  4. Kita mengharapkan persaingan sihat dalam politik agar tidak ujud kefahaman sempit dan berbentuk perkauman. Tidak perlulah isu-isu berbentuk perkauman diperbesar-besar untuk mencapai matlamat yang kecil. Kita percaya keharmonian boleh dilahirkan dengan adanya persefahaman dan saling kenal mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi.

EKONOMI

  1. Salah satu penunjuk maju atau mundurnya sesebuah negara atau bangsa ialah ekonomi. Namun begitu, aspek ekonomi bukanlah satu-satunya kayu ukur yang digunakan untuk mengkategorikan sesebuah bangsa atau negara sebagai maju dan mundur. Aspek-aspek lain seperti pendidikan, perundangan, kesihatan, prasarana, kebebasan, suasana alam sekitar, ketamadunan serta akhlak masyarakat dan lain-lain juga harus dilihat untuk dinilai.
  2. Di Malaysia, perangkaan menunjukkan bahawa setakat ini, bumiputra yang mewakili lebih kurang 66.7 peratus (dimana 53 peratus adalah penduduk Islam) penduduk negara ini hanya menguasai lebih kurang 21.8 peratus daripada ekuiti modal saham di Malaysia. Walaupun ini menunjukkan satu peningkatan berbanding penguasaan sekitar 2.4 peratus sahaja pada tahun 1971, penguasan umat Islam masih terlalu rendah berbanding kaum Cina yang menguasai lebih kurang 40 peratus daripada ekuiti modal saham negara. Walhal pada masa yang sama kaum Cina terdiri daripada hanya sekitar 24.5 peratus penduduk Malaysia pada tahun 2010.
  3. Umat Islam di Malaysia masih belum boleh berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian ekonomi mereka setakat ini. Umat Islam di negara ini perlu sentiasa diingatkan serta diberi kesedaran bahawa kedudukan ekonomi mereka sebenarnya masih terkebelakang. Andainya mereka masih enak dibuai mimpi dengan bantuan atau subsidi, peratusan di atas mungkin semakin menurun dan akan ditinggal semakin jauh sehingga sukar untuk bangkit kembali.
  4. Era K-ekonomi sekarang ini menuntut setiap manusia melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu, kemahiran, dan kompetensi yang menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi. Ledakan Informasi Teknologi (ICT) yang sangat canggih serta berkembang pesat hari ini sangat-sangat menuntut kepada manusia untuk memiliki ‘multi-knowledge’, iaitu kepelbagaian ilmu pengetahuan bagi mendepani segala pengurusan kehidupan yang berhubung kait dengan ekonomi.
  5. Umat Islam bukan hanya harus menjadi pengguna mahir (expert users) kepada kecanggihan ini semua, tetapi juga semestinya menjadi pencetus, peneroka dan pencipta bidang-bidang ilmu baru tersebut. Sudah sekian lama orang Islam tidak menjadi pencipta, hanya sebagai pengguna. Kebanggaan kita hanya berada dalam lipatan sejarah silam hingga kini masih tiada pengganti.

ISU-ISU LUAR NEGARA

Saudara/i sekalian,

  1. HALUAN bukanlah NGO yang hanya mementingkan program-program dalam negara sahaja. Permasalahan ummah sejagat adalah sebahagian daripada agenda penting dalam HALUAN.

SOSIAL

  1. Sains dan teknologi hari ini berkembang begitu cepat dan semakin canggih, negara-negara maju menjadi semakin kaya. Namun seluruh dunia sedang memperkatakan tentang isu krisis nilai. Apa ertinya kekayaan, kemajuan dan kemewahan tetapi keruntuhan akhlak masyarakat dunia semakin menjadi-jadi. Masyarakat dunia tercari-cari apakah formula untuk membentuk budaya dan persekitaran sosial yang sihat dan harmoni. Pengiktirafan oleh negara-negara maju terhadap perkahwinan sejenis menjadi penunjuk bahawa keruntuhan nilai, moral dan akhlak di negara-negara maju amat membimbangkan. Alhamdulillah di celah-celah kerosakan ini, tanpa kita sedar, dengan izin Allah SWT bilangan saudara baru yang memeluk Islam di Amerika Syarikat, Britain dan Eropah semakin meningkat.

POLITIK

  1. Negara-negara Islam dilihat menjadi seperti bola ditendang ke sana sini oleh kuasa-kuasa besar. Kuasa-kuasa besar dunia sewenang-wenangnya mencampuri hal ehwal negara tersebut seolah-olah seperti milik mereka. Tidak ada apa yang boleh dibuat oleh pemerintahnya apalagi oleh rakyat jelata. Manakala di negara-negara yang rakyat Muslimnya minoriti, nasib mereka tidak terbela. Hak-hak mereka dinafikan, bahkan mereka diburu seperti haiwan buruan di hutan rimba. Isu pembunuhan umat Islam Rohingya di Myanmar amat memilukan. Di samping itu, negara di mana umat Islam merupakan majoriti, pergolakan demi pergolakan silih berganti. Pergolakan yang berlaku di Mesir, Syria, Sudan malah juga di Palestin belum lagi nampak jalan penyelesaiannya. Kita seharusnya sedar bahawa pergolakan politik dunia Islam hari ini sebenarnya hasil suatu perancangan yang rapi dan sistematik oleh musuh-musuh Islam khususnya Yahudi dan Nasrani. Allah SWT mengingatkan kepada kita dalam al-Quran Surah al-Baqarah, ayat 120;

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar.” dan Demi Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

  1. Oleh yang demikian, kita semuanya bertangggungjawab membela nasib, membantu dan membebaskan saudara-saudara kita daripada kezaliman musuh-musuh Islam. Daripada Huzaifah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka dia tidak termasuk daripada kalangan mereka. Sesiapa yang ada pada pagi dan petangnya tidak ikhlas kepada Allah dan RasulNya dan KitabNya dan pemimpinnya dan kepada umat Islam, maka dia tidak termasuk dari kalangan mereka (umat Islam).” (Riwayat Thabrani)

EKONOMI

  1. Berdasarkan pemerhatian terhadap perkembangan sejarah dunia sejak zaman renaissance di Eropah, lanskap dunia hari ini sebenarnya telah dibentuk oleh idea-idea yang dicipta oleh kaum Yahudi, baik ideologi yang mendasar ataupun pemikiran. Melihat sikap kaum Yahudi untuk menguasai dunia, terdapat sekurang-kurangnya tiga langkah penting yang telah mereka lakukan;
    i. Menguasai dunia dengan ideologi.
    ii. Menguasai politik, undang-undang dan ekonomi antarabangsa.
    iii. Menguasai media masa antarabangsa.
  2. Menguasai ekonomi bererti menguasai dunia. David Ricardo yang dianggap sebagai bapa kapitalisme telah merumuskan teori-teori ekonomi kapitalisme penting tentang hutang, kepemilikan, upah dan tentang kuantiti wang. Dia berkhidmat di Eropah Barat, tepatnya pada ketika kaum Yahudi tinggal di sana, berdagang di sana dan menyelenggarakan fungsi-fungsi perbankan di sana. Dan dunia juga telah mengetahui bagaimana kerosakan yang disebabkan oleh ideologi kapitalisme ini. Idea ini telah menjauhkan manusia daripada Tuhan dan menyempitkan agama hanya sebatas individu. Idea ekonominya juga telah mengakibatkan kemiskinan massa di dunia ketiga. Sementara itu pemilik modal-modal besar menikmati kemewahan yang luar biasa.

Saudara/i sekalian,

  1. Apakah sebenarnya yang lebih berbahaya daripada orang-orang Yahudi ini? Jawabannya adalah ideologi dan pemikiran mereka yang telah menghancurkan dunia dan kaum Muslimin seperti kapitalisme dan sosialisme. Justru serangan ideologi dan politik jauh lebih berbahaya dibandingkan dengan serangan berbentuk fizikal daripada orang-orang Yahudi.
  2. Penjajahan berbentuk fizikal seperti ketenteraan akan mudah menyedarkan kita semua kerana terdapat naluri mempertahankan diri. Namun penjajahan berbentuk ideologi, ekonomi dan politik sering tidak disedari oleh kita semua. Dan lebih tragis lagi akibat termakan tipu daya penjajah, tidak sedikit jiwa yang telah terkorban disebabkan berperang sesama sendiri. Ideologi-ideologi mereka seperti kapitalisme dan sosialisme adalah design mereka yang telah terbukti menghancurkan peradaban dan mengakibatkan kesengsaraan manusia terutama di dunia Islam.

Para peserta dan pemerhati sekalian,

UNTUK PARA PEKERJA ISLAM

  1. HALUAN PERUBAH DAN PEMIMPIN MASYARAKAT merupakan tema yang menggambarkan kerja-kerja organisasi amatlah banyak serta memerlukan persiapan yang rapi daripada pelbagai aspek terutamanya Massa, Rijal dan Dana. Di samping itu juga kita sendiri sebagai anggota pertubuhan amat memerlukan stamina yang tinggi untuk melaksanakannya. Cabaran dan rintangan yang berada di hadapan amat besar dan kuat dan hanya mampu ditangani oleh orang-orang yang kuat juga. Oleh itu kita memerlukan kekuatan pada banyak sudut terutamanya akliah, rohaniah dan jasadi. Ketiga-tiga fakulti insan ini mesti bergabung dan bekerjasama antara satu sama lain secara seimbang dan saksama.
  2. Kekuatan akliah adalah kemampuan berfikir, matang, progresif, cerdik, bijaksana dan mampu melihat dan menganalisa masa depan dengan tajam dan jitu. Kita harus mempertingkatkan aspek kefahaman, ilmu, pengalaman dan kemahiran-kemahiran insaniah sebagai bekalan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab dan kepentingan ummah. Supaya dengan kekuatan dan kualiti kerohanian ahli HALUAN akan menjadi sebab untuk mendapat bantuan Allah SWT yang berterusan.
  3. Kekuatan rohaniah adalah antara kekuatan yang sangat diperlukan oleh pekerja-pekerja Islam. Rohani yang lemah akan memberi kesan kepada akal dan jasad. Oleh itu saudarasaudara sekalian, marilah kita mempertingkatkan aspek rohaniah kita dengan menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT.
  4. Di sudut jasadi, saya menyeru kepada saudara/i ahli-ahli HALUAN agar tidak mengambil mudah perkara ini. Jiwa dan akal yang cergas lahir dari badan yang sihat. Sebab musabab yang memungkinkan kepada peningkatan kesihatan jasadi perlu diberi perhatian supaya kita dengan izin Allah SWT sentiasa berada dalam keadaan sihat dan mampu melaksanakan tanggungjawab deen. Kita bertanggungjawab di hadapan Allah SWT andainya kita mengabaikan kebajikan jasad kita atau dengan kata lain mengabaikan kesihatan diri kita sendiri.Rasulullah SAW bersabda kepada Umar bin al-As dengan berpesan yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak.” (Riwayat Muslim)Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). masa lapang sebelum tiba masa sibuk. masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
  5. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengingatkan ahli-ahli HALUAN supaya mengambil berat hal melaksanakan aktiviti riadah dan menjaga pemakanan harian, agar kita insyaAllah bebas daripada sebarang penyakit seperti darah tinggi, diabetis dan sakit jantung. Mutakhir ini ramai di kalangan rakyat Malaysia khususnya meninggal dunia akibat pelbagai jenis kanser.

Saudara/i sekalian,

  1. Sirah Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita bahawa amal-amal Islam dan kemasyarakatan perlu dilaksanakan secara berorganisasi. Pembentukan awal generasi di rumah Arqam bin Abi Arqam bukan sahaja membina kualiti individu, tetapi juga menunjukkan cara bagaimana bekerja secara berorganisasi.
  2. Kita mempunyai matlamat yang sama. Seharusnya matlamat ini dituju mengikut struktur yang telah dibina, melalui sistem dan strategi yang telah digariskan, di samping pengembelingan kepakaran yang tersusun dan berkesan. Kerja-kerja kita juga perlu berjalan dalam suasana ukhuwah, ketaatan dan kepercayaan (thiqah). Jika ini tidak berlaku maka matlamat yang kita kongsikan bersama tidak akan lahir kerana sesuatu perkara yang sama tetapi digabungkan dengan berlainan cara (respond) akan membuahkan hasil yang berbeza.
  3. Adalah suatu perkara yang sangat penting untuk kita merenung kembali komitmen kita dalam organisasi. Setiap kita adalah merupakan satu juzuk dalam organisasi umpama batubata pada sebuah bangunan. Jika salah satu daripada batu bata berkenaan mengalami kerosakan atau tidak mengikut susunannya, pasti akan mencacatkan bangunan, bahkan boleh merosakkan bangunan berkenaan. Oleh itu adalah penting untuk kita merasai bahawa apa jua yang kita lakukan baik atas nama organisasi maupun peribadi pastinya akan memberi kesan kepada organisasi.

PENGHARGAAN

  1. Kepada agensi-agensi kerajaan seperti JAKIM, KKLW, KKM, KPM dan lain-lain, serta juga agensiagensi bukan kerajaan, rakan-rakan NGO dan sesiapa sahaja yang telah memberi sokongan berupa sokongan moral, material dan sebagainya, saya bagi pihak HALUAN mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Sokongan yang diberikan telah memudahkan lagi kami melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, pendidikan dan kemanusiaan. Diharapkan agar hubungan dan sokongan ini akan berterusan dalam usaha-usaha kita membawa perubahan kepada masyarakat dan umat sejagat.

PENUTUP

  1. Kemelut yang melanda umat Islam akan terlerai apabila umat Islam kembali semula kepada Islam yang telah mereka abaikan selama ini; baik rakyat maupun pemimpin dengan mengenepikan perbezaan aliran politik masing-masing. Seluruh saf kepimpinan Islam dan masyarakat di pelbagai lapisan harus sedar untuk kembali memperbaiki serta mempertingkatkan keimanan kepada Allah SWT terlebih dahulu melalui jalan yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Melalui perjuangan dakwah dan tarbiyah inilah Rasulullah SAW melakukan transformasi besar-besaran yang akhirnya mewarnai dunia yang dahulunya pekat dengan kegelapan jahiliyah kepada sinarnya cahaya ketakwaan.
  2. Akhir kata, yakinlah bahawa janji Allah SWT itu benar. Ia pasti berlaku biar apa sekalipun. Setiap insan akan bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri, dipersoalkan di alam barzakh dan di akhirat nanti. Sekiranya kita mengikuti, melaksanakan dan mengamalkan segala perintahNya, maka kemenangan pasti berpihak kepada mereka yang berpegang teguh kepada kebenaran atas sebab rasa takut dan harap kepada Allah SWT. “Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam surga-surga itu mereka mengatakan, “inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu,” mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.” (al-Baqarah: 25)

Ucapan Dasar Mesyuarat Tahunan Perwakilan ini disampaikan oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman pada 2 Mei 2014 di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).