fbpx

Tugas Seorang Murabbi

Tugas Seorang Murabbi

Tugas Seorang Murabbi

Kita perlu segera memikul taklif Rabbani, melaksanakan tanggungjawab kebajikan.

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٌ۬ يَسۡعَىٰ قَالَ يَـٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ (٢٠ )

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu.” (Yaasin 36: 20)

Sifat segera menyahut dakwah Rasulullah SAW secara amali serta praktikalnya harus kita utamakan. Sebaik sahaja kita mendengar tentang dakwah ini, kita terus membuat persediaan merekrutkan diri kita untuk melaksanakan tugas Dakwah dan Tarbiyah tanpa tangguh atau menunggu rangsangan luar.

Tugas-tugas Dakwah dan Tarbiyah dilaksanakan segera:

  • Tanpa disuruh
  • Tanpa diawas
  • Tanpa dipantau, dan
  • Tanpa dipuji

Jauh daripada mengharapkan insentif, bintang gelaran atau apa jua ganjaran kebendaan (maddi).

Seorang murabbi memahami tanggungjawabnya, digerakkan oleh hati yang beriman kepada Allah SWT. Sebagaimana kata As-Syahid Syed Qutb, konsep segera ini adalah dorongan sebenar fitrah suci penuh dengan iman yang mana seseorang itu tidak boleh bertangguh lagi. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan realiti serba menakutkan ini.

Apabila iman subur, ia akan cergas, sensitif dan tidak akan mampu berdiam diri melihat keadaan munkar berlawanan dengan hukum Allah.

Muhammad Qutb dalam Manhaj Tarbiah Islamiah menyatakan istijabah iaitu respons bertindak cepat, lahir daripada makrifah hayyah. Makrifah hidup subur, sentiasa penuh kecergasan. Makrifah ini bertentangan dengan ciri jumud, mati atau sattiyah (cetek), tidak berperanan, tidak beri kesan dalam realiti kehidupan. Ada – tetapi umpama tiada.

Ada perbezaan di antara makrifah nadzariyyah (teori semata-mata) dengan makrifah hayyah. Makrifah ini hidup subur, lahir dari lubuk hati, memahami tuntutan dakwah yang hak. Dia meyakini ini bakal memberi kebahagiaan kepadanya di dunia dan juga di akhirat.

Perkara yang bermain dalam fikiran sahaja berbeza daripada yang lahir daripada iman. Sekiranya ditatbiqkan (dilaksanakan), ia meyakini akan diberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Katanya lagi, jika kita memiliki hati yang hidup subur dengan iman, memadai dengan memberikan isyarat sahaja lalu seseorang itu boleh memberikan ide, berfikir dan terus melaksanakan. Dia tidak duduk diam menunggu orang lain mengingatkannya. Dia akan bertindak sendiri tanpa perlu arahan atau tunggu disuruh, tanpa maathirah tau’iyah (dorongan luar) yang berupa insentif, pujian atau menanti ‘mood’ yang sesuai.

Bagi yang yakin dengan janji Allah SWT, semua itu bukan pendorong sebenar. Keyakinan dengan janji Allah SWT, mardhatillah itulah dorongan yang sebenar. Ini tidak bermakna kita sama sekali tidak memberi hak kepada naluri kita; perut yang lapar perlu dikenyangkan dengan makanan.

Apabila takut kepada Allah SWT lebih daripada yang lain, seseorang itu dapat berkhidmat dengan lebih ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Naluri “ingin memiliki” sesuatu kita jadikan wasilah agar menjadi ibadah. Kita hendak akhiratkan yang dunia dan akhiratkan yang akhirat. Harta dijadikan ibadah, zakat dijadikan sunah, sedekah jariah dilazimi kerana apabila matinya anak Adam putuslah amalannya kecuali tiga perkara:

  1. Ilmu yang bermanfaat
  2. Sedekah jariah, serta
  3. Doa daripada anak yang soleh

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah bahagianmu daripada hartamu wahai anak Adam kecuali apa yang kamu makan lalu habis, atau baju yang kamu pakai lalu lusuh atau harta yang kamu sedekahkan lalu kekal menjadi milikmu.” (Riwayat Muslim)

Tetapi semua ini sukar untuk dilaksanakan jika kita tidak dilatih, tidak diproses hati-hati kita secara konsisten. Hati perlu sentiasa dipujuk, diasuh dan dididik. Kita kena mampu serahkan diri kita kepada murabbi yang boleh membentuk akhlak dan pemikiran kita agar selari dengan tuntutan sebenar Islam. Membuang ego atau rasa diri ini lebih penting. Seperti apa yang berlaku kepada Kaab bin Malik dalam peperangan Tabuk. Kita perlu ikrahatun nafs, perlu paksa jiwa kita supaya tunduk kepada apa yang disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak sempurna iman kamu sehingga keinginannya itu ikut apa yang aku bawa.” (Hadith sahih)

Itulah tahap keimanan yang tinggi.

Sebagaimana kata generasi awal: “Kami adalah satu kaum yang didatangkan iman terlebih dahulu daripada Al-Quran.”


Almarhum Dato Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zin

24 Mei 2008, (Tokoh Guru Perlis 2006)