fbpx

Tajribah JDK: Zon Utara Menggamit Seribu Kenangan

Tajribah JDK: Zon Utara Menggamit Seribu Kenangan

Tajribah JDK: Zon Utara Menggamit Seribu Kenangan

KUALA KANGSAR, 14 Februari 2013 – Di antara semua modul yang tersusun dalam Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) ke-4, yang paling disukai Muhammad Syamil Mansor, 18, adalah topik pengurusan jenazah.

“Ini kerana saya dapat membuatnya secara praktikal ditunjuk ajar oleh para ustaz. Dulu saya juga pernah memandikan jenazah datuk saya. Ilmu ini boleh saya manfaatkan dalam masyarakat nanti,” katanya kepada wartawan mediaHALUAN.

Remaja dari Kulim, Kedah ini tamat bersekolah di SMK Taman Jelutong, Kulim, Kedah. Anak kelima daripada sembilan beradik ini diperkenalkan kepada JDK oleh Pengetua sekolahnya, Puan Arifah Abdul Kadir.

“Mula-mula masa masuk kem, saya rasa segan tapi memang berhajat nak datang program ini. Sekarang rasa seronok kerana saya didedahkan kepada banyak ilmu yang selama ini saya tak tahu, di samping dapat ta’aruf dengan kawan-kawan yang lebih hebat daripada saya. Alhamdulillah, kami amat rapat sekali,” katanya lagi.

Ditanya apakah pengajaran paling berharga sepanjang JDK ini, beliau menjawab, “sebelum ini saya tak kisah untuk berdakwah kepada kawan-kawan di kampung tetapi setelah dua minggu di kem ini, perasaan untuk berdakwah kepada kawan amat berkobar-kobar. Dan saya yakin rakan JDK lain di kampus nanti akan dapat saling membantu untuk buat dakwah”.

Beliau berhasrat mempromosikan JDK kepada kawan serta sanak-saudara agar mereka menyertainya. “Saya berharap agar di masa depan para peserta dapat lebih menepati masa. Ambillah ilmu yang didapati ini sebanyak mungkin untuk menjadi bekalan kita pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Nur Aimuni Mohd Azuper, 18, diajak menyertai JDK oleh kawannya. Beliau yang berasal dari Arau, Perlis pernah bersekolah di SMA Perempuan Kangar. Anak sulung daripada tiga beradik ini terasa amat kekok seusai mendaftarkan diri di kem ini.

“Mula-mula masuk rasa macam kaku, tak tahu apa nak buat dan tak kenal sangat pun orang lain. Sekarang ini rasa best sangat. Saya suka modul rekreasi. Saya juga belajar berdikari di sini dan diasah dengan kemahiran berkomunikasi. Saya rasa kalau kita mahir berkomunikasi, bukan saja kita akan mudah di IPT tetapi juga untuk berdakwah kepada orang lain. Saya memang akan syorkan kepada adik-adik di sekolah saya untuk sertai JDK ini. Sungguh bermanfaat,” katanya tersenyum.

“Lokasi sini pun best. Ada sungai air terjun. Kakak-kakak dan abang fasilitator pun peramah, sporting, caring dan amat membantu kami. Makan pun sedap, apa lagi nak?,” gurau remaja peramah ini.

Ditanya apakah harapan beliau untuk penambahbaikan JDK di masa depan, Nur Aimuni berkata perbaiki cara penyampaian dalam modul khutbah dan pengurusan jenazah. Pesanan terakhir beliau kepada rakan-rakan peserta adalah, “Praktikkan ilmu yang diperolehi untuk membantu rakan-rakan yang lain yang tidak berpeluang untuk hadir. Buat penambahbaikan diri berdasarkan input yang telah diperolehi.”

Semoga alumni JDK 2013 Zon Utara berjaya menjadi muslimin-muslimat yang bertakwa di IPT nanti. Carilah abang dan kakak Kelab Siswa HALUAN di sana nanti.

Laporan oleh mediaHALUAN