fbpx

Sukarelawan HALUAN Dilatih Ilmu Asas Kaunseling

Sukarelawan HALUAN Dilatih Ilmu Asas Kaunseling

Sukarelawan HALUAN Dilatih Ilmu Asas Kaunseling

BANDAR BARU BANGI, 18 Feb 2020 – Kursus Kemahiran Asas Psikologi dan Kaunseling oleh HALUAN bertujuan melahirkan para-kaunselor muslim yang terlatih telah dilaksanakan oleh Biro Pendidikan HALUAN.

Kursus tiga hari ini bermula daripada 14 Februari di Dewan Seminar Ibu Pejabat HALUAN di sini. Seramai 42 peserta telah menjalani kursus ini dibantu empat orang kaunselor yang bertindak sebagai penceramah sepanjang tiga hari kursus ini berlangsung.

Para peserta telah didedahkan kepada 10 slot. Slot pertama oleh Encik Engliman Roslan adalah berkenaan Konsep Asas Psikologi, Bimbingan, Kaunseling dan Psikoterapi yang menerangkan perbezaan kaunseling, para-kaunseling dan bimbingan. Slot kedua oleh Dr. Asmawati Desa adalah Kemahiran Asas Komunikasi di mana para peserta belajar kaedah menerapkan kemahiran berkomunikasi semasa sesi berkaunseling.

Seterusnya, slot ketiga adalah Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja; slot keempat Pengenalan Psikologi dan Jenis-Jenisnya; slot kelima Kemahiran Asas Kaunseling; slot keenam Prinsip dan Proses Asas Kaunseling; slot ketujuh Etika Kaunselor dan Mengapa Manusia Bermasalah; slot kelapan Teori Asas Kaunseling dan Aplikasi; slot kesembilan Pengurusan ‘One Stop Centre’ Psikologi dan Kaunseling; dan slot terakhir Demonstrasi Praktikal/Makmal Kaunseling 1.

Kursus berkenaan memberi ilmu yang sangat berguna kepada para peserta dan setiap daripada mereka dibekalkan bahan-bahan kursus antaranya buku Panduan Asas Psikologi. Mereka turut memberikan maklum balas yang sangat positif. Menurut salah seorang peserta yang ditemu ramah, kursus ini banyak memberi pengetahuan baharu dan sangat berguna kepada mereka yang bakal menjadi para-kaunselor di masa hadapan. Mereka juga turut berminat untuk menghadiri kursus bagi siri kedua demi kesinambungan.

Ketua Kluster 1 HALUAN, Prof. Madya Dr. Salehuddin Shuib telah hadir sebagai perasmi ‘One Stop Centre’ Psikologi dan Kaunseling sekaligus menutup tirai kursus berkenaan.


Laporan Norliyana Syahirah Nazri