fbpx

Seminar Sains Kesihatan 1-2 Mac

Seminar Sains Kesihatan 1-2 Mac

KOTA BHARU, 25 Jan 2014 – Seramai 80 orang ahli-ahli Sains Kesihatan HALUAN (paramedik SKH) dijangkakan akan hadir ke Seminar SKH 2014 yang dijadualkan pada 1 dan 2 Mac ini di Perpustakaan Awam Islam Dar Nur Al-Zahra’ di sini.

Menurut Pengerusi SKH, Encik Abdul Razak Ahmad, perjumpaan sulung khas untuk ahli-ahli HALUAN dan Kelab Siswa HALUAN sahaja ini bakal membincangkan beberapa aspek penting berkenaan keterlibatan ahli-ahli SKH dalam memperkasakan badan induknya iaitu Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dalam usaha menyantuni masyarakat di mana saja baik semasa damai mahupun bencana.

“Seminar ini bertujuan memperkasakan pangkalan data kami dengan panggilan kepada semua paramedik HALUAN di negeri-negeri supaya tampil memainkan peranan masing-masing. Ada hampir 20 profesion sains kesihatan yang berbeza antara satu sama lain dan SKH berharap untuk mensinergikan suadaya ini demi memartabatkan Islam dan berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira sempadan, bangsa ataupun agama,” berkata Razak yang juga menjadi pengarah seminar tersebut.

Di antara profesion tersebut termasuk teknologis makmal perubatan, jururawat wanita dan lelaki, saikologis kesihatan, dietician hospital, radiographer, optometris, terapis pertuturan, pegawai kesihatan persekitaran, juruteknik pergigian, terapis carakerja, pembantu perubatan, farmasis, penolong farmasis, saikologis klinikal, nutritionist kesihatan awam, fizioterapis, audiologist, atendan kesihatan, penolong kesihatan persekitaran, pegawai sains dan sebagainya.

Beberapa kertas kerja serta bengkel menarik akan diketengahkan. Di antaranya termasuk cabaran perubahan lanskap industri farmaseutikal dan kesan jangkapanjang ke atas bidang Sains Kesihatan, peranan dan peluang daripada pembinaan pusat perubatan Barakah, misi kemanusiaan dan anda, perlantikan Exco pusat SKH dan banyak lagi.

Razak berkata 20 tempat dikhaskan juga untuk pelajar tahun akhir SKH samada di peringkat diploma atau ijazah. Siapa cepat dia dapat. Ahli-ahli SKH yang berminat diminta mendaftarkan diri secara online di http://skh.haluan.org.my/2014/.

Maklumat tambahan yang berkaitan ada dimuatkan di pautan berkenaan.

Pengerusi SKH, Encik Abdul Razak Ahmad