fbpx

Riuh di YoungStars!3 Biannual Gathering 2017

Riuh di YoungStars!3 Biannual Gathering 2017

Riuh di YoungStars!3 Biannual Gathering 2017

TANGKAK, JOHOR, 4 Dis 2017 – YoungStars!3 Biannual Gathering 2017 atau YoungStars! 3 yang dinanti-nantikan pemuda-pemudi telah berlangsung selama dua hari satu malam pada 2 dan 3 Disember lepas. YoungStars kali ini diadakan di Tawar Farm & Plantation, Parit Bunga di sini.

Program peringkat kebangsaan ini adalah anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dengan penyertaan 300 orang remaja dari seluruh negara. Acara meriah ini turut disertai oleh dua orang remaja perempuan dari Thailand. Dengan tema ‘Sinergi Remaja, Aspirasi Ummah’, Youngstars berhasrat melahirkan golongan remaja yang berketerampilan dan mempunyai kefahaman Deen yang jelas serta menyediakan barisan pelapis yang kompeten dalam melatih pemimpin masa depan.

Konvensyen remaja kali ini berkonsepkan ilmiah dan pembinaan insan melalui penyampaian ‘heart setting’, ceramah, forum, tazkirah, bacaan mathurat, qiamullail serta diserikan lagi dengan acara pertandingan. Sebanyak sembilan jenis acara dipertandingkan iaitu pertandingan menulis cerpen, deklamasi sajak, pengucapan awam, fotografi, inovasi kreatif, video pendek, video aktiviti, memanah dan persembahan malam kebudayaan.

Semua tenaga penggerak yang di ketuai oleh Ust. Mohd Khairy Mohammed dan Encik Mohammad Erwan Zaki Mat Razi sebagai Timbalan Pengarah serta beberapa orang pemuda dan pemudi telah berkampung awal untuk menjayakan program tersebut.

Konvensyen bermula dengan taklimat oleh Ust. Mohd Khairy dan ‘Heart Setting’ oleh Erwan Zaki bertujuan mengingatkan para peserta tentang niat dan matlamat menghadiri konvensyen. Seterusnya majlis perasmian disempurnakan oleh YDP HALUAN Johor, Prof. Dr. Abdul Hakim Mohammed.

Kehangatan konvensyen tersebut semakin dirasai bahangnya dengan penyampaian seterusnya oleh motivator Encik Jumat Mat Salleh dengan tajuk “Cinta & Cabaran”.

Kemeriahan program semakin dirasai dengan bermulanya acara pertandingan. Acara pertandingan memanah menjadi acara pilihan kebanyakan peserta sehingga perlu disambung ke hari kedua untuk penentuan juara.

Selepas solat isyak pertandingan persembahan malam kebudayaan bermula dan berakhir pada 11.00 malam. Seawal jam 4.00 pagi qiamullail bermula diikuti solat subuh berjemaah dan bacaan mathurat. Hari kedua hujan rintik-rintik turun membasahi bumi Tangkak. Aktiviti riadhah pagi dilaksanakan juga.

Selesai sesi fotografi, peserta bersiap untuk sesi ke-6 iaitu Forum “Remaja, Gajet & Realiti” dikendalikan oleh Ust. Muhammad ‘Izzat Ibrahim Shamjuddin sebagai moderator disertai oleh panelis Ust. Anas Mokhtar, Ust. Umar Aiman Osman dan Dr. Noor Azah Samsudin. Forum ini memberi kesedaran tentang hukum dan adab menggunakan gajet, dengan menghubungkan kepada keyakinan kepada Allah SWT dan adanya hari akhirat.

Seterusnya adalah acara yang sangat dinantikan oleh semua peserta iaitu majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan. Tempat pertama dalam Pertandingan Penulisan Cerpen di menangi oleh Cik Siti Radiah Roslan. Tempat kedua Cik Waie Sajidah Sa’dah Zihan dan Cik Siti Aaisyah Radhiyah Zulkifli di tempat ketiga.

Bagi Pertandingan Deklamasi Sajak tempat pertama dimenangi oleh Cik Nur Syafiqah Yusri, Naib johan Encik Hafiz Nazmi Abdul Razak dan Encik Muhammad Zabir Hanif Mohamad Azian di tempat ketiga. Pertandingan Fotografi Johan jatuh kepada Cik Athirah Muhammad, Naib Johan Encik Ahmad Zulfadhli M. Zulkifli dan tempat ketiga Cik Asmaa’ Mohammad Sabri. Cik Anis Najwa Ab Razak adalah Johan Pertandingan Pengucapan Awam, diikuti Naib Johan Cik Alif Najmi Ab Razak dan tempat ketiga Cik Asma’ Athirah Shamsul.

Untuk Acara Pertandingan Video Pendek, lima kumpulan telah dinobatkan sebagai pemenang. Johan Video pendek adalah dari Johor dengan tajuk Miracle of Islam. Naib Johan video dari Putri SMIK wakil Negeri Selangor, ketiga wakil dari Negeri Kelantan. Saguhati diberikan kepada wakil dari Selangor dan turut diberi hadiah saguhati video berjudul “The Conflict” dari Negeri Johor.

Manakala untuk Pertandingan Video Aktiviti Negeri dimenangi pemenang tunggal dari Johor dengan video dari Program Kahfi.

Pertandingan Inovasi Kreatif Johan dari Negeri Johor (SMIAS) diwakili oleh Cik Dian Ariska Riyanto. Naib Johan juga dari Johor (SMIAS) diwakili oleh Encik Muhaimin Hasrin. Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan dari Kelantan diwakili oleh Cik Asma’ Mohd Sabri.

Pertandingan seterusnya,adalah Pertandingan Persembahan Kebudayaan. Johan bagi kategori lelaki dimenangi oleh kumpulan dari Negeri Johor manakala Johan bagi kategori perempuan dimenangi oleh wakil dari Perlis dengan persembahan pidato.

Bagi acara padang iaitu Pertandingan Memanah, juga dipertandingkan dengan kategori lelaki dan perempuan. Bagi kategori lelaki Johan adalah Encik Abu Basyeer Abdullah. Untuk kategori perempuan, Johan jatuh kepada Cik Siti Nur Liza Abdullah.

Sebelum melabuhkan tirai, kemeriahan YoungStar!3 kali ini telah disuntik ruh Islam oleh Setiausaha Biro Pembangunan Remaja HALUAN, Cikgu Ghazali Mohd Saad.

Akhirnya, penasihat Biro Pembangunan Remaja HALUAN, Puan Ezura Nashuha Abd Hadi telah menyampaikan ucapan kalimah akhirah.


Laporan Shamsiah Faridz, Setiausaha YoungStar!3