fbpx

RISE Bangkit Di Seluruh Negara

RISE Bangkit Di Seluruh Negara

RISE Bangkit Di Seluruh Negara

RISE-01PARIT BUNTAR, 11 Mac 2014 – Dengan tertubuhnya HALUAN Reverts and Islam Information Centre (RISE) induk di bandar ini akhir bulan lalu, Kelab HALUAN Fitrah (KHF) berhasrat menubuhkan pusat-pusat didikan mualaf dan non-Muslim tersebut di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Menurut Pengerusi KHF, Dr Jamaludin James Laeng Abdullah, RISE adalah pusat setempat untuk menyantuni pertanyaan berkenaan Islam daripada non-Muslims dan para mualaf serta tempat untuk mereka mendapat pendidikan sebenar asas-asas Islam secara terancang. RISE di Parit Buntar tersebut adalah inisiatif segelintir sukarelawan HALUAN di Pulau Pinang dan Perak yang merasa terpanggil untuk berkongsi Islam dengan masyarakat di situ setelah mendapat tahu bahawa ramai para mualaf di sana tidak mendapat bimbingan dan kaunseling agama.

Pusat itu akan dibuka secara rasmi tidak lama lagi dengan sokongan ahli-ahli jamaah masjid dan surau berdekatan yang akan dijemput untuk membacakan doa selamat sambil diperkenalkan kepada projek terbaharu oleh HALUAN ini. Mereka akan menjadi penyalur ataupun feeder kepada projek berkenaan.

“Sementara itu, kami sudahpun mula secara kecil-kecilan dengan mengajar asas bacaan Iqra’ dan fekah kepada mualaf yang ada. Kami di KHF bersepakat bahawa premis sebegini adalah penting dalam melaksanakan dakwah corak rentas-agama. Tanpa premis yang kekal, mereka akan sukar merujuk dan menghadiri sesi latihan kelas-kelas yang bakal diadakan. Bagi mereka yang belum selesa untuk memeluk agama Islam tetapi ada rasa ingin tahu, RISE menjadi pusat sehenti yang neutral di mana sukarelawan KHF yang kami latih akan berusaha membuat mereka rasa dihargai, dihormati dan dilayani agar mudah untuk mereka membuat keputusan samada ingin memilih Islam atau tidak. Kaedah kita tidak tergesa-gesa kerana pemilihan aqidah Islam ini biarlah atas keyakinan jitu diri mereka sendiri, bukan kerana faktor lain,” jelas beliau kepada mediaHALUAN dalam temubual telefon.

RISE Parit Buntar terletak di No. 31, Tingkat 1, Jalan Maharaja, Pusat Bandar Parit Buntar. Ia berhadapan dengan pasar besar di situ dan di bawahnya adalah Kedai Buku Marwans, milik salah seorang sukarelawan KHF di sana.

Dr Jamaludin menjangkakan lebih ramai warganegara Malaysia dan pekerja asing akan menyusul sebagai pelajar di RISE Parit Buntar ini menjelang akhir tahun ini.

“Aspirasi kami di KHF adalah melatih seramai mungkin penggerak-penggerak KHF di seluruh Malaysia supaya berani tampil ke depan untuk memulakan RISE di negeri dan daerah mereka masing-masing. Mereka dikehendaki melalui beberapa siri kursus khas terlebih dahulu untuk memahami selok-belok berdakwah secara rentas-agama kerana mereka kelak akan dihujani soalan-soalan sedemikian oleh pihak yang ingin tahu,” jelas beliau.

“Sebagai permulaan, suka saya syorkan agar bilik-bilik mesyuarat di pejabat-pejabat HALUAN negeri yang tidak digunakan secara harian dapat digunakan untuk tujuan mengajar mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak pengurusan pejabat. Biar pejabat HALUAN menjadi pusat dakwah yang meriah dengan kerja-kerja dakwah. Kita akan memasang papantanda bercorak standard dalam beberapa bahasa asing bukan saja di premis berkenaan tetapi juga di persimpangan-persimpangan jalan berhampiran premis itu untuk menarik perhatian non-Muslims dan mualaf di sekitarnya,” jelas beliau yang merupakan seorang bekas penganut Katolik.

Beberapa buah negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan dikatakan sudah berura-ura melancarkan pusat RISE mereka sendiri mengikut modul induk ini.


Laporan Unit mediaHALUAN.