fbpx

Relawan Bergiat Kuasai Ham Radio

Relawan Bergiat Kuasai Ham Radio

Relawan Bergiat Kuasai Ham Radio

BANDAR BARU BANGI, 11 Mei 2015 – Para relawan HALUAN maju setapak lagi demi menyantuni masyakarat mangsa tragedi serta terpinggir dengan mendalami ilmu ham radio atau radio amatur. Seramai 15 orang perintis pertama telah menyertai kursus persediaan ujian radio amatur ini di Ibu Pejabat HALUAN di sini semalam.

Ketua Biro Penerangan HALUAN (BPEN), Encik Khairul Azman Ahmad Abkari berkata BPEN selaku penganjur program rasa terpanggil untuk menaiktarafkan prosidur bantuan misi kemanusiaan dan kecemasan HALUAN dengan mempersiapkan ahlinya sebagai penggiat radio amatur berlesen. Dengan kemampuan baru ini, HALUAN dijangka dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatannya kepada masyarakat berdasarkan moto berakhlak, mendidik dan berbakti. Sasaran utama penyertaan kursus sulung ini adalah mereka yang aktif menyantuni masyarakat.

Radio amatur atau ham radio adalah penggunaan frekuensi spektrum radio yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) untuk tujuan rekreasi swasta, pertukaran mesej bukan komersial, uji kaji wayarles, latihan diri dan komunikasi kecemasan. Istilah “amatur” digunakan untuk mentakrifkan orang yang telah diberikan kuasa yang berminat dalam amalan radioelektrik dengan tujuan semata-mata peribadi dan tanpa motif kewangan”.

“Ia untuk membezakannya daripada penyiaran radio komersial, keselamatan awam seperti polis dan bomba, atau perkhidmatan radio dua hala profesional seperti penguatkuasaan maritim, penerbangan, teksi, dan lain-lain. Harapan saya adalah agar pelatih HALUAN perintis ini akan memulakan satu trend baru di mana setiap misi bantuan kecemasan dan kemanusiaan kita dalam dan luar negeri akan dapat dikoordinasikan dengan lebih cekap dan pantas melalui penglibatan ahli radio amatur kami yang terlatih,” jelas beliau dalam ucapan pembukaan.

Koordinator latihan, Dr Samsul Bahari Mohd Noor, seorang penggiat aktiviti lasak luaran berkata perhubungan semasa talian telefoni terputus boleh mencetuskan pelbagai kesukaran dan spekulasi yang akan menambahkan beban di atas isu yang sedang ditangani. Berdasarkan pengalaman HALUAN yang luas dalam misi-misi bantuan sejak tsunami 2004 dahulu, perkhidmatan radio amatur ini sudah menjadi keperluan strategik untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan.

Latihan diselaraskan oleh Kuala Lumpur DX Team diketuai oleh penggiat amatur Encik Ahmad Ridzuan Awang dengan dibantu oleh rakannya Encik Muhamad Badruddin Saidin. Peserta latihan terdiri daripada koordinator misi kemanusiaan dari Pulau Pinang, Terengganu,Wilayah Tengah serta wakil Biro IPT, Kelab Kesihatan HALUAN, Kelab HALUAN Fitrah, serta penggerak Biro Penerangan sendiri.

Di akhir latihan, peserta telah digalakkan untuk menduduki peperiksaan radio amatur asas kelas B yang dijalani oleh MCMC sebanyak dua kali setahun. Operator amatur bakal diuji untuk pemahaman mereka tentang konsep utama dalam bidang elektronik dan peraturan radio yang ditetapkan kerajaan.

Perkhidmatan radio amatur (perkhidmatan amatur dan perkhidmatan satelit amatur) ditubuhkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) melalui Peraturan-Peraturan Telekomunikasi Antarabangsa. Kerajaan negara berkenaan mengawal ciri-ciri teknikal dan operasi perhubungan dan mengeluarkan lesen stesen individu dengan mengenal pasti tanda panggilan pengguna ataupun “call sign” yang unik bagi setiap individu yang telah mendapat lesen.

Radio amatur menggunakan pelbagai teknologi suara, teks, imej, dan mod komunikasi data. Ia mempunyai akses kepada peruntukan frekuensi di seluruh spektrum RF (radio frequency) untuk membolehkan komunikasi merentasi bandar, wilayah, negara, benua, dunia, malah ke angkasa lepas.

Radio amatur secara rasmi diwakili dan diselaraskan oleh International Amateur Radio Union (IARU), yang dibahagikan kepada tiga wilayah dunia. Menurut anggaran tahun 2011 oleh American Radio Relay League, dua juta orang di seluruh dunia kerap terlibat dengan radio amatur. Sebanyak 830,000 stesen radio amatur terletak di IARU Wilayah 2 (Amerika) diikuti oleh IARU Wilayah 3 (Selatan dan Asia Timur dan Lautan Pasifik) dengan kira-kira 750,000 stesen. Kira-kira 400,000 lagi terletak di IARU Wilayah 1 (Eropah, Timur Tengah, CIS, Afrika).

Istilah “ham” dikatakan berpunca daripada singkatan panggilan “amateur” dengan tambahan huruf “H” di depannya.

Laporan Biro Penerangan HALUAN