fbpx

Peserta JDK Cakna Berdakwah non-Muslim

Peserta JDK Cakna Berdakwah non-Muslim

Peserta JDK Cakna Berdakwah non-Muslim

SHAH ALAM, 8 Feb 2013 – Jesus atau Yesus samakah? Atau silap ejaan? Apa beza Jesus dengan Jesus Christ? Bagaimana untuk kita berdakwah dengan kawan kita yang beragama Islam tapi suka berjudi, atau kaki zina, minum arak, dan hisap ganja selalu? Siapakah ketua orang asli?

Itu segelintir soalan yang dilemparkan para peserta Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) di dua pusat setakat ini kepada para penceramah terdiri daripada sukarelawan Kelab HALUAN Fitrah (KHF) yang meyantuni mereka dalam modul Kepimpinan Masyarakat. Kursus tiga minggu pasca SPM itu sedang dilalui oleh ratusan remaja di tiga buah pusat utama di zon timur, tengah dan utara semenanjung anjuran HALUAN Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ternyata reaksi remaja terhadap kaedah memperkenalkan Islam kepada kumpulan non-Muslim sangat positif dengan persoalan yang mereka timbulkan berserta adegan-adegan menarik praktikal dakwah yang mereka pertontonkan kepada para hakim dan rakan seperjuangan.

KHF beraktiviti di kem zon Timur di Universiti Malaysia Pahang pada 4 Februari lalu di mana hampir 80 peserta lelaki dan perempuan sedang berkampung di sana. Menurut Ketua KHF Zon Timur, Ahmad Khusairi Ghazali, peserta didedahkan kepada peranan KHF dan bagaimana mereka boleh mencari peluang untuk berdakwah semasa dalam kampus nanti dan juga di kejiranan rumah mereka.

“Kita menggalakkan anak-anak ini supaya membuang rasa prejudis terhadap kaum dan agama orang lain. Sebaliknya, kita harus mula berkawan dengan mereka secara ikhlas, membantu mereka di sana-sini dan mempamerkan akhlak yang terpuji. Itu dulu. Kemudian baru boleh kita ceritakan apa itu Islam selepas ianya terlebih dahulu terjelma daripada akhlak dan sikap kita yang mengasihi semua manusia,” jelas beliau yang pernah menjadi pembentang pada JDK tahun lepas.

Ketua KHF Zon Tengah, Dr Basir Towil turut menambah bahawa generasi muda kini amat tersohor berkenaan isu perbandingan agama. Beliau agak kagum dengan kematangan skop persoalan yang dikemukakan oleh peserta kepada para penceramah semasa mengetuai sesi pembentangan di Kem Bumi Jati di Shah Alam pada 7 Februari lalu.

“Ini bermaksud bahawa generasi muda kini, mungkin dengan pendedahan kepada teknologi moden telah lebih terkehadapan dalam soal dakwah. Ramai juga yang suka menonton klip video perbandingan agama di YouTube seperti Almarhum Syeikh Ahmad Deedat, Yusuf Estes, Dr Zakir Naik dan sebagainya. Kami di urusetia juga membawa beberapa buah Bible dan kitab Buddha untuk mereka melihat sendiri bersama buku-buku rujukan bagaimana untuk berdakwah kepada non-Muslims. Ini untuk membiasakan mereka agar jangan takut kepada bahan-bahan agama lain; kerana mereka sudahpun ada Al-Quran. Cuma berdakwah saja yang belum,” jelas Dr Basir dalam senyum sinis.

Para peserta turut melahirkan kelegaan dengan adanya slot KHF dalam JDK. Menurut Siti Sarah Shamsul Anuar, beliau tidak pernah mendapat penjelasan tentang agama orang lain kecuali Islam. Dengan ilmu baru ini, beliau lebih yakin untuk memulakan sesuatu bila masuk ke kampus nanti.

Abdullah Azim Khairuddin pula berkata slot KHF adalah antara kegemaran beliau kerana bukan saja dapat mendengar penjelasan penceramah tetapi juga berpeluang melakarkan situasi dakwah kepada non-Muslims semasa di kampus nanti.

“Sasaran kami adalah pada golongan muda. Generasi Y ini terdedah kepada banyak ancaman dan peluang – untuk berbuat baik ataupun jahat. Objektif JDK tentunya untuk memperkasakan akhlak mereka agar ada jatidiri di kampus mahupun selepas kampus. Dan content KHF khusus menjirus kepada kaedah bergerak secara tersusun bersama rakan dan alumni JDK lain untuk melaksanakan dakwah kepada non-Muslims di kampus nanti secara terhormat, berkasih-sayang dan beretika. Ini ciri-ciri penting yang kadang kita orang Melayu terlupa dalam menjaga ketuanan Melayu hingga Islam itu tampak macam rigid, tradisional dan mengongkong hingga menakutkan orang yang bukan Islam. Persepsi ini ingin kami ubah melalui peserta-peserta JDK ini, insyaAllah,” ulas Wan Rafi Wan Hussin, Naib Pengerusi KHF.

Sessi latihan KHF terakhir akan berlangsung di zon Utara pula pada 11 Februari nanti di kem Batu Ampar Resort, Kuala Kangsar, Perak. KHF mengalu-alukan para pelajar sekolah menengah yang masih di tingkatan empat dan lima tahun ini untuk bersedia menyertai kem JDK tiga minggu ini di tahun 2014 nanti.

“Mulalah menabung daripada sekarang. RM550 sahaja yurannya termasuk semua kos makan, minum, penginapan dan aktiviti selama tiga minggu. Ini antara kem yang termurah di Malaysia sekarang sambil pelajar mendapat pendedahan yang sangat menyeluruh baik segi rohani dan jasmani. Ramai yang teruja selepas seminggu berada di kem ini di mana banyak perspektif kehidupan remaja diharmonikan sesuai dengan fitrah kekhalifahan umat Islam untuk memimpin dunia,” jelas Pengurus Kursus JDK Zon Tengah, Encik Sabaruddin Mat Kari.

Beliau berkata berkampung sepanjang JDK sambil menjadi bapa kepada hampir 90 peserta bukan suatu yang mudah namun pengalaman mendidik ramai anak dan cucu membantu beliau melaksanakan tugasannya dengan cekap dan berkesan dengan bantuan tenaga sukarelawan veteran dan siswa-siswi HALUAN sendiri. Kelab Siswa HALUAN memainkan peranan yang sangat penting di mana relawan IPT yang sedang bercuti bergilir menjadi fasilitator di kem-kem seluruh negara.

Nantikan berita JDK seterusnya


Laporan mediaHALUAN