fbpx

Perutusan Aidilfitri 1435H Presiden HALUAN

Perutusan Aidilfitri 1435H Presiden HALUAN

Perutusan Aidilfitri 1435H Presiden HALUAN

bicara-pres-1435Puasa Melahirkan Takwa Dan Pengampunan

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Pertama dan selamanya marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan keizinan dan kehendak-Nya kita dapat melalui tarbiah madrasah Ramadan al-Mubarak 1435H dengan jayanya. Moga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

Sesungguhnya, seluruh kehidupan kita adalah untuk berubudiah kepada Allah SWT seperti yang disebut dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia hanya sanya untuk berubudiah kepada-Ku.” ( Ad-Dzariyat 51 : 56)

Takwa – Natijah Utama Madrasah Ramadan

Untuk memungkinkan tugas dan tanggungjawab ubudiah terlaksana, maka Allah SWT memprogramkan latihan tahunan intensif selama sebulan seperti yang tercatat dalam al-Quranul Karim yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat terdahulu sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertakwa.” ( Al-Baqarah 2 : 183)

Jelas di sini, ibadah puasa mempunyai satu matlamat latihan yang spesifik iaitu takwa sehingga Allah SWT akan menganugerahkan ganjaran syurga untuk mereka yang melaksanakannya dengan penuh keimanan dan pengharapan.

Puasa merupakan satu latihan multi-dimensi yang bakal melahirkan kesan dalam bentuk yang syamil (menyeluruh) yang akan memampukan individu yang mengikuti latihan ini untuk melaksanakan tugas ubudiah dalam seluruh aspek kehidupan mereka.

Kriteria Ahli Takwa

Orang yang bertakwa mempunyai ciri-ciri seperti yang diperjelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 133 hingga 135. Dalam ayat ini, Allah SWT turut menjanjikan syurga kepada mereka yang bertakwa..
Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingati Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” ( Ali-Imran 3 : 133 – 135)

Siapakah mereka yang bertakwa dalam ayat ini?

Ringkasnya mereka ialah:

Orang yang menafkahkan (hartanya) semasa lapang atau sempit,
Orang yang berjaya menahan marah,
Orang yang memaafkan (kesalahan) orang lain, dan
Orang yang segera ingat akan Allah SWT serta memohon ampun atas dosa-dosa mereka (bertaubat) setelah melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka.
Selain itu, dalam surah al-Baqarah, ayat 177 Allah SWT menjelaskan ciri-ciri tambahan bagi orang bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-minta dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat, dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” ( Al-Baqarah 2 : 177)

Dalam ayat ini jelas bahawa orang yang bertakwa itu :

Beriman dengan rukun-rukun iman,
Memberikan harta yang dicintai,
Memerdekakan hamba sahaya,
Mendirikan solat,
Menunaikan zakat,
Menepati janji, dan
Sabar ketika ditimpa musibah.
Inilah sebahagian ciri-ciri orang-orang yang bertakwa yang dijelaskan dalam al-Quran. Berdasarkan panduan di atas, bolehlah kita menyemak diri kita sama ada menepati kriteria-kriteria tersebut yang melayakkan kita meraih darjat orang-orang yang bertakwa.

Puasa Melahirkan Keperibadian Mukmin Yang Hebat

Sesungguhnya, Allah SWT tidak berhajat kepada orang yang berpuasa sekadar tidak makan dan minum sahaja. Tetapi, ia menjangkau apa yang dilihat secara zahir pada mereka-mereka yang berpuasa. Puasa yang benar, sempurna dan dilaksanakan kerana Allah SWT, pastinya akan melahirkan takwa.

Dan, orang-orang yang bertakwa dikategorikan sebagai sebaik-baik manusia. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Durrah binti Abu Lahab, ia berkata: “Ada seseorang berdiri mengadap Nabi SAW ketika baginda berada di atas mimbar, lalu bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik? Baginda bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling banyak hafal al-Quran, mereka yang paling bertakwa kepada Allah, mereka yang paling giat menyuruh berbuat yang maaruf dan paling gencar mencegah kemungkaran dan mereka yang paling rajin bersilaturrahim di antara mereka.” (HR Ahmad: Tafsir Ibnu Katsir jilid 2, ms: 111-112).

Sahabat Rasulullah SAW – Contoh Ahli Takwa Yang Terbaik

Marilah sama-sama kita renungi sebuah kisah, Khalifah Umar r.a. ketika mengadakan pertemuan dengan sahabat Rasulullah SAW lalu bertanya: “Apakah cita-cita kamu?”

Seorang daripada mereka berkata, “Aku mengharap supaya Allah menganugerahkan pada ku emas sebesar Bukit Uhud supaya aku boleh infak fisabilillah.”

Sahabat kedua bercita-cita supaya Allah memberikan rezeki dalam bentuk kuda yang memenuhi Kota Madinah supaya dapat digunakan untuk berperang fisabilillah.

Sahabat ketiga berkata, “Aku bercita-cita supaya Allah memberi rezeki dalam bentuk hamba yang memenuhi Kota Madinah untuk dimerdekakan pada jalan Allah.”

Khalifah Umar RA diam tidak berkata apa-apa. Tetapi hatinya memikirkan kata-kata tersebut. Lalu seorang daripada mereka bertanya Khalifah Umar, “apakah cita-cita kamu? Kami telah menyatakan cita-cita kami.”

Tetapi Umar RA mempunyai cita-cita yang sungguh pelik dan gharib, lalu berkata : “Aku bercita-cita supaya Allah menganugerahkan sekumpulan lelaki yang memenuhi masjid ini bersifat seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a.”

Ibrah yang boleh kita ambil daripada sirah ini ialah kerangka pemikiran Khalifah Umar al-Khattab yang menginginkan kualiti manusia yang bertakwa seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Inilah kualiti kemanusiaan yang diperlukan bagi memakmurkan dan menegakkan syariat Islam di atas muka bumi Allah.

Dan, puasa adalah jalan yang disediakan oleh Allah SWT bagi melahirkan manusia-manusia yang bertakwa.

Meraih Janji Allah SWT dan Keampunan-Nya

Selain itu juga, orang yang berpuasa dengan penuh keimanan akan mendapat pengampunan Allah SWT. Samalah juga orang yang berqiam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan juga akan diampunkan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW berkata : “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan penuh pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” ( Hadis Bukhari dan Muslim)

“Sesiapa yang berqiam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
( Hadis Riawayat Bukhari)

Pembersihan jiwa sehingga sampai ke peringkat mendapat pengampunan Allah SWT adalah merupakan hasil yang diharapkan daripada puasa yang dilalui selama sebulan ini. Sesungguhnya nilai kita di sisi Allah SWT ialah bukan banyaknya maaruf (kebaikan) tetapi kurangnya mungkar (kerosakan).

Jika sekiranya nilai ditentukan oleh banyaknya maaruf, maka Firaun adalah orang yang baik kerana ia melakukan banyak maaruf yang memberi manfaat sehingga dapat dirasai hingga ke hari ini. Ini terbukti apabila tinggalan Firaun telah memberikan satu sumbangan besar kepada industri pelancongan Mesir yang melahirkan banyak nilai tukaran wang asing dan juga melahirkan jumlah tenaga kerja yang banyak.

Namun, kerana kemungkarannya yang besar iaitu menolak Allah, bahkan menganggap dirinya sebagai tuhan maka itu ialah satu kelemahan yang sangat besar dan tidak dinilai sebagai satu kebaikan oleh Allah SWT.

Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Setiap anak Adam bersalah. Sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang bertaubat. Oleh itu, dengan pengampunan Allah SWT terhadap orang yang beristighfar yang berpuasa akan meningkatkan nilai seseorang yang berpuasa sehingga bergelar muttaqin yang melayakkan dirinya meraih janji syurga Allah Azzawajalla.

Perlaksanaan puasa mestilah merangkumi semua aspek seperti yang dijelaskan oleh Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin iaitu :

Puasa awam : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) daripada menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota daripada melakukan yang haram atau dosa.

Puasa khusus lagi khusus : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati daripada segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian daripada selain Allah sama sekali.

Jelas bahawa, puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri daripada makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan mencegah diri daripada melakukan maksiat dan dosa.

Seorang yang berpuasa, di samping menjaga diri daripada makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya daripada melakukan dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT.

Segala amalan yang dilaksanakan sepanjang tarbiah intensif sebulan Ramadan bagi meraih takwa seharusnya diteruskan pada bulan-bulan yang lain juga. Segala amal soleh seperti membaca al-Quran, mendirikan qiamulail, berzikir, infak dan lain-lain adalah merupakan jalan-jalan untuk mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Tanda segala ibadah kita diterima oleh Allah sepanjang Ramadan yang lalu adalah kita mampu terus istiqamah melaksanakannya pada bulan-bulan yang mendatang.

Muhasabah Kualiti Puasa

Mari kita lihat amalan puasa kini, di mana amalan puasa di Malaysia bercampur-campur. Ada yang memperlihatkan peningkatan terutama daripada segi ibadat terawih, bacaan al-Quran dan juga sumbangan serta bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal, golongan miskin dan lain-lain.

Namun, pada masa yang sama amalan puasa bukan mengurangkan tabiat makan malah pasar-pasar Ramadan tumbuh merata-rata bagai cendawan selepas hujan sebagai satu manifestasi meningkatnya selera makan pada bulan yang seharusnya mengenkang kadar pemakanan kita.

Di samping itu, program-program hiburan dan acara yang melalaikan tidak menampakkan pengurangan. Bahkan, terus menjadi acara sambutan bagi meraikan ketibaan hari lebaran, yang seharusnya disambut dengan hasil takwa yang dilahirkan melalui puasa sepanjang Ramadan iaitu dengan kesyukuran dan amal soleh.

Raikan Kemenangan Dengan Jiwa Kehambaan

Selain perasaan penuh kegembiraan dan kesyukuran meraikan kembalinya kita kepada fitrah di bulan Syawal ini kita haruslah berusaha untuk terus-menerus membantu saudara-saudara kita yang hingga saat ini berada dalam situasi yang amat menyedihkan terutama di Gaza dan Syria.

Kita dikejutkan sekali lagi pada bulan Ramadan yang lalu tentang serangan besar-besaran pihak Zionis Israel kepada penduduk Gaza hingga meragut ratusan nyawa dan mencederakan ribuan yang lain. Dan lebih menyayat hati, kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.

HALUAN ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua ahli HALUAN, para relawan dan seluruh rakyat Malaysia yang bermurah hati menghulurkan khidmat bakti sama ada dalam bentuk tenaga, masa dan wang ringgit bagi mejayakan kempen Kutipan Kecemasan HALUAN yang dilancarkan pada bulan Ramadan yang lalu. Sumbangan ini bukan sahaja sebagai bukti kepedulian serta sifat kemanusiaan kita kepada saudara-saudara seakidah kita, tetapi juga merupakan manifestasi salah satu sifat takwa seperti yang dijelaskan sebelum ini, iaitu berinfak sama ada pada waktu senang maupun susah ( Ali-Imran 3: 134).

Di samping itu, HALUAN juga ingin merakam takziah kepada keluarga mangsa dan krew tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang membawa 298 penumpang yang di”tembak jatuh” dan terhempas di Ukranie pada 16 Julai yang lalu.

Tragedi ini merupakan satu bentuk musibah dan ujian daripada Allah SWT kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia dan khususnya kepada mangsa serta keluarga mangsa. Semua ini Allah takdirkan berlaku pada bulan Ramadan yang lalu. Moga kita dapat mengambil ibrah daripada apa yang berlaku ini.

Semua ini membawa kepada satu hakikat bahawa kita semua adalah hamba Allah SWT dan perlu mengembalikan segala pergantungan hanya kepada-Nya. Moga seluruh rakyat Malaysia bersatu bagi menghadapi apa jua krisis, tragedi dan kemelut yang berlaku kepada kita.

Harapan – Manifestasi Ubudiah Memayungi Kehidupan

Akhirnya, semoga semua bentuk ibadah yang telah kita laksanakan sepanjang Ramadan yang lalu melahirkan satu generasi yang mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab ubudiah yang menyeluruh dalam satu sistem hidup kita yang syamil dan kamil. Diharapkan juga, sambutan hari raya akan dilaksanakan dengan penuh penghayatan takwa kepada Allah SWT dengan dihiasi rasa ukhwah dan perpaduan pada semua peringkat lapisan masyarakat.

Mudah-mudahan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin dapat dirasai dalam bentuk yang benar-benar pratikal, memayungi kehidupan seluruh rakyat Malaysia dan alam buana ini. Moga cara hidup Ramadan kali ini berpanjangan dan dapat bertahan sehingga sebelas bulan berikutnya, sehingga bertemu Ramadan ditahun hadapan. Insya Allah.


Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN
1 Syawal 1435 H