fbpx

Pertanian Asas Pembangunan Modal Insan

Pertanian Asas Pembangunan Modal Insan

Pertanian Asas Pembangunan Modal Insan

KUANG, SELANGOR, 29 Okt 2017 – Satu lawatan kerja ke tapak pembangunan pusat latihan modal insan HALUAN di Kampung Sri Kundang, Kuang telah disempurnakan oleh Pengarah Perhubungan Luar HALUAN, Encik Ahmad Fisal Salleh.

Lawatan tersebut bertujuan mengkaji kemungkinan bagi membangunkan Pusat Latihan Modal Insan HALUAN di sana. Keperluan melahirkan modal insan yang berdaya saing, berakhlak, mendidik dan berbakti adalah sangat kritikal. Justeru itu, usaha menyediakan kemudahan bagi melatih para relawan dalam ilmu kesukarelawanan, jasmani yang mantap serta kerohanian yang lestari adalah sangat penting.

Turut serta adalah Ketua Biro Penerangan HALUAN, Encik Khairul Azman Ahmad Abkari, dan pasukan Rekreasi HALUAN Unit Rawang. Mereka telah diiringi oleh Encik Hamdan Salleh, Usahawan Tani HALUAN. Tanah seluas 4.5 hektar itu adalah milik Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Berhad (Koplit Berhad) yang bertindak selaku pemegang amanah.

Ketika ini, tanaman fertigasi timun, terung serta cili telah diusahakan di tanah seluas satu hektar manakala tanaman keledek ditanam dalam keluasan 1.5 hektar. Dua hektar lagi adalah kawasan simpanan. Menurut Encik Hamdan, pelbagai cabaran telah dilalui dalam mengusahakan tanah tersebut. Berbakti kepada tanah memang menghasilkan pulangan yang baik namun rencah menjaga tanaman, ujian makhluk perosak dan pencerobohan ke atas apa yang telah diusahakan adalah ibarat resam bagi seorang petani.

Pembangunan pusat latihan modal insan ini akan melalui penilaian daripada agensi berwajib, barisan penasihat dan pengurusan HALUAN serta pihak-pihak yang berkepentingan. Selepas kajian kemungkinan ini selesai, sebuah unit pengurusan dan pembangunan pusat latihan akan dibentuk, menurut Encik Fisal.

Encik Khairul pula berkata, amanah untuk menjaga serta merancang pembangunan tersebut adalah tertakluk kepada sumbangan ide serta keringat anggota-anggota HALUAN sendiri. Ia satu peluang bagi menambah amal buat bekalan ukhrawi.


Laporan mediaHALUAN