Peranan HALUAN Dalam Kesukarelawanan
Visi kehidupan manusia adalah satu gagasan tujuan kehidupan yang terpenting bagi menggerakkan misi seseorang manusia itu memanfaatkan seluruh usia kehidupannya pada jalan yang benar dan selari dengan tuntutan Allah SWT.
Allah SWT telah merangkumkan kesemua matlamat kehidupan manusia ini di dalam “manual” kehidupan itu sendiri iaitu Al-Quranul Karim. Manual inilah menjadi sumber utama penjelasan tentang hakikat kehidupan manusia yang akan memandu manusia menuju jalan yang benar.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku.”
(Adz-Dzariyat 51: 56)
Hal ini dipertegaskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.”
(Al-Baqarah 2: 30)
Atas dasar inilah, manusia diciptakan dan jelas matlamat serta tujuan kehidupannya. Dengan tujuan yang berobjektif inilah seluruh kehidupan manusia akan terarah kepada matlamat penghambaan dan kepatuhan hanya sanya kepada Allah SWT.
Realitinya, dunia Islam pada hari ini melalui saat-saat yang getir lagi sukar apabila sedikit demi sedikit kekuatan umat Islam terhakis dan luntur tatkala berdepan dengan cabaran masa kini yang sungguh dahsyat. Prof Dr Yusof Qardawi, seorang tokoh ilmuan Islam kontemporari merumuskan bahawa permasalahan umat Islam kini berpunca daripada dua perkara besar iaitu kelemahan iman dan kelemahan akhlak.
Penyelesaian umat ini harus diusahakan secara kolektif, sinergi dan usaha sama semua pihak tanpa mengira batas kepercayaan agama, bangsa, politik mahupun geografi. Lantaran itu, kerja-kerja pemulihan, pembaikan dan pemurnian kerosakan umat perlu dilakukan dengan titik kesedaran, kefahaman dan keyakinan yang benar-benar jelas. Kerja-kerja ini tidak dapat tidak perlu dilakukan secara sukarela tanpa niat-niat yang pelbagai.
Berpijak kepada kesedaran inilah maka HALUAN ditubuhkan. Dengan prinsip, perancangan, kewujudan beberapa biro dan kelab sebagai platform serta strategi bagi mencapai matlamat organisasi – HALUAN tampil untuk menyumbangkan khidmat baktinya kepada masyarakat dan umat Islam. HALUAN berkeyakinan melalui khidmat kesukarelawanan ini mampu memberikan impak yang positif kepada pembangunan masyarakat yang madani, harmoni dan hidup aman berpaksikan syariat Islam.
Sepintas Tentang HALUAN
HALUAN adalah singkatan kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1988. Ianya merupakan sebuah NGO yang berteraskan kepada prinsip dan nilai Islam, mencurahkan bakti kepada setiap lapisan masyarakat yang memerlukan tanpa batas kepercayaan agama, bangsa, politik, status sosial mahupun geografi.
Pada peringkat awal penubuhan, aktiviti HALUAN terbatas kepada usaha-usaha kebajikan untuk manfaat ahli-ahli. Di peringkat ini, aktiviti-aktiviti HALUAN tertumpu kepada program-program seperti seminar dan kaunseling pelajar dan remaja, pendidikan keluarga, kursus-kursus berkaitan ekonomi dan keusahawanan, dan juga kem-kem motivasi dan pengurusan. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut juga melibatkan masyarakat umum bukan dari kalangan ahli, ianya agak terbatas.
Bermula pada tahun 2002, dengan peningkatan keahlian dan kemampuan mereka membantu masyarakat setempat, HALUAN mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan secara lebih meluas. Perkembangan terancang ini melibatkan aktivis-aktivis HALUAN turun membantu mengubati masalah-masalah sosial, di samping bantuan-bantuan kepada masyarakat miskin, golongan terbiar, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan seumpamanya. Usaha ini juga dapat memberi ruang kepada mereka yang mampu dan ikhlas dari kalangan masyarakat untuk menjadi relawan bersama HALUAN dengan usaha yang kemas dan tersusun.
Sebagai perkumpulan aktivis yang terlatih dan prihatin, HALUAN memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bantuan pendidikan, bimbingan dan kemasyarakatan untuk memenuhi tanggungjawab asas kemanusiaan, di samping menunaikan kewajipan kepada Pencipta dalam membina masyarakat yang memahami dan menunaikan tanggungjawab, hidup dalam harmoni, berwawasan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Oleh itu, ahli-ahli dan aktivis-aktivis HALUAN bersandar kepada motto mereka, iaitu ”berakhlak, mendidik dan berbakti”. Adalah menjadi aspirasi HALUAN untuk bersama masyarakat dalam apa juga bentuk aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan ruang-lingkup motto tersebut. Ahli-ahli HALUAN kini bertanggungjawab untuk bergerak ke hadapan, bersedia dan bangga untuk membantu, supaya sentiasa dirasai kehadiran mereka dalam masyarakat, tanpa unsur-unsur kemegahan atau kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu.
Secara umumnya, objektif kepada aktiviti-aktiviti HALUAN adalah seperti berikut:
• Membantu kerajaan dalam menangani masalah sosio-ekonomi terutama dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, saran keluarga tunggal, miskin dan anak yatim.
• Mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat.
• Menjadi bahan perantara penderma dan penerima derma.
Aktiviti Dalam Negara
Ekonomi
HALUAN menjalankan hubungan kerja sama startegik melalui agensi kerajaan iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang memfokuskan bantuan kewangan, khidmat nasihat dan membangun masyarakat luar bandar. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan bagi membasmikan kemiskinan dan menaik tarafkan ekonomi mereka.
Kerjasama yang erat ini telah terjalin sejak tahun 2009, dengan projek awal Program Pembangunan Minda Insan dan Program Kecemerlangan Pendidikan di Kedah dan Kelantan. Kemudian ia disusuli dengan pelbagai projek seperti Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) di sekitar Sabah. Berdasarkan prestasi projek yang baik pihak KKLW meluluskan beberapa projek lagi di bawah geran ini iaitu Program Latihan Kemahiran Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan bermula pada tahun 2012. Sehingga kini, projek-projek terus berjalan dengan pemantauan daripada pihak KKLW.
Pendidikan
Antara perkara yang penting dalam membangunkan sesebuah bangsa adalah memperkasakan usaha melalui pendidikan. Menyedari hal ini, HALUAN telah mengambil insiatif melalui kepakaran ahli-ahli HALUAN di semua peringkat untuk memperkasakan pendidikan melalui penubuhan beberapa institusi pendidikan bermula peringkat rendah, menengah hingga kepada institusi pengajian tinggi.
Di seluruh Malaysia, HALUAN mempunyai institusi pendidikan seperti tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Manakala, di peringkat pengajian tinggi HALUAN telah mengusahakan kolej swasta iaitu Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), mengurus semula Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPS) dan penubuhan cawangan KTD yang baru di Bandar Baru Bangi tidak lama lagi.
Kesemua ini adalah manifestasi keseriusan HALUAN dalam membantu kerajaan dan umat dalam mempertingkatkan sistem pendidikan ke arah melahirkan generasi kepimpinan masa hadapan.
Sosial dan kemasyarakatan
HALUAN juga berperanan dalam aktiviti kemasyarakatan seperti membantu menangani masalah sosial melalui program-program berbentuk kursus remaja, seminar peningkatan kesedaran melalui sinergi antara biro-biro di dalam HALUAN. Di samping memberi bantuan kepada golongan miskin dan terbiar dan anak yatim.
Melalui Biro Kebajikan HALUAN, sebuah pusat aktiviti pendidikan dan penginapan bagi anak-anak yatim dan fakir miskin yang dinamakan sebagai Asrama HALUAN Penyayang (AHP) telah ditubuhkan pada bulan Januari 2006. Asrama ini beroperasi di Kompleks Darul Miftah As-Sa’adah di Bukit Naga, Shah Alam yang dibina di atas wakaf bertempoh.
Di sini, HALUAN sebagai pihak pengurusan asrama berusaha menyempurnakan segala keperluan asas makan-minum dan tempat tinggal, pendidikan, bimbingan dan motivasi serta latihan agar mereka terbela dan terbina saksiah yang soleh musleh
Bantuan Misi Banjir
Saban tahun, negara kita akan ditimpa dengan pelbagai bencana alam terutamanya banjir. Sebagai menyahut seruan untuk berkhidmat kepada mangsa-mangsa yang ditimpa kesusahan, HALUAN sentiasa proaktif mewujudkan bilik operasi dan pasukan sokongan relawan HALUAN yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan kepakaran.
Misi Bantuan Banjir HALUAN telah lama digerakan dan akan beroperasi apabila keadaan menuntut untuk pihak HALUAN berbuat demikian. Terkini, bantuan yang dihulurkan bagi misi ini ialah pada bencana banjir hujung tahun 2013 dan awal tahun 2014 yang berjaya mengumpulkan seramai 300 orang relawan HALUAN dari seluruh negara untuk memberikan sumbang bakti mereka kepada masyarat.
Aktiviti Luar Negara
Khidmat bakti HALUAN tidak hanya terbatas di dalam negara semata. Tetapi menjangkau batas geografi dan sempadan negara. Khidmat bakti kemasyarakatan, kemanusiaan dan kebajikan ini adalah untuk seluruh umat manusia yang memerlukan.
HALUAN telah banyak terlibat dalam memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa, seperti bencana tsunami di Acheh dan Sri Lanka pada tahun 2004, gempa bumi di Pakistan dan Kashmir pada tahun 2005, gempa bumi di Sichuan, China pada tahun 2008, Gempabumi di Sumatera Barat pada tahun 2009, bencana Letusan Gunung Merapi pada tahun 2010, gempabumi di Van dan Ercis di Turki pada tahun 2011, dan juga bantuan kepada pelarian bencana Kemarau dan kebuluran di Somali pada tahun 2011 dan 2012.
Misi-misi tersebut dijayakan oleh Biro Kemanusiaan HALUAN dengan kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN dan Kelab Relawan HALUAN, di samping kerjasama erat dengan badan-badan dan NGO lain seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM,) Majlis Keselamatan Negara, Bulan Sabit Merah Indonesia, Alliance of International Doctors (AID), Insani Yardem Vakfi Turki, dan banyak lagi.
Di samping itu, sinergi erat antara Biro Misi Kemanusiaan dengan Biro HALUAN Palestin dalam membantu mangsa kekejaman rejim Zioinis, termasuklah bantuan kepada pelarian-pelarian Palestin yang bertebaran di luar negara mereka telah melebar luaskan lagi misi bantuan luar negara ini. Antaranya, gandingan Biro HALUAN Palestin, Biro Misi Kemanusiaan, HALUANITA, Kelab Siswa HALUAN Jordan, Kelab Siswa HALUAN Mesir dan Kelab Kesihatan HALUAN telah mengadakan program bantuan dan khidmat rawatan kesihatan di Kem Pelarian Tanf dan Hassake di sempadan Syria, Iraq dan Lubnan.
Relawan HALUAN
HALUAN sebagai sebuah badan NGO yang memfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan kesukarelawan amat-amat mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak khususnya rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan mereka. Kami menerima pelbagai bentuk sumbangan sama ada berbentuk kewangan, kepakaran dan tenaga.
Justeru itu, untuk menyelaraskan gerak kerja secara meluas, sistematik dan tersusun, HALUAN membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk turut bersama-sama HALUAN dalam menjayakan pelbagai misi kemanusiaan yang akan sentiasa dirancang dari semasa ke semasa. Mekanisme yang diwujudkan ini tidak lain adalah untuk menyemarakan lagi semangat kesukarelawanan ini dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan keprihatinan dan sifat suka menolong.
Proses pemilihan sukarelawan HALUAN
HALUAN berbakti kepada masyarakat dengan bersandarkan kepada komitmen serta jatidiri ahli-ahli dan para sukarelawannya. Relawan-relawan ini perlulah ikhlas dalam mengorbankan keselesaan, masa dan wang ringgit serta berkongsi apa jua bentuk tenaga, kepakaran dan pengalaman, tanpa mengharapkan balasan atau penghargaan dari mana-mana pihak.
Secara umumnya, para relawan HALUAN dipilih berdasarkan kepada keperibadian mereka dan kesediaan mereka untuk berbakti kepada masyarakat. Ia selari dengan aspirasi HALUAN sendiri iaitu Berakhlak Mendidik dan Berbakti. Harus ditegaskan, penglibatan para relawan ini adalah secara sukarela dan tidak menerima apa-apa ganjaran atau imbuhan daripada HALUAN.
Bagi mereka yang bersedia dan berminat untuk menjadi relawan HALUAN boleh memohon secara atas talian di http://www.haluan.org.my/v5/index.php/borang-relawan-haluan atau melalui borang isian secara manual.
Bagi permohonan yang telah diluluskan, para relawan akan mengikuti beberapa Modul Relawan yang terdiri daripada beberapa modul seperti :
• Kursus kesihatan
• Kursus bantuan kecemasan
• Kursus Pertahanan Awam/Kebombaan
• Kursus khidmat kemasyarakatan
Latihan, kursus dan train of trainer (ToT) secara berperingkat dan bertahap ini dirangka agar setiap relawan HALUAN mampu mempersiapkan diri secara holistik meliputi jasmani, emosi, rohani dan intelek sebelum melibatkan diri di dalam misi kemanusiaan yang digerakan oleh HALUAN sama ada di dalam negara mahupun luar negara.
Besar hasrat HALUAN, agar melalui medium ini aktiviti kesukarelawanan dapat “dimasyarakatkan” kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa terpanggil untuk menyantuni sebahagian masyarakat yang ditimpa pelbagai musibah dan bencana melalui gerak kerja secara tersusun dan berfokus.
Penutup – Bersinergi Dalam Kesukarelawanan
HALUAN berpandangan bahawa isu-isu kemasyarakatan, perkhidmatan sosial, kesukarelawanan dan kebajikan perlu digerakan secara kolektif dan bersinergi antara semua pihak sama ada individu perseorangan, agensi kerajaan mahupun badan NGO yang ada ada.
Ini kerana gerak kerja bersinergi ini mampu menjadi alternatif kepada usaha kita semua dalam menggembleng tenaga dan kepakaran untuk membangunkan umat, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia.
Firman Allah SWT maksudnya:
“Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takut olehmu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dasyat.”
(Surah Al-Maidah 5 : 2)
Moga sedikit usaha kita ini dikira oleh Allah SWT sebagai amal soleh dan diganjari oleh-Nya dengan keredhaan-Nya serta Syurga.
“Berakhlak, Mendidik Dan Berbakti”
Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN