fbpx

MKMerapi-1: Berita dari Kaki Gunung Merapi

MKMerapi-1: Berita dari Kaki Gunung Merapi

MKMerapi-1: Berita dari Kaki Gunung Merapi

Assalamualaikum wbt,

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua,

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana diberi peluang untuk kita berkomunikasi pada hari ini. Bersyukur juga kerana dilindungi daripada bencana letusan Gunung Merapi yang masih berstatus ‘AWAS’.


Seperti yang diberitahu pihak kerajaan Indonesia, kawasan di sekitar Gunung Merapi masih dalam status ‘AWAS’ sehingga 20 November, Sabtu.  Walaupun radius kawasan bencana telah dikurangkan daripada 20 km kepada 10 km, penduduk sekitar Gunung Merapi masih dalam keadaan berjaga-jaga termasuk mereka yang berada di posko-posko keselamatan. Hanya para tentera dan pasukan penyelamat yang dibenarkan berada dalam radius 5 kilometer untuk menjaga kawasan jika berlaku kecemasan.

Setelah sesi tinjauan yang diadakan di beberapa kawasan semalam, didapati kawasan sekitar radius 10 km telah mengalami kesan kerosakan yang amat teruk terhadap penduduk, haiwan ternakan dan tanaman. Kelihatan abu tebal telah menyeliputi kawasan-kawasan tersebut. Abu panas tersebut telah membunuh banyak haiwan ternakan dan tanaman-tanaman yang merupakan sumber pendapatan kepada penduduk di sini. Sumber pendapatan utama di sini adalah buah ‘Salak Pondok’ yang sangat manis dan terkenal dengan kelazatannya. Hampir semua pokok salak, kelapa dan buluh menjadi longlai, patah dan mati akibat abu panas yang berpunca dari letusan Gunung Merapi. Mereka yang terbabit dengan bencana dijangka akan kehilangan sumber pendapatan sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga bulan.

Setakat ini, lebih daripada 100,000 orang pelarian masih mendiami pusat-pusat penempatan sementara. Mereka amat memerlukan bantuan-bantuan dari segi ‘sembako’ (beras, minyak, tepung, gula, gandum dsb), lampin bayi, pakaian dalam, kewangan, bantuan perubatan dan paling penting sekali adalah motivasi dan ‘trauma healing’ untuk pulih. Didapati seramai 109 orang dewasa telah dihantar ke rumah sakit jiwa akibat bencana ini dan seorang mangsa telah membunuh diri. Di sini kita dapat perhatikan bahawa bantuan “trauma healing’ adalah amat penting bagi membantu mereka untuk bersabar dan bersemangat untuk terus hidup. Teknik baru yang kami pelajari daripada pasukan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) adalah teknik ‘hypnosis’ yang dapat mengurangkan tekanan dan membantu mereka dari segi menguatkan mental.

Plan seterusnya pada hari ini ialah kami akan ke posko BoyoAli untuk sesi rawatan percuma hingga lewat petang dan lawatan ke kawasan bencana yang berhampiran. Kami juga akan cuba menghampiri kawasan radius lima kilometer dengan bantuan relawan tempatan dan tentera.

Alhamdulillah, kami semua masih dalam keadaan sihat dan doakan kesejahteraan kami hingga menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepada kami dengan sebaik mungkin. Kami mengharapkan relawan-relawan HALUAN terutama pemuda-pemudi dan doktor-doktor muda Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) untuk bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab di Jogja InsyaAllah.

Sekian,

Ahmed Yasir Jesmi
Tim 1 – Misi Kemanusiaan Merapi (MKM)
18 November 2010