fbpx

MESRA 14 : Semarak Semangat Ukhwah Mahabbah

MESRA 14 : Semarak Semangat Ukhwah Mahabbah

MESRA 14 : Semarak Semangat Ukhwah Mahabbah

BANGI, 15 Jun 2014 – Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Wilayah Tengah telah menganjurkan Majlis Erat Silaturrahim (MESRA) pada 14 dan 15 Jun di Ibu Pejabat HALUAN, Bandar Baru Bangi. Program ini telah berjaya menarik lebih 100 orang mahasiswa daripada IPT di sekitar Lembah Klang yang baru menjejaki menara gading.

Penyampaian yang pertama “Tarbiyah Membentuk Peribadi Mahasiswa Cemerlang” telah disampaikan oleh Encik Abu Ubaidah Sharudin, Presiden HALUANSiswa. Penyampaian tersebut telah menyentuh mengenai ciri-ciri pelajar cemerlang dan realiti dunia IPT. Slot kedua diteruskan dengan sesi “Pengenalan HALUANSiswa” oleh Encik Fian Murshidy Tengku Dian.

Hari kedua dimulakan dengan kuliah Subuh bertajuk “Al-‘Asr- Memerah Sebuah Usia” oleh Ustaz Shairazi Sharizan kemudian disusuli slot “Ukhwah Games” pada pukul 7.30 pagi. Aktiviti ini memberi ruang kepada peserta untuk berkenalan dan membina ukhwah dengan rakan-rakan baru yang datang daripada IPT dan latar belakang yang pelbagai.

Buat saudara Mohd Akbar Jamian, mahasiswa tahun satu Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC), pada awalnya beliau agak canggung untuk mendekati rakan-rakan yang baru dikenali. Namun, setelah melalui aktiviti-aktiviti sepanjang program itu, beliau terasa gembira dan secara tidak langsung dapat merapatkan silaturahim dengan rakan-rakan baru.

Sementara itu, siswi tahun satu Universiti Antarabangsa Madinah (MEDIU), Sharifah Aaisyah Syed Haleem al-Hadad melahirkan rasa teruja kerana dapat berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan mahasiswi lain yang datang daripada IPT yang berbeza. Beliau turut berharap pada masa akan datang program ini mampu menjadi batu loncatan untuk hubungan yang lebih erat antara peserta dan berganding bahu dalam merancakkan dakwah di kampus masing-masing dengan bantuan HALUANSiswa.

Encik Abu Ubaidah menambah bahawa aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh HALUANSiswa baik di peringkat nasional mahupun negeri sentiasa mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa yang dipelawa sehinggakan kadangnya perlu dihadkan bilangan kehadiran. Ini petanda baik bahawa HALUANSiswa sedang berjaya menongkah arus menentang kebejatan sosial yang sedang melanda generasi muda terpelajar kini seperti fahaman atheisme, hedonisme, liberalisme, syiah dan seumpamanya yang turut menyerang mereka yang belum Islam.

Laporan oleh Maryam Shamsudin, Setiausaha MESRA’14