fbpx

Kewajipan Kita Sebelum Dan Setelah Terbit Matahari

Kewajipan Kita Sebelum Dan Setelah Terbit Matahari

Kewajipan Kita Sebelum Dan Setelah Terbit Matahari

Imam Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah ada menyebut, sebelum terbit matahari, kita perlu laksanakan empat perkara. Iaitu; Membaca al-Quran, Berzikir, Berdoa dan Berfikir. Dr. Abdullah Sudin menghuraikan secara ringkas pesanan Imam Ghazali dalam artikel ini.

Sebelum Terbit Matahari

• Membaca Al-Qur’an

Apa yang dapat difahami daripada satu pesanan Rasulullah SAW bahawa kita perlu mengkhatamkan al-Quran sekali dalam sebulan. Jika ia dibahagikan mengikut hari, satu hari perlu dibaca satu juzuk al-Quran. Jika kita membaca sekaligus satu juzuk al-Quran, bagi yang cepat bacaannya boleh dihabiskan sekitar setengah jam dan bacaan biasa mungkin sekitar satu jam. Kita juga boleh mengamalkan bacaan al-Quran harian kita dengan perancangan yang lain. Misalnya, setiap kali selepas solat kita membaca al-Quran sekitar 10 minit. InsyaAllah, kita mampu untuk menghabiskan satu juzuk al-Quran dalam masa sehari.

• Berzikir

Berkaitan berzikir, kita boleh mengamalkan pelbagai zikir yang mudah seperti mengulangi ungkapan syahadah لا اله الا الله, beristighfar, memuji Alllah SWT dan sebagainya. Zikir al-Ma’thurat juga termasuk dalam zikir yang perlu diamalkan. Begitu juga selawat ke atas junjungan nabi Muhammad SAW yang boleh diamalkan sebagai zikir. Hakikatnya terdapat pelbagai jenis selawat yang boleh kita amalkan.

• Berdoa

Mengenai berdoa, terdapat pelbagai doa yang baik. Kita boleh berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat kita. Doa mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kita boleh berdoa kepada Allah SWT pada saat yang perlu atau pada saat yang sesuai, seperti selepas menunaikan solat. Rasulullah SAW dan para sahabat sangat banyak berdoa. Begitu juga ulama terdahulu, mereka banyak berdoa.

• Berfikir

Sehubungan dengan berfikir, beliau menjelaskan bagi seorang mukmin perlulah sentiasa berfikir berkaitan hubungan dengan Allah SWT. Sebelum seseorang berbuat sesuatu, dia berfikir dahulu adakah perkara itu dipersetujui oleh Allah SWT atau pun tidak. Kita perlu berfikir supaya sentiasa berada di atas landasan syarak. Kita berfikir agar menjadi insan rabbani sepertimana firman Allah SWT:

“مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ ”

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Al-Imran:79)

Manusia sering tersasar dalam berfikir. Manusia sering berfikir dalam skop memenuhi kehendak hawa nafsu sahaja. Contohnya, orang yang tiada wang hanya berfikir untuk mencari wang atau mencari makan. Orang yang ada wang hanya berfikir apa yang mahu dimakan atau di mana tempat untuk makan. Orang yang berkuasa pula hanya berfikir ‘siapa yang mahu dimakan’ atau ‘siapa yang akan dizalimi’. Kita perlulah banyak berfikir bagaimana hendak mendaulatkan sistem Allah SWT. Inilah perkara penting yang perlu di letakkan dalam perjalanan kehidupan kita.

Setelah Terbit Matahari

Seterusnya Imam Ghazali menyatakan bahawa setelah terbit matahari, perlu dilakukan empat perkara, iaitu: Mencari ilmu, Beribadah, Beramal dan Mencari rezeki

• Mencari Ilmu

Berkaitan mencari ilmu, ia adalah perkara yang sangat penting dan utama untuk menjadi insan rabbani. Seseorang perlulah mencari ilmu sehingga ia boleh mengajar dan menyampaikan kepada orang lain. Apa yang menjadikan Nabi Adam berhak diamanahkan menjadi khalifah di bumi ini adalah kerana ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT: (Al-Baqarah : 30-33)

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.(30)

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”. (31)

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.(32)

قَالَ يَا آدَمُ أَنبِئْهُم بِأَسْمَائِهِمْ ۖ فَلَمَّا أَنبَأَهُم بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ
Allah berfirman: (33)

Dengan ilmu manusia memiliki kelebihan tertentu berbanding malaikat. Oleh itu kita perlu meningkatkan ilmu. Inilah antara tugas kita setelah terbit matahari pada setiap hari. Kita pertingkatkan ilmu syara’, ilmu realiti dan segala ilmu yang diperlukan khususnya yang berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab kita.

• Beribadah

Perkara seterusnya yang perlu dilakukan setelah terbit matahari ialah beribadah kepada Allah SWT. Manusia pada hari ini banyak lalai untuk melaksanakan kewajipan beribadah. Sering terjadi, kerana sibuk dengan kerjaya, maka solat ditinggalkan. Sering terjadi, kerana sibuk dengan mesyuarat, maka terlepas waktu solah. Kita berkewajipan untuk menghidupkan hati, jiwa dan kehidupan masyarakat supaya beribadah kepada Allah SWT.

• Beramal

Kewajipan seterusnya setelah terbit matahari ialah beramal. Yang dimaksudkan dengan beramal bukanlah terbatas dengan amalan zikir dan wirid sahaja. Beramal hendaklah sampai ke peringkat kita boleh memberi manfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

Seorang pendakwah yang baik ialah pendakwah yang dapat melakukan kerja-kerja kebajikan sehingga masyarakat sayang kepadanya. Fungsi kehidupan kita bukan sahaja berfaedah untuk diri kita sendiri tetapi juga berfaedah untuk keluarga dan masyarakat. Agar kewujudan kita dirasai dan bermanfaat oleh orang lain. Sebagai dai dan sebagai murabbi, kita mestilah berfungsi untuk memberi manfaat kepada organisasinya dan juga kepada masyarakat. Janganlah sekali-kali membawa fungsi yang merosakkan organisasi atau masyarakat.

Jika kadar berlakunya kemungkaran lebih cepat daripada kadar berlakunya makruf, maka dikhuatiri lama kelamaan makruf itu akan lenyap. Justeru itu hendaklah kita pastikan bahawa amal kita boleh memperbaiki suasana masyarakat, di mana saja kita berada. Misalnya kita perlu berfungsi di masjid yang ada di tempat kita. Janganlah sampai terjadi rumah kita berhampiran masjid, tetapi kita tidak berfungsi apa-apa untuk memakmurkan masjid.

Kita juga boleh berfungsi dan berkhidmat membantu manusia yang memerlukan bantuan. Allah SWT memberikan amaran dalam firmankan (Surah Al-Ma’un: 1-3)

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ
Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1)

فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ
Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,(2)

وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ
Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)

Meskipun kita solah dan puasa, jika kita tidak memenuhi keperluan anak yatim dan orang miskin, maka dibimbangi kita tergolong dalam golongan mereka yang mendustakan din atau berbohong dalam din.

Kata Syed Qutb (dalam tafsir Fizilil Quran): “Inilah garis pemisah antara iman dan kufur”.

Ini bermakna orang beriman sebenarnya adalah orang yang prihatin kepada anak-anak yatim dan orang miskin. Orang yang berbohong dalam din ialah orang yang tidak menjaga kepentingan anak-anak yatim dan tidak menjaga orang miskin. Islam bukan sekadar din bersifat spiritual, tetapi Islam juga adalah din bersifat kemasyarakatan. Amal-amal kita perlu dibuka agar ia meliputi semua aspek kehidupan.

Kata Syed Qutb lagi: “Sehinggakan Allah SWT tidak nyatakan secara jelas samada anak yatim dan orang miskin itu samada perlu mereka orang Islam atau tidak.”

Ini bermakna, apabila wujud anak yatim dan orang miskin, tidak kira apa agamanya, maka mereka berhak ke atas orang mukmin untuk membantu mereka. Negara-negara Islam pada hari ini memiliki bilangan penduduk miskin yang sangat ramai.

• Mencari rezeki

Perkara seterusnya adalah mencari rezeki. Apa yang berlaku hari ini, ada dikalangan anggota masyarakat, sebelum terbit matahari sudah keluar bekerja dan setelah terbenam matahari barulah pulang daripada bekerja. Sehingga tenggelam tiga perkara yang lain. Sehingga tidak sempat menghadiri usrah atau usrah mula terlalu lewat.

Imam Ghazali telah menggariskan empat perkara yang perlu dilakukan. Sedangkan kerjaya hanyalah satu per empat sahaja daripada saranan Imam Ghazali. Oleh itu, kita perlu menyusun kembali masa. Jangan kita berikan keutamaan pada perkara yang tidak utama.

Ada manusia hari ini terlalu sibuk sehingga tidak ada baginya hari hujung minggu. Sehingga seluruh hidup dihabiskan kepada kerjaya. Jika kerjaya itu mendaulatkan sistem Allah SWT, bolehlah juga kita terima. Tetapi sayangnya kerjaya itu semata-mata mendaulatkan sistem yang bukan Islam. Justeru itu hendaklah kita menyusun masa dengan baik kerana kita semua akan kembali kepada Allah SWT. Seperti firman Allah SWT (Al-Mu’minun: 15-16)

ثُمَّ إِنَّكُم بَعْدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ
Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.(15)

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ
Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.(16)

Sesungguhnya mati dan hidup kita, semuanya bertujuan kepada Allah SWT, untuk menilai antara kita, siapakah yang lebih baik amalannya. FirmanNya (Al-Mulk: 2)

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Penutup

Pengurusan hidup harian kita hendaklah dari awal perlu dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Sebelum terbit matahari lakukan empat perkara, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan berfikir. Dan setelah terbit matahari lakukan empat perkara pula, mencari ilmu, beribadah, beramal dan mencari rezeki. Ini penting supaya seluruh kehidupan kita berada dalam kerangka Islam yang betul. Semoga kita semua menjadi insan rabbani.

Dikarang semula oleh Abu Taqiyuddin Hussein
Petikan tazkirah oleh Dr. Abdullah Sudin pada 25.5.2013 kepada ahli-ahli HALUAN