fbpx

KENYATAAN MEDIA: Kempen Kecemasan Palestin

KENYATAAN MEDIA: Kempen Kecemasan Palestin

KENYATAAN MEDIA: Kempen Kecemasan Palestin

UNTUK SIARAN SEGERA 11 Julai 2014

Ketika umat Islam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan, tentera Israel melancarkan serangan berterusan ke atas wilayah Gaza dan melakukan penangkapan ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Jerusalem Timur. Serangan ke atas Gaza sejak Isnin, 7 Julai lalu telah mengorbankan 87 nyawa dan mencederakan lebih 550 orang penduduk orang awamnya setakat ini.
Seperti siri-siri serangan yang dicetuskan Israel sebelum ini, rumah-rumah penduduk awam tetap menjadi sasaran utama serangan tentera udara Zionis yang cuba membunuh pemimpin-pemimpin pejuang Palestin di Gaza. Berikutan peningkatan jumlah kecederaan, Kementerian Kesihatan Gaza telah mengisytiharkan keadaan darurat di mana mereka tidak lagi dapat menampung keperluan bantuan perubatan.
Perkhidmatan perubatan di Gaza terjejas teruk sebelum berlakunya serangan besar-besaran ini akibat embargo yang dikenakan oleh Israel dan sekutunya sejak tahun 2006. Kebanyakan jenis ubat-ubatan asas telah habis bekalan dan lebih 50 peratus perkhidmatan ambulan tidak dapat beroperasi kerana kekurangan bekalan minyak. Keadaan menjadi lebih mencengkam apabila kerajaan Mesir menutup pintu sempadan di lintasan Rafah, satu-satunya laluan bukan Israel untuk penduduk Gaza ke dunia luar. Berbanding dengan serangan pada tahun 2012, hospital-hospital di Gaza kini tidak lagi dapat memindahkan pesakit kritikal ke pusat-pusat perubatan di Mesir.
Mangsa serangan juga berhadapan dengan masalah mendapatkan penempatan sementara dan juga keperluan asas seperti makanan, air minuman dan pakaian. Kemusnahan teruk akibat serangan ini membawa kepada peningkatan kemiskinan secara mendadak, menyebabkan penduduk Gaza tidak mampu sama sekali untuk membiayai keperluan asas mereka. Lebih 30 peratus penduduknya tidak mempunyai pendapatan harian dan kadar pengangguran adalah lebih daripada 41 peratus.
HALUAN melancarkan kempen ini untuk mengajak masyarakat Malaysia bersama-sama membantu mangsa-mangsa kezaliman Zionis dalam fasa kecemasan ini. Bantuan tersebut adalah bertujuan memenuhi kos keperluan asas mereka untuk mendapatkan rawatan dan bekalan ubat-ubatan, membayar sewa penginapan sementara serta bekalan makanan dan pakaian.
Kempen ini menyasarkan kutipan sebanyak RM3 juta. Ia akan berterusan selama satu setengah bulan bermula dari tarikh pelancaran iaitu 11 Julai sehingga 22 Ogos 2014. Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan sumbangan yang berterusan sehingga selepas kempen ini untuk membantu keperluan lanjutan penduduk Gaza yang telah kami santuni sejak awal tahun 2007 lagi dengan menghantar beberapa siri misi ke sana.
Melalui kempen ini, relawan HALUAN akan mengadakan kutipan sumbangan di bazar Ramadhan, masjid, surau, pasaraya dan seumpamanya. Kami juga mengalu-alukan kerjasama badan korporat, jabatan kerajaan atau orang perseorangan yang ingin turut membantu atau mengeluarkan zakat berkaitan dengan kempen ini.
Sepertimana usaha bantuan yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia dalam peristiwa serangan pada tahun 2012, HALUAN dengan kerjasama rakan NGO kami di Gaza bergegas menyampaikan bantuan melalui penghantaran dari rumah ke rumah dan juga kunjungan kepada mangsa-mangsa yang masih terlantar di hospital. Usaha ini dibuat melalui kelulusan Kementerian Dalam Negeri Gaza supaya agihan bantuan dibuat secara tersusun dan adil serta tidak berlaku sebarang penyelewengan.
Sebagai panduan, setiap pakej bantuan makanan kecemasan bernilai sekitar USD100 dan kos yang diperlukan untuk membaiki rumah atau menyewa kediaman kepada 1,000 orang mangsa adalah lebih daripada USD 200,000.
Sungguhpun jumlah ini adalah sangat kecil berbanding dengan keperluan sebenar di Gaza, kami berharap kempen ini dapat membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk berbakti dan merasai keperitan mereka dengan penuh keikhlasan.
HALUAN menyeru semua lapisan masyarakat mengambil kesempatan di bulan Ramadan yang mulia ini untuk memanjatkan doa bagi keselamatan penduduk Gaza dan Palestin seluruhnya. Kita juga seharusnya mengambil peluang di bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini untuk menghulur bantuan sebanyak yang mungkin, kerana Allah telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda ke atas setiap sumbangan kebaikan tersebut.
Akhirnya, kami menyeru masyarakat supaya menyebarkan fakta dan berita tentang apa yang sedang berlaku di Palestin secara menyeluruh meliputi isu penting di Gaza, Tebing Barat dan Masjid al-Aqsa, agar permasalahan Palestin dan Masjid al-Aqsa tetap mendapat perhatian kita sehinggalah ia aman dan bebas merdeka.
Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui akaun khusus untuk Kempen Kecemasan Palestin seperti berikut:
Nama akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN”
Maybank Berhad : 5644-9020-8528, atau
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

Setiausaha Agung, HALUAN