fbpx

Kem Rekreasi Dan Khidmat Masyarakat Relawan HALUAN 2010

Kem Rekreasi Dan Khidmat Masyarakat Relawan HALUAN 2010

Kem Rekreasi Dan Khidmat Masyarakat Relawan HALUAN 2010

PULAU AMAN, 1 Ogos 2010 – HALUAN Pulau Pinang buat pertama kalinya mengadakan Program Kem Rekreasi Dan Khidmat Masyarakat Relawan Haluan 2010 untuk peserta–peserta relawan muda di tapak perkemahan Telaga Emas, Pulau Aman, Pulau Pinang pada 30 Julai hingga 1 Ogos 2010 sebagai sebahagian daripada program latihan bersepadu relawan HALUAN.


Program yang berjalan selama 3 hari 2 malam ini dihadiri oleh 14 orang peserta lelaki dari Madrasah Al Irsyadiah, Sg. Acheh, Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang. Sebelumnya mereka telah mendaftar sebagai relawan semasa program Gotong Royong Perdana dan Program Khidmat Masyarakat HALUAN di Masjid Baru Sungai Bakap (Utara), Seberang Perai Selatan pada bulan Julai 2009. Seramai 10 orang wakil HALUAN turut menghadiri program ini terdiri daripada 4 orang pemerhati dan 10 orang fasilitator.

Program ini bermula dengan menaiki bot feri ke Pulau Aman selama 10 minit merentasi 2.5 batu nautika dari jeti Batu Musang, Batu Kawan, dan diteruskan dengan berjalan kaki sejauh hampir 2 kilometer ke tapak perkemahan Telaga Emas. Kawasan ini terkenal dengan sebuah telaga air tawar yang digali di tepi pantai pada tahun 1879, beberapa tahun selepas Francis Light mendarat di Pulau Pinang.

Setibanya di tapak perkemahan, taklimat ringkas telah diberikan oleh saudara Saiful Azmi Omar selaku Komander Kem, diikuti dengan pemasangan 7 buah kemah oleh peserta relawan. Seterusnya, sesi perkenalan bersama fasilitator telah diadakan selepas solat Maghrib dan sesi perkongsian pengalaman sebagai relawan HALUAN selepas solat Isyak.
  
Pelbagai aktiviti luar juga telah diadakan sepanjang program. Peserta relawan diberi peluang melakukan riadhah pada waktu pagi, mempelajari latihan pertolongan cemas, menyertai permainan polo air dan meneroka Pulau Aman bersama-sama dengan fasilitator, di selang-selikan dengan ceramah motivasi. Di dalam slot ceramah motivasi yang disampaikan, para peserta didedahkan dengan kaedah untuk membentuk peribadi Muslim yang soleh, kepentingan mengamalkan cara hidup Islam yang telah digariskan oleh Rasul SAW di dalam kehidupan, serta latihan-latihan asas yang perlu dilalui sebagai relawan.

Pada malam hari kedua, satu Ceramah Kesedaran Palestin telah diadakan di Masjid Pulau Aman yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Latif Ismail, Ketua Unit Agama Pusat Serenti Karangan, Kedah yang juga petugas Pusat Islam USM, dihadiri oleh para peserta relawan, fasilitator dan penduduk setempat.

Pada hari terakhir, program diteruskan dengan ceramah motivasi yang menarik oleh Prof Dr Ismail Jusoh, Yang Dipertua HALUAN Pulau Pinang, dan diakhiri oleh program gotong royong membersihkan tapak perkemahan Telaga Emas dengan kerjasama Unit Nelayan Pulau Aman yang telah sudi memberikan peralatan untuk melaksanakan program gotong royong.

Para peserta yang menghadiri program ini telah memberikan kerjasama yang amat baik kepada program ini serta mengharapkan dapat menyertai program seperti ini lagi pada masa akan datang.  Kata mereka, ini adalah kali pertama mereka didedahkan dengan aktiviti – aktiviti seperti ini serta berasa gembira kerana dapat berkongsi cerita serta pendapat dengan fasilitator. Semoga program ini menjadi kenangan untuk dibawa pulang dan mendorong peserta untuk terus menyertai program ini di masa akan datang.

Dalam perkembangan yang lain, pihak Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) juga aktif mengadakan pemeriksaan kesihatan umum untuk masyarakat Pulau Aman bertempat di jeti Pulau Aman yang juga telah mendapat sambutan baik dari para pengunjung yang datang ke Pulau Aman.