fbpx

Keinsafan Ziarah Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas

Keinsafan Ziarah Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas

Keinsafan Ziarah Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas

PUTRAJAYA, 12 Dis 2012 – Biro HALUANITA telah menyertai program Ziarah Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong Selangor anjuran Masjid Putra, Putrajaya pada 12 Disember 2012.

Seramai empat orang wakil HALUANITA menyertainya diketuai oleh Puan Siti Mahmudah Samingan yang juga merupakan Ketua HALUANITA Hulu Langat. Turut serta dalam program ini wakil dari Mawaddah, Saudara Baru dan Persatuan Warga Emas. Rombongan tiba dilokasi pada pukul 10 pagi disambut oleh pengurus pusat jagaan serta kakitangan.

Aktiviti dimulakan dengan taklimat oleh ketua rombongan Ustaz Mohd Zulrushdi Salleh kepada peserta dan diikuti dengan sesi taklimat oleh pengurus Rumah Orang-Orang Tua berkenaan. Ini disusuli dengan tazkirah ringkas dan seterusnya sesi ramah mesra pada jam 11.30 pagi. Semasa sesi ini didapati sebahagian besar (70%) penghuni menghidapi penyakit kronik yang tiada harapan sembuh. Mereka tidak mempunyai waris atau waris tiada upaya untuk menjaga. Masa lawatan dihadkan antara 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari kerana mereka perlu masa yang cukup untuk rehat dan mengurus diri.

Puan Muji Sulaiman seorang bekas jururawat yang telah berkhidmat selama 30 tahun adalah pengasas dan pengurus rumah ini . Menurut beliau, rumah ini adalah satu-satunya rumah jagaan orang-orang tua Islam di Malaysia. Ia mula beroperasi 10 tahun yang lalu dengan mengambil lapan orang penghuni sahaja. Kini penghuni rumah jagaan ini seramai 60 orang yang sebahagian besarnya dihantar oleh hospital kerajaan.

“Tapak rumah jagaan ini merupakan tanah persendirian bekas tapak masjid lama yang diwakafkan. Saya ingin menyeru kepada sesiapa yang berkemampuan agar membuka rumah jagaan seperti ini sebagai sumbangan yang sangat berharga kepada masyarakat,” seru Puan Muji.

Menurut Siti Mahmudah, program ini memberi kesan yang sangat mendalam di hati peserta bahawa anugerah yang tidak ternilai adalah ibu bapa. Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan dari pelbagai pihak. Sesiapa yang ingin menyumbang kepada Pusat Jagaan Orang-orang Tua Al-Ikhlas ini bolehlah menghubungi Puan Muji Sulaiman ditalian 012-2433 743. Mereka adalah gambaran masa hadapan kita.


Laporan oleh Biro HALUANITA