fbpx

Ibubapa, Anak: Calon Syurgakah Kita Ini?

Ibubapa, Anak: Calon Syurgakah Kita Ini?

Ibubapa, Anak: Calon Syurgakah Kita Ini?

SEBERANG JAYA, 14 Apr 2020 – Percayakah bahawa kebanyakan kita adalah “accidental parents” iaitu ibubapa yang menjadi ibubapa tanpa perancangan?

Kebanyakan kita tidak membuat persiapan dan perancangan jangka panjang untuk menjadi ibu ayah kepada anak-anak kita seperti yang Allah SWT kehendaki, kata penyelidik “parenting” atau keibubapaan, Encik Rosdi Baharom. Indahnya Islam, menurut beliau, kerana Muslim memiliki syariat yang membimbing umatnya ke arah pembentukan individu anak-anak yang mampu menjaminkan kejayaan mereka semasa di atas pentas dunia hinggalah ke alam akhirat kelak.

Beliau yang juga penasihat dan pengasas Little ‘Abd Programme telah muncul berkongsi tips-tips keibubapaan bersiri semalam secara live di TV HALUAN. Encik Rosdi lebih 20 tahun membuat kajian tentang pembinaan rumahtangga Muslim dan sering berkongsi dapatan ilmunya di pelbagai tempat seperti sekolah, tadika, pejabat, masjid dan juga di alam maya. Membina rumahtangga tanpa perancangan mendidik anak-anak menjadi Mukmin baginya adalah suatu jenayah yang sangat berat.

“Sebab itulah, bila kita gagal merancang corak pendidikan dan pendedahan anak kepada kehidupan acuan Islam, maka itulah satu bentuk permulaan kezaliman yang amat berat. Kita tidak sedar ini. Bahawa kita sebagai ibubapa sebenarnya telah menggelapkan masa depan akhirat anak-anak yang kononnya kita kasihi (dengan mencurahkan segala keperluan duniawi mereka) – kerana kita tidak tarbiah atau didik anak itu sebagaimana yg Islam sudah gariskan untuk kita ikuti,” jelas beliau bertujuan untuk sentapkan para penonton live di TV HALUAN itu.

Pada usia keemasan mereka daripada baru lahir hinggalah ke umur tujuh tahun, tarbiah imaniah semasa itu sangat-sangat penting untuk membentuk mereka secara latih tubi dan contoh ikutan yang baik daripada kita. Fasa ini kena difokus sungguh-sungguh kerana jika kita terlalai dan terlepas fasa ini tanpa tarbiah yang betul, pendidikan dan penerapan agama selepas usia itu akan menjadi semakin sukar dan memeningkan. Anak akan membesar tanpa mengambil kisah apa yang betul atau salah, mereka cuai dan lalai dalam tindakan, kurang hormati orang lain, berakhlak buruk dan menimbulkan resah dan malu kepada ibubapa dan keluarga. Di ketika itu, hanyalah penyesalan yang timbul walaupun hidup serba mewah.

Di awal permulaan celoteh beliau, Encik Rosdi menceritakan pengalaman gurunya bernama Dr. Muhammad Abdul Barri, seorang pakar pendidikan anak Muslim, yang telah menziarahi seorang kawan Muslim yang lain. Selepas ceria bersembang dan menjamu selera, suasana bertukar menjadi muram sedih dengan isakan tangisan. Kawannya itu menceritakan bahawa anak perempuan kesayangannya telah melarikan diri dari rumah dan kini tinggal bersekedudukan dengan lelaki non-Muslim tanpa ada rasa bersalah atau takut kepada Allah SWT.

“Di Malaysia pun sudah banyak kita terbaca dan dengar cerita sebegini. Ia tidak berlaku pada orang lain sahaja, tapi juga dalam kelompak masyarakat kita sendiri sekarang ini. Ramai manusia hari ini menghadapi masalah anak-anak muda berpeleseran zaman sekarang . Inilah maksud saya bahawa tanggungjawab keibubapaan itu amat besar agar kita dapat bentukkan anak-anak agar iman, akhlak, kefahaman dan tindakan mereka berada dalam batasan syariat,” jelas beliau.

Untuk memahami pengenalan awal kaedah mendidik sebelum terlambat ini, sila tonton rakaman penuh video di pautan bawah ini:

HALUAN juga giat melaksanakan aktiviti kebajikan semasa pandemik COVID-19 ini dengan membantu para petugas Frontliners serta masyarakat umum yang terputus belanja dan bekalan makanan. Sukarelawan kami di seluruh negara sentiasa bergiat melaksanakan projek-projek sokongan ini untuk meringankan beban petugas dan masyarakat.


Laporan unit mediaHALUAN