fbpx

HALUAN Salur Bantuan Musim Sejuk Untuk Pelarian Syria

HALUAN Salur Bantuan Musim Sejuk Untuk Pelarian Syria

HALUAN Salur Bantuan Musim Sejuk Untuk Pelarian Syria

abu-syria-01ANTAKYA, TURKI, 6 Dis 2013 — Keperitan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Syria sejak hampir tiga tahun lalu sekali lagi mendapat perhatian HALUAN Malaysia.

Kehadiran relawan HALUAN Malaysia di kem pelarian di sempadan Turki dari 27 November hingga 4 Disember lalu merupakan kesinambungan misi membantu pelarian Syria meneruskan kehidupan. Bantuan amat mendesak, lebih-lebih lagi dalam tempoh dari bulan November hingga Februari ini di mana mereka akan berhadapan dengan musim sejuk yang lazimnya mencecah sehingga -5 darjah Celcius. Dengan kekurangan persediaan dan kelengkapan asas, hal ini sudah tentu amat memeritkan sehinggakan ada yang terpaksa berpindah dari satu tempat berlindung ke tempat lain, mulai dari menumpang di rumah saudara dan rakan hingga terpaksa tidur di jalanan dan dalam gua-gua.

HALUAN Malaysia melalui Biro Misi Kemanusiaan (BMK) telah menghantar relawan Abu Ubaidah Musa bagi tujuan menyalurkan bantuan kecemasan musim sejuk sumbangan rakyat Malaysia kepada pelarian Syria yang berada di sempadan Turki dan juga di dalam wilayah Syria. Sumbangan sebanyak RM100,000 telah disalurkan melalui rakan NGO yang berpusat di Reyhanli iaitu Generations for Relief and Development (AJYAL) dan Al-Sarra’a Organization for Human Relief (Sarra’a). Bantuan ini akan digunakan untuk membeli selimut, pakaian sejuk, makanan dan susu yang berkhasiat untuk bayi, yang merupakan keperluan utama di musim sejuk.

Abu Ubaidah juga menziarahi dan mengagihkan sendiri sumbangan untuk pelarian. Menurut beliau, terdapat lebih 1.5 juta pelarian Syria terpaksa keluar untuk mendapatkan perlindungan di negara jiran sejak tercetusnya perang saudara, termasuklah ke Turki, Jordan, Lubnan dan Iraq. Sekitar 4.5 juta orang lagi menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri.

“Menurut taklimat yang disampaikan oleh NGO AJYAL, tempat yang paling teruk diserang di mana penduduknya sedang terkepung dan menderita adalah di kawasan Ghutah Syarkiyah dan Ma’dhomiyah Syam, di pinggir Damsyik. Kawasan ini juga pernah diserang dengan senjata kimia. Sebarang bentuk bantuan disekat oleh tentera rejim Bashar Assad. Bahkan pihak tentera juga telah memotong bekalan air bersih dan eletrik serta tidak membenarkan penduduk keluar dari rumah untuk mendapatkan bekalan makanan serta ubatan. Jika engkar, mereka akan dibunuh,” kata Abu Ubaidah. Beberapa bulan lalu ulamak di Syria telah mengeluarkan fatwa membenarkan mereka yang disekat ini untuk memakan daging kucing dan keldai supaya mereka dapat bertahan hidup.

Pelarian Syria di Lubnan juga dilaporkan berada dalam keadaan perit memandangkan salji turun dengan tebal dan mereka tidak mempunyai kelengkapan untuk musim sejuk.

HALUAN Malaysia akan meneruskan misi bantuan untuk rakyat Syria. Rakyat Syria kini berhadapan dengan keperitan musim sejuk dalam keadaan mereka kehabisan segala bekalan dan tabungan. Tidakkah tergerak hati kita untuk menghulurkan sedikit daripada rezeki yang kita ada untuk membantu mereka sekaligus meraih pahala di sisi Allah? Ingatlah kepada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud, “barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan orang yang sedang dilanda kesusahan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat….”

Masyarakat prihatin yang ingin membantu rakyat Syria melalui misi bantuan HALUAN Malaysia boleh menyalurkannya melalui:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad


Laporan Unit Media, Biro Misi Kemanusiaan.