fbpx

Berikanlah kemaafan

Berikanlah kemaafan

Berikanlah kemaafan

Adakah kita termasuk dalam golongan yang suka memberi kemaafan? Siapakah yang benar-benar menikmati kemanisan kemaafan tersebut?

Mungkin kita boleh berhenti seketika dan berbincang persoalan-persoalan ini. Mungkin selepas ini kita akan merasainya suatu perkara yang besar walaupun sebelum ini kita merasakannya suatu yang remeh.

Ada seorang sahabat yang Rasulullah SAW tunjukkan sebagai ahli syurga, hingga sahabat-sahabat lain mula sibuk menyelidiki apakah keistimewaan sahabat itu hingga ditunjukkan oleh Baginda Rasul sebagai ahli syurga. Akhirnya diketahui bahawa amalan sahabat itu macam biasa saja berbanding sahabat-sahabat lain. Cuma satu perkara yang telah mengangkatnya sebagai ahli syurga adalah bahawa dia sentiasa memberi kemaafan kepada orang lain. Setiap kali sebelum terlelap mata, dia akan memaafkan semua kesalahan orang lain kepadanya, tak kira siapa.

Nah… sekarang ini adakah kita masih merasakan persoalan memberi kemaafan ini suatu yang remeh?

Mungkin nampaknya agak mudah untuk kita berikan kemaafan kepada sesiapa saja yang pernah melukakan hati, menyakiti hati dan perasaan kita, atau berlaku kasar kepada kita. Adakah ianya semudah itu? Pernahkah kita dicaci maki oleh seseorang dengan kata-kata yang terlalu kesat sehinggakan kita begitu tersinggung, lalu keesokan harinya kita bertembung dengannya tanpa disengajakan dan kita pun mengukir senyuman yang ikhlas dari hati kita tanpa sedikitpun kepura-puraan? Kalau pernah begitu, saya ingin ucapankan setinggi-tinggi tahniah kerana anda memiliki kekuatan jiwa dan seorang yang gagah atau perkasa jiwanya pada pandangan Allah SWT kerana Rasulullah SAW pernah menggambarkan orang yang gagah itu adalah orang yang boleh menahan kemarahannya ketika dia marah.

Jadi untuk memberi kemaafan sebenarnya memerlukan kekuatan; kekuatan iman dan kekuatan jiwa. Kekuatan iman kerana hanya apabila kita benar-benar yakin dengan apa yang akan Allah berikan baru kita sanggup lepaskan apa yang kita ada. Hanya apabila kita benar-benar yakin dengan janji-janji Allah, barulah kita memaaafkan orang lain. Kita perlukan kekuatan jiwa kerana hanya seseorang yang kuat jiwanya serta berjiwa besar akan memandang yang kecil itu kecil dan menghargai sesuatu yang besar. Sememangnya memberi kemaafan mendapat kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT dalan banyak ayat-ayat Al Quran dan hadith Rasulullah SAW.

Mungkin kita hanya nampak janji-janji Allah di akhirat nanti. Bagaimana pula semasa kita masih hidup, apa yang akan kita dapat dari kemaafan yang kita berikan itu?

Sebenarnya hasil dari kajian pakar-pakar psikologi, sebahagian besar daripada masyarakat hari ini menghadapi tekanan jiwa yang begitu tinggi. Hinggakan daripada kajian tersebut mendapati ramai yang berumur antara awal 30an hingga penghujung 50an mengalami penyakit-penyakit yang berkaitan tekanan jiwa dan perasaan seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya. Satu hakikat yang mungkin menyebabkan timbulnya masalah hari ini adalah kerana manusia membesar tanpa kasih sayang dan jiwa kemanusiaan. Dalam suasana hari ini memang banyak perkara yang boleh menyebabkan kita marah dan terasa hati. Saya dapat melihat, terutamanya di kalangan remaja hari ini yang kekosongan jiwa kemasyarakatan; para staf membanting tulang bekerja namun tiada rakan yang hargai; kerana manusia lain hanya pentingkan hajat-hajat mereka dan apa yang mereka cari, nilai kebersamaan tidak terbina, nilai individualistik menjadi ikutan.

Sebagai contoh, ketika saya bertugas sebagai seorang pengurus di salah sebuah syarikat di Johor, seorang staf saya merasa tidak senang dengan kehadiran saya kerana beliau merasakan kehadiran saya akan mengancam periuk nasi dan kenaikan pangkatnya. Lalu sepanjang saya bertugas di situ, beliau tidak serius memberi kerjasama dengan saya, beliau juga mengadu domba kepada staf yang lain mereka-cipta pelbagai kelemahan dan ketidakwibawaan saya sebagai seorang pengurus. Suatu hari, beliau melakukan kesilapan dan bertengkar dengan isteri kepada tuan punya perniagaan tersebut. Lalu Pengurus Besar mengadakan mesyuarat bagi membicarakan isu tersebut. Tuan Pengurus Besar bercadang untuk memberhentikan pekerja tersebut kerana bersikap kurang ajar. Ketika sesi perjumpaan bersama staf tersebut, saya sebagai pengurus diminta untuk memberi pandangan. Apa yang anda akan lakukan di saat itu jika anda berada dalam kedudukan saya?

Sebenarnya jika saya tiada sifat pemaaf dan saya menyimpan sikap dendam, rasanya inilah masa yang sesuai untuk ”mengenakan” staf tersebut. Namun, alhamdulillah, saya menyatakan kepada pihak pengurusan bahawa staf tersebut sebenarnya amat baik dan aset kepada syarikat. Rugi kiranya syarikat memberhentikan beliau, sedangkan sebelum ini beliau telah berbakti kepada syarikat sejak awal lagi dan seorang yang boleh diharapkan syarikat. Justeru saya tidak menyokong pemberhentian beliau sebaliknya memohon pihak pengurusan agar memaafkan atas kesilapan beliau. Ternyata pihak pengurusan bersetuju memaafkan staf tersebut dan beliau boleh kembali bekerja.

Nah! Apa yang anda rasa akan terjadi kepada staf tersebut? Ternyata selepas peristiwa tersebut, beliau berubah pandangan terhadap saya, kemudian kami menjadi rakan yang akrab. Tiada lagi tekanan bekerja di sana sebaliknya kebahagiaan yang diperolehi kerana diberi kekuatan oleh Allah untuk memaafkan kesalahan orang lain dan berlapang dada, nikmatnya Allah mengurniakan ukhwah kepada kami.

Ini mungkin contoh yang praktikal dan banyak lagi contoh-contoh lain jika kita kumpulkan memang terlalu banyak. Untuk contoh di atas, saya mungkin boleh marah atau terasa di hati…, persoalannya apa yang saya dapat daripadanya, kenapa kita perlu korbankan ketenangan yang kita ada dengan kebenciaan sedangkan semua itu mungkin akan mengundang perkara yang lebih buruk? Kenapa kita perlu marah hingga merah padam muka kita, kepala rasa panas, jantung berdegup kencang… lepas tu tekanan darah pun makin tinggi? Apa pula yang saya akan dapat jika saya maafkan saja mereka? Ternyata hikmah yang tersirat hanya Allah swt Maha Mengetahui. Jadi dalam suasana hari ini, memang kita ada banyak sebab untuk marah tetapi jika kita fikirkan secara mendalam kita ada lebih banyak sebab untuk beri kemaafan.

Syawal bulan memantapkan ukhwah dan bermaafan. Berikanlah kemaafan kepada ahli keluarga kita, rakan-rakan kita, para tetangga kita, rakan sekerja kita dan kepada sesiapa sahaja kerana Allah itu Al Ghaffur.


Petikan tulisan Sdr. Mohd Razali Maarof, Ketua Biro Latihan HALUAN Pusat.