fbpx

60 Lembu Korban Untuk Kemboja

60 Lembu Korban Untuk Kemboja

60 Lembu Korban Untuk Kemboja

PHNOM PENH, KEMBOJA, 22 Sept 2015 — Lima orang sukarelawan HALUAN yang terpilih masing-masing dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Kedah telah melaksanakan ibadah korban di Kemboja Aidiladha yang lepas, menggalas amanah yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia yang mewakilkan NGO ini untuk melaksanakan ibadah itu untuk mereka.

Sebanyak 60 ekor lembu telah selamat dikorbankan di sekitar kawasan Phnom Penh dan Kampung Cham. Anggota misi disambut oleh Encik Razali Jamil, wakil HALUAN yang juga Pembantu Khas Mufti Kerajaan Kemboja yang ditemani oleh Ustaz Mansor Sabry, YDP HALUAN Cawangan Kemboja.

Setiba di Phnom Penh, anggota misi berhadapan dengan hujan lebat yang mengakibatkan dua kenderaan yang dinaiki terpaksa mengharungi banjir kilat selama 30 minit sebelum selamat sampai di Beong Meas Guest House yang terletak bersebelahan masjid Al-Serkal yang juga merupakan masjid antarabangsa Phnom Penh. Anggota misi diberikan sedikit taklimat untuk tugasan mereka keesokkannya.

Kumpulan korban di Kampung Cham yang dianggotai tiga anggota telah bertolak jam 2.00 petang. Perjalanan sejauh 40 km dari Phnom Penh ke Kampung Cham memakan masa hampir tiga jam menelusuri jalan yang sempit dan beralun dan tiba di Kampung Cham pada 4.30 petang.

Keesokannya, pasukan bertolak jam 7:20 pagi ke Kampung Sbue, melalui jalan kampung tidak bertar dan berlubang yang agak mencabar untuk sampai. Infrastrukur di negara pasca perang ini masih di tahap rendah dan memerlukan banyak kesabaran. Sesampai di sekolah An Nikmah Kampung Sbue, Penduduk setempat sedang memenuhkan masjid dan bertakbir sebelum solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Selesai solat, pasukan HALUAN bersalaman dengan ahli jemaah masjid yang kelihatan begitu meraikan dan mesra dengan kehadiran kami memandangkan HALUAN pernah membantu mereka sebelum ini. Di kesempatan tersebut, Ustaz Mansor telah membahagikan duit raya kepada kanak-kanak yang datang bersolat. Semasa di sana, pasukan HALUAN sempat menyaksikan kedhaifan Sekolah An Nikmah cawangan Kampung Sbue yang masih memerlukan dana untuk menyiapkan bangunan kelas dua tingkat mereka. Sekolah An Nikmah cawangan Kampung Sbue ini dikatakan mempunyai 400 orang pelajar.

HALUAN Kemboja membuat keputusan untuk memindahkan tempat korban sembelihan dari masjid ke kawasan rumah salah seorang penduduk di situ. Ini kerana sebelum ini korban di masjid menjadi kecoh apabila ada penduduk setempat yang tidak berpuas hati dengan jumlah korban yang tidak mencukupi sehingga ada yang melarikan daging korban dan bergaduh dengan petugas HALUAN Kemboja. Namun agihan kali ini lebih saksama kerana kawalan lebih sistematik.

Perubahan tempat korban ini memang berhasil melancarkan proses penyembelihan dan pengagihan tujuh ekor lembu Korban HALUAN tersebut dengan pembahagian daging korban kepada pelajar-pelajar sekolah An Nikmah berjalan lancar. Pembahagian daging dibuat di sekolah An Nikmah cawangan Kg Sbue.

Keesokkannya, pasukan bertolak ke Kampung Brek Bak dan tiba di sekolah An Nikmah cawangan Brek Bak pada jam 9:00 pagi. Pada jam lebih kurang 9:30 pagi,sembelihan bermula. Sembelihan berjalan lancar. Proses sembelihan untuk lembu terakhir di situ tamat menjelang 11.00 pagi. Sesudah solat Jumaat, aktiviti diteruskan dengan proses pembahagian daging lembu kepada pelajar Sekolah An Nikmah cawangan Brek Bak. Pasukan kemudian pulang ke ke Phnom Penh.

Pasukan bertolak dari lapangan terbang Phnom Penh pada 26 Jun dan selamat mendarat di KLIA 2.


Laporan oleh Mohd Ibrahim Mohd Rashid, Sukarelawan Misi Kemanusiaan & Ibadah Korban di Kemboja