fbpx

300 Peserta Meriahkan HiMEGA ‘13

300 Peserta Meriahkan HiMEGA ‘13

300 Peserta Meriahkan HiMEGA ‘13

MELAKA, 12 Apr 2013 – Seramai 300 peserta telah berjaya mengikuti program Hijrah Menara Gading 2013 (HiMEGA ’13) yang diadakan di Universiti Teknikal Melaka (UTeM) semalam.

Pengarah Program, Encik Ali Izzudin Bahran berkata program HiMEGA ’13 yang bertemakan ‘Nurturing ‘Alim Mujahid’ membawa maksud ke arah pembentukan seseorang yang menguasai bidang ilmu dan orang yang bersungguh-sungguh bekerja untuk agama Allah.

Program kali ini yang berlangsung selama dua hari tiga malam telah membuatkan peserta bersedia daripada segi mental, fizikal dan emosi untuk menempuh alam universiti yang bakal datang.

“Saya berharap semoga program ini dapat membantu peserta membuka minda untuk memilih bidang yang diminati dan universiti yang sesuai untuk menyambung pelajaran,” katanya kepada wartawan Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) semalam.

Afiqah Hassan, 18, berkata perjalanan jauh dari Langkawi ke Melaka untuk menyertai HiMEGA ’13 amat berbaloi apabila program ini dapat membantu pelajar lepasan SPM menentukan hala tuju untuk menyambung pelajaran.

“Saya berharap pihak penganjur dapat meneruskan program seperti ini pada masa akan datang dan saya rasa bersemangat untuk masuk ke alam IPT. Saya juga berhasrat untuk menyertai Kelab Siswa HALUAN nanti di kampus,” katanya lagi.

Fairuz Rahimi, 18, berkata program HiMEGA ’13 berjalan dengan lancar dan memberikan banyak maklumat mengenai kehidupan dan cabaran semasa menempuhi alam IPT.

“Saya berharap apabila pulang ke rumah, diri ini akan menjadi lebih baik, berwawasan dan menjadi insan yang diredhai oleh Allah SWT”, kata Fairuz.

Menurut Nur Azimah Hafsyah Ariffin, 18, program tersebut bukan sahaja memberikan maklumat mengenai IPT malah memberikan kesedaran mengenai Islam dan menguatkan dirinya untuk terus menjadi insan yang luar biasa.

“Saya berharap supaya pihak penganjur dapat memperluaskan lagi hebahan mengenai program HiMEGA kepada semua sekolah di seluruh Malaysia agar mereka dapat menyertainya pada masa akan datang,” kata Azimah.

Muhammad Naufal Muhd Omar, 18, berkata program ini menjadikan dirinya lebih bersemangat dan memperbetulkan semula niat untuk belajar kerana Allah SWT.

“Niat itu penting. Saya berharap program ini akan dapat diteruskan untuk generasi akan datang supaya akhlak remaja kita akan dapat diperbetulkan,” katanya.


Laporan Muhammad Suhaib Mohd Shapiee, Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa)