
Keluarga Pelarian di Idlib Terima Bantuan Pek Makanan Asas
IDLIB, SYRIA, 28 Mac 2025 – Kempen Sejuta Barakah Ramadan (SBR) 6.0 terus membawa sinar harapan kepada keluarga pelarian Syria yang masih tersisih dan bertarung dengan kehidupan sukar di kem-kem sekitar Idlib.
HALUAN Malaysia dengan kerjasama pertubuhan kemanusiaan Ataa Humanitarian Relief Association (ATAA) telah mula menyalurkan bantuan pek makanan asas kepada 60 keluarga pelarian yang berlindung di kem-kem dalam wilayah bergolak berdekatan sempadan Syria-Turkiye itu.
ATAA merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan pada awal tahun 2013 di Turkiye, komited dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan serta pembangunan kepada penduduk Syria yang terus menderita akibat konflik berpanjangan sejak 2011.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, lebih 50,000 pelarian Syria telah kembali ke tanah air mereka. Namun keadaan di wilayah Idlib masih tidak menentu dan penuh cabaran. Kemiskinan melampau serta kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka terus terhimpit dalam kesengsaraan.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2024 mendedahkan bahawa 1.1 juta penduduk terpaksa berpindah di seluruh Syria, dengan 334,000 daripadanya berlindung di Idlib.
Dalam keadaan yang serba mencabar ini, pelarian Syria amat memerlukan perhatian dan sokongan kita. Teruskan bersama HALUAN dalam usaha menyalurkan bantuan demi kelangsungan hidup mereka.








—
Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia