Kakitangan Kumpulan AmBank Prihatin Dengan Nasib Mangsa Banjir

Kakitangan Kumpulan AmBank Prihatin Dengan Nasib Mangsa Banjir

Kakitangan Kumpulan AmBank Prihatin Dengan Nasib Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 22 Apr 2025 – Semangat keprihatinan dan solidariti yang tinggi kakitangan Kumpulan Ambank untuk membantu mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang baru-baru ini telah menggerakkan kempen pengumpulan dana bagi meringankan beban keluarga yang terkesan.

Satu majlis simbolik penyerahan sumbangan berlangsung di Menara AmBank di sini, di mana Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran AmBank Malaysia, Encik Shazman Shahid, menyerahkan cek sumbangan kepada Setiausaha Agong HALUAN Malaysia, Sr. Encik Mohd Sabbri Md Yudin. Turut serta dalam majlis tersebut adalah Pengurus Pembangunan Program HALUAN Malaysia, Encik Mohd Jamil Muda, yang memimpin pelaksanaan projek-projek bantuan pasca-banjir.

Sebanyak RM30,000 telah berjaya dikumpul bagi menyediakan keperluan asas termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada 182 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu. Di Kelantan, seramai 115 mangsa dari kalangan keluarga berpendapatan rendah di kawasan Rantau Panjang, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok telah menerima manfaat daripada sumbangan ini. Manakala di Terengganu, bantuan telah disalurkan kepada 67 mangsa di Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Sumbangan ini tidak hanya mencerminkan komitmen dan keprihatinan mendalam pihak pengurusan serta kakitangan Kumpulan AmBank terhadap kesejahteraan komuniti, tetapi juga menunjukkan peranan aktif sektor korporat dalam memperkasa komuniti melalui kolaborasi yang penuh makna. Keprihatinan mereka dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan adalah satu teladan yang patut dicontohi oleh semua pihak, sekali gus mengukuhkan semangat kerjasama di kalangan masyarakat Malaysia.

Usaha gigih ini membuktikan bahawa dalam menghadapi bencana, tiada siapa yang dibiarkan sendiri. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dan membawa sinar harapan dalam kehidupan yang terjejas.

___
Laporan oleh Mahmood Izzat Ikhwani Huzaidi

Pegawai Penerbit,
Bahagian Media dan Komunikasi Korporat HALUAN Malaysia