Hi-Tea Wanita Madani 2025: Platform Perkasa Peranan Wanita Demi Masyarakat

Hi-Tea Wanita Madani 2025: Platform Perkasa Peranan Wanita Demi Masyarakat

Hi-Tea Wanita Madani 2025: Platform Perkasa Peranan Wanita Demi Masyarakat

BANDAR BARU BANGI, 20 Mei 2025 – Lebih 200 peserta menghadiri Hi-Tea Wanita Madani: Inspirasi & Apresiasi yang berlangsung meriah di Bangi Golf Resort, menampilkan tokoh-tokoh wanita berpengaruh serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu majlis penuh aspirasi memperkasakan wanita dan keluarga Malaysia Madani.

Antara pengisian utama ialah Forum Inspirasi Keluarga Madani yang menampilkan dua panelis terkemuka. Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail daripada Universiti Malaya membincangkan cabaran keseimbangan antara kerjaya dan keluarga yang memberi kesan terhadap kesihatan mental wanita.

Sementara itu, Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin daripada Universiti Putra Malaysia membawakan satu kupasan ilmiah yang mendalam mengenai peranan wanita daripada sudut sejarah dan sosial. Beliau merungkai kajian-kajian sosial berkaitan revolusi perubahan peranan wanita dalam institusi keluarga, dari era tradisional sehingga era digital masa kini.

HALUAN Malaysia turut hadir memberi sokongan menerusi kehadiran Naib Presiden 6, Dr. Zurina Muda dan Setiausaha Kerja Wanita dan Pembangunan Keluarga, Cik Nur Farhana Abdul Pata.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya menyentuh secara serius isu-isu yang melibatkan wanita, remaja dan kanak-kanak perempuan. Beliau menekankan keperluan tindakan segera dalam menangani masalah seperti kemiskinan, haid, penderaan wanita dan kanak-kanak, kelahiran anak luar nikah serta pelbagai lagi cabaran sosial.

Program ini bukan sahaja menjadi medan penghargaan tetapi juga platform strategik untuk merangka hala tuju lebih mampan dalam memperkukuh institusi keluarga dan memperkasakan wanita Malaysia dalam kerangka masyarakat madani.


Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja
Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga