HALUAN Tampil Berperanan Dalam Kursus Pengurusan Risiko Bencana

HALUAN Tampil Berperanan Dalam Kursus Pengurusan Risiko Bencana

HALUAN Tampil Berperanan Dalam Kursus Pengurusan Risiko Bencana

BANDAR BARU BANGI, 17 Jun 2025 – Tiga sukarelawan HALUAN mengambil bahagian dalam Kursus “Training of Trainers Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM)” yang diadakan di Kolej Teknologi Darulnaim Kuala Lumpur (KTDKL) di sini semalam.

Kursus ini adalah langkah penting dalam memantapkan kemahiran pengurusan risiko bencana dalam kalangan komuniti, serta mempersiapkan mereka menghadapi cabaran bencana yang semakin meningkat.

Kursus yang dianjurkan oleh Yayasan Ikhlas dengan kerjasama National Disaster Management Agency (NADMA) dan Perwira ini turut disertai oleh wakil-wakil daripada NGO terkemuka seperti BeVital, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Sanggar Suri. Peserta daripada HALUAN, Encik Hamdan Salleh, Encik Wan Mohamed Yusfi Abdoh dan Encik Abu ‘Ubaidah Sharudin adalah sukarelawan yang aktif dalam misi kemanusiaan dan kini bersedia untuk membawa pengetahuan dan kemahiran baharu ke dalam komuniti mereka.

Kursus ini dikendalikan oleh Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, Encik Muhammad Azam Zakuan. Dalam sesi tersebut, peserta diberi pendedahan mengenai Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko serta kaedah CBDRM yang memberi tumpuan kepada penglibatan aktif masyarakat dalam persediaan dan tindak balas terhadap bencana.

Peserta tidak hanya mengikuti sesi bimbingan secara langsung, tetapi juga diberi akses kepada pembelajaran dalam talian (e-learning). Mereka yang berjaya menamatkan kursus ini dianugerahkan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan mereka untuk melaksanakan program mitigasi risiko bencana di peringkat akar umbi.

Encik Azam mengingatkan peserta bahawa kejayaan dalam pengurusan risiko bencana memerlukan kerjasama erat antara NGO, agensi kerajaan, dan masyarakat setempat. Beliau menggalakkan semua peserta untuk merancang dan melaksanakan program-program yang relevan dengan keperluan komuniti yang sering terdedah kepada bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran.

HALUAN terus berperanan penting dalam memperkasa komuniti dengan menyediakan latihan profesional kepada sukarelawan mereka. Penyertaan dalam kursus CBDRM ini membuktikan komitmen HALUAN untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menangani risiko bencana dengan lebih efektif di peringkat akar umbi.

Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, para sukarelawan HALUAN dijangka akan memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat agar lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana pada masa hadapan.

HALUAN merakamkan penghargaan kepada Yayasan Ikhlas serta semua NGO yang terlibat dalam menjayakan kursus ini. Kerjasama antara pelbagai pihak ini adalah langkah penting dalam membangunkan masyarakat yang lebih peka dan siap sedia menghadapi risiko bencana. Program seperti ini membuka peluang untuk memperluas rangkaian kerjasama, sekaligus memperkukuhkan usaha-usaha pengurusan bencana yang lebih melibatkan komuniti secara langsung.


Laporan Abu ‘Ubaidah Sharudin, HALUAN cawangan Kuala Lumpur