
HALUAN Sertai Persidangan Kepimpinan Asia Pasifik 2025
PETALING JAYA, 6 Mei 2025 – Delegasi lima orang wakil HALUAN Malaysia diketuai presidennya, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman telah menyertai Persidangan Kepimpinan Asia Pasifik 2025 yang berlangsung selama tiga hari di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS Malaysia) di sini berakhir semalam.
Bertemakan “Turning Point for the Islamic Movement“, persidangan tersebut menghimpunkan para pemimpin serta cendekiawan Islam dari rantau Asia Pasifik bagi membincangkan pelbagai cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam, termasuk isu tadbir urus, konflik, kemiskinan, hak asasi manusia dan perpaduan ummah.
Majlis pembukaan persidangan diserikan dengan ucapan oleh Pengerusi IAIS Malaysia, Prof. Dr. Maszlee Malik, serta Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, Dr. Jazuli Juwaini. Ucaptama pula telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Persidangan ini turut menghasilkan satu resolusi yang merangkumi 20 perkara penting melibatkan lima tema utama iaitu kepimpinan, penyelesaian konflik, pemberdayaan sosioekonomi, advokasi hak asasi serta perpaduan umat Islam.
Turut hadir dalam persidangan ini ialah ramai ilmuwan, pemimpin masyarakat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Turkiye, Qatar, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia.
HALUAN Malaysia menzahirkan komitmen teguh dalam memperkukuh kerjasama dan pembangunan ummah melalui penyertaan aktif dalam persidangan berprestij ini.
Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja
Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga HALUAN Malaysia