
HALUAN Pulau Pinang Bimbing Orang Asli Cari Rezeki
GERIK, 22 Mac 2025 – HALUAN cawangan Pulau Pinang terus memperkukuhkan usaha mereka dalam membantu komuniti pedalaman dengan melaksanakan inisiatif pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat orang asli di Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba di sini.
Dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi komuniti ini, HALUAN memperkenalkan projek pertanian komersial bertujuan menjana pendapatan yang konsisten seterusnya membolehkan mereka berdikari. Penduduk orang asli di kawasan ini telah diberikan latihan dan bimbingan dalam mengusahakan tanaman seperti limau nipis, roselle, dan serai – tanaman yang mempunyai potensi ekonomi yang tinggi.
Program ini bukan sahaja memberikan bantuan dalam bentuk sokongan jangka pendek tetapi juga bertujuan melahirkan komuniti yang berdaya saing, mempunyai sumber pendapatan yang stabil, dan mampu mengurus serta memanfaatkan hasil tanaman mereka secara berterusan. Projek ini juga dirancang untuk memberi solusi jangka panjang dengan mengambil kira permintaan masyarakat. Selain menyediakan input asas pertanian, HALUAN turut memberikan tunjuk ajar dalam aspek teknikal serta pemantauan berkala bagi memastikan kelancaran dan kejayaan projek ini agar orang asli mampu uruskan sendiri dengan pembeli pukal.
HALUAN berharap penerusan ini dapat membantu komuniti mereka untuk terus berkembang dan maju, serta membina masa depan yang lebih cerah melalui keupayaan mereka sendiri dalam bidang pertanian.
Kami memerlukan bantuan anda untuk sama-sama kita membantu golongan miskin di rimba raya ini. Hulurkan infak anda ke akaun seperti maklumat berikut:
No. Akaun: 5572 5006 2982
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Nama Bank: Maybank Islamic Berhad
Nota Transaksi: Orang Asli Banun
WhatsApp makluman ke: Tel. +6 019 464 4357




—
Laporan Abdul Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia