
28 Staf Sekolah Ikuti Kursus ‘Customer Service Mastery for Education Frontliners’
KOTA BHARU, 6 Jun 2025 – HALUAN Malaysia dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Tera Genius Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Kursus “Customer Service Mastery for Education Frontliners” secara dalam talian selama dua hari berakhir semalam.
Kursus ini dipimpin oleh Ketua Biro Profesional HALUAN, Dr. Razali Maarof. Beliau merupakan seorang pakar dalam latihan kepimpinan dan pembangunan organisasi, dengan pengalaman lebih 20 tahun melatih pemimpin dan staf organisasi awam mahupun swasta. Dr. Razali juga merupakan Jurulatih Bertauliah HRD Corp dan Pemimpin Transformasi Bertauliah dari Chartered Management Institute (CMI), United Kingdom.
Seramai 28 peserta dari sembilan buah sekolah Islam di bawah jaringan HALUAN menyertai kursus ini. Antara institusi yang terlibat termasuklah Institut Pendidikan Ibn Khaldun di Shah Alam, Maahad Attarbiyah Al-Islamiah (MATRI) di Perlis, dan Maahad At-Tarbiah Al-Islamiah Ibnu ‘Abbas di Kuantan.
Kursus ini bertujuan membentuk staf barisan hadapan yang mesra, profesional dan berkeyakinan tinggi. Peserta diberi latihan kemahiran komunikasi yang efektif, khususnya dalam berurusan dengan ibu bapa, pelajar serta pelanggan dalaman sekolah. Fokus utama kursus adalah untuk membantu staf menangani aduan dengan tenang, cepat dan penuh empati, selain meningkatkan imej dan reputasi sekolah-sekolah Islam melalui perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.
Antara topik utama yang dibincangkan adalah seni menjawab soalan ibu bapa, teknik menenangkan pelanggan yang marah, serta adab Islami dalam komunikasi seharian. Para peserta juga diberikan panduan mengenai cara mewujudkan pengalaman pelanggan yang positif dan memberi kesan yang mendalam.
Program ini berperanan memperkukuh profesionalisme staf pendidikan Islam yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam memaparkan imej dan akhlak institusi mereka. “Staf barisan hadapan adalah wajah utama sesebuah sekolah, dan layanan yang cemerlang akan meningkatkan pengenalan nama sekolah serta menambah keyakinan ibu bapa terhadapnya,” tegas Dr. Razali.
Dengan inisiatif ini, diharapkan mutu perkhidmatan pelanggan di sekolah-sekolah Islam akan terus ditingkatkan, berlandaskan integriti, profesionalisme dan adab dalam penyampaian ilmu serta tarbiah.

Laporan Dr. Razali Maarof, Ketua Biro Profesional HALUAN Malaysia