fbpx

Merdekakan Dirimu

Merdekakan Dirimu

Merdekakan Dirimu

IPOH, PERAK, 25 Sept 2018 — Negara-negara di seluruh dunia sekarang ini berhadapan dengan masalah kesihatan yang berkaitan dengan gaya hidup. Antara gaya hidup yang berkaitan dengan kesihatan adalah yang bersangkutan dengan pemakanan dan orientasi seks yang tidak normal.

Masalah dan isu kesihatan yang berasal daripada orientasi seks yang tidak normal ini ada kaitannya dengan satu terma yang dipanggil ‘LGBT’. LGBT sangat berkait rapat dengan penularan penyakit HIV (Human Immunodeficiency Virus) atau AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome).

Apakah itu LGBT? LGBT adalah singkatan kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender. LGBT adalah orientasi seks di luar tabii. Lesbian adalah golongan wanita yang mempunyai nafsu syahwat terhadap golongan yang sama jenis dengan mereka (wanita) sahaja atau dengan kata lain, melakukan hubungan seks sejenis. Gay pula adalah golongan lelaki yang bernafsu syahwat terhadap lelaki sahaja (hubungan sejenis atau dalam bahasa Inggeris adalah Homosex).

Bagaimana dengan bisexual? Bisexual adalah golongan samada lelaki atau wanita yang melakukan hubungan seks sejenis dan berlainan jenis. Contohnya, si lelaki bernafsu untuk melakukan seks dengan lelaki dan juga dengan wanita. Wanita bisexual pun begitu sifat nafsu mereka. Dua-dua jantina mereka suka.

Seterusnya apakah itu transgender? Transgender adalah seseorang yang beridentiti jantina yang lain daripada jantina kelahiran mereka, Sebagai contoh, seseorang itu dilahirkan berjantina lelaki tetapi apabila mereka meningkat dewasa mereka berperawakan seperti wanita.

Pada pertengahan tahun 1970, para doktor di Los Angeles menemukan beberapa kes penyakit-penyakit ganjil yang jarang berlaku kepada seseorang yang sihat. Penyakit-penyakit tersebut adalah jangkitan kuman seperti ‘Pneumocystis Carinii Pneumonia’, Kanser Kaposi Sarcoma, jangkitan Virus Cytomegalovirus serta beberapa jangkitan kuman yang sangat ringan dan tidak mungkin berlaku kepada seseorang yang sihat. Penyakit-penyakit ini tambah membingungkan para pakar perubatan kerana ianya hanya terjadi dan menjangkiti “pesakit-pesakit lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki (homosex).”

Pada tahun 1982, pakar kesihatan awam Amerika Syarikat menamakan penyakit-penyakit yang terjadi kepada individu-individu yang lemah sistem pertahanan badan mereka itu sebagai “AIDS” iaitu ‘Acquired Immunodeficiency Syndrome”. Sejak daripada tahun itu, penyakit-penyakit tersebut dipantau oleh pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat.

Seterusnya pada tahun 1983, tirai terbuka dengan penemuan virus yang menyebabkan penyakit AIDS ini yang dinamakan sebagai HTLV-III/LAV (human T-cell lymphotropic virus-type III/lymphadenopathy-associated virus). Nama ini diberikan oleh pakar-pakar sains antarabangsa, dan kemudiannya nama virus berkenaan ditukar kepada Human Immunodeficiency Virus atau HIV.

Penyakit HIV ini ditemukan buat pertama kali di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki atau Homoseks. Ia seterusnya berlaku pada mereka yang berorientasi seks songsang terutama di kalangan LGBT. Majoriti pengidap AIDS ini adalah daripada kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki (lelaki homoseks), penagih dadah yang menggunakan dadah secara berkongsi jarum suntikan, mereka yang berada di institusi seperti penjara, asrama, pelacur dan pelanggan mereka serta kumpulan transgender.

Fakta asas di atas adalah sedikit sebanyak pengenalan berkaitan dengan gaya hidup songsang. Terbukti amalan kehidupan songsang ini mengundang padah yang tidak sedikit kepada pengidap mahupun masyarakat amnya. Maka lebih baik gaya hidup seperti ini dibendung dari awal dan langkah-langkah pencegahan diambil agar masyarakat tidak terjebak dengan gaya hidup yang terbukti membawa padah ini.

Tidak dinafikan masa kini saintis dan pakar perubatan akan mengatakan ubat untuk penyakit AIDS semakin canggih namun pencegahan lebih baik daripada mengubati. Pakar-pakar perubatan dan saintis tidak mampu membunuh dan menghapuskan virus ini kerana ia juga adalah makhluk ciptaan Tuhan dan pakar-pakar perubatan dan saintis perlu juga mengaku bahawa ubat untuk melawan virus ini tidak sunyi daripada kesan sampingan yang tidak diingini. Kesan jangka panjang kepada ekonomi sesebuah negara juga akan terkesan dengan teruk jika fenomena seks bebas ini berleluasa dan hasil cukai rakyat terpaksa diguna dengan banyaknya untuk mengubati dan menjaga para “mangsa LGBT” ini.

Maka, marilah sama-sama kita memerdekakan diri kita daripada mengamalkan gaya hidup songsang ini, pantau dan nasihati anak-pinak kita, dan pada mereka yang telah pun mendapat penyakit ini akibat gaya hidup sedemikian, maka pulanglah ke pangkal jalan. Segera,

Artikel seterusnya akan berkisar tentang isu-isu kesihatan yang berkaitan dengan penyakit AIDS.


Laporan Dr Kursiah Mohd Razali,
Pakar Perunding Oftalmologi,
Hospital Raja Permaisuri Bainun,
Merangkap Ahli Biro Kesihatan HALUAN