
MDKL Terus Prihatin Terhadap Golongan Yang Memerlukan
BANDAR BARU BANGI, 2 Julai 2013 – Warga kerja Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terus merealisasikan kasih sayang dan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan. Dalam kunjungan silaturahim buat kali kedua ke Ibu Pejabat HALUAN di sini, wakil-wakil MDKL telah menyampaikan sumbangan ikhlas berbentuk wang beserta pakaian dan barangan terpakai bagi menjayakan program-program bantuan kebajikan dan kemanusiaan yang dilaksanakan oleh HALUAN.
Selain daripada berkongsi maklumat dan mengeratkan lagi kerjasama yang telah sedia terjalin, kunjungan yang dianjurkan oleh Biro Wanita Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL itu jelas mempamerkan kesungguhan mereka dalam hal kebajikan. Mereka terdiri daripada Setiausaha Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL, Fauzi Din, bersama-sama sembilan orang ahli jawatankuasa Biro Wanita Kelab Sukan Dan Kebajikan.
Kunjungan mereka telah diraikan oleh Pengerusi HALUANITA, Alfiah Samingan dan beberapa kakitangan HALUAN.
Menurut Fauzi, mereka telah mengutip sumbangan berbentuk kewangan, pakaian dan barangan terpakai dari semua kakitangan MDKL untuk diserah kepada pihak atau individu yang memerlukan. “Kami memberi kepercayaan penuh kepada pihak HALUAN untuk mengedar pakaian dan barangan terpakai tersebut kepada golongan yang memerlukan atau menjualnya di Charity Shop HALUAN sebagai salah satu bentuk amal kebajikan yang dapat kami laksanakan,” jelas beliau. Fauzi melahirkan harapan agar sumbangan warga MDKL ini dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik atau ditimpa bencana. Beliau juga berharap supaya dapat menjalinkan kerjasama dengan HALUAN dalam bidang-bidang yang lain.
Semoga setiap usaha warga MDKL ini dapat menyumbang kepada kebahagian mereka yang memerlukan dan menjadi contoh ikutan kepada masyarakat. Pihak HALUAN Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih dan berharap jalinan ukhuwah dan kerjasama seperti ini akan terus berkembang.
Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Pegawai Pentadbiran HALUANITA.
Ahli rombongan Biro Wanita Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL mendengar ucapan aluan dan taklimat ringkas. Pengerusi HALUANITA, Alfiah Samingan menyampaikan ucapan aluan dan penghargaan. Simbolik penyerahan sumbangan bantuan oleh Fauzi (tengah) kepada Alfiah (kanan). Semoga terus erat… ahli rombongan MDKL dan kakitangan HALUAN bergambar kenangan dalam kunjungan kedua mereka ke Ibu Pejabat HALUAN.