Bantuan Wang Tunai Ringankan Penderitaan Mangsa Genosid di Gaza

Bantuan Wang Tunai Ringankan Penderitaan Mangsa Genosid di Gaza

Bantuan Wang Tunai Ringankan Penderitaan Mangsa Genosid di Gaza

GAZA, 17 Apr 2025 – “Dari bumi Gaza yang terus diuji dengan serangan genosid tentera penjajah zionis, kami ingin merakamkan setulus-tulus penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap kami di sini."

Itulah antara ungkapan terima kasih penduduk Gaza yang terpaksa hidup dalam khemah-khemah sementara di utara Gaza apabila menerima bantuan daripada kita. Dalam kecelaruan perit peperangan, bantuan anda menjadi sinar yang memberi harapan dan kekuatan.

Melalui usaha murni dan kerjasama dengan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd, sebanyak 50 keluarga di utara Gaza termasuk waris syuhada, mereka yang tercedera, dan yang kehilangan tempat tinggal khususnya dari kawasan al-Shuja’iyya dan Al-Sabaha, telah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Bantuan tunai ini amat bermakna kerana ia membolehkan keluarga menentukan sendiri keperluan paling mendesak yang harus dipenuhi sama ada makanan, ubat-ubatan, air bersih atau perlindungan sementara. Dalam keadaan yang tidak menentu dan sentiasa berubah, bentuk bantuan ini memberi ruang untuk mereka bertindak segera mengikut keperluan sebenar. Sumbangan dalam bentuk kewangan juga dapat sedikit sebanyak menggerakkan ekonomi setempat secara terus agar berfungsi walaupun dalam krisis.

Pendekatan ini turut diguna pakai oleh agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa lain seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Program Makanan Sedunia (WFP), dan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), yang sejak Oktober 2023 menyalurkan bantuan dalam bentuk tunai sebagai salah satu kaedah paling efektif dalam krisis kemanusiaan yang berpanjangan ini.

HALUAN Malaysia amat menghargai setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil. Setiap ringgit, setiap doa, dan setiap usaha yang dikirimkan dari Malaysia membawa makna yang tidak terhingga buat mereka yang sedang diuji keperitaan peperangan dan genosid rejim zionis.

Semoga kita terus berganding bahu dalam misi kemanusiaan ini. Gaza masih memerlukan kita dan insya-Allah, mereka tidak akan pernah melupakan kebaikan anda. Salurkan bantuan secara dalam talian di https://www.haluan.org.my/donations/gaza-emergency-appeal-2023/

 

 

 

 

 


Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia