
Sumbangan SBR Ringankan Beban Keluarga Asnaf Pulau Tuba
LANGKAWI, 21 Mac 2025 – Program Sejuta Barakah Ramadan (SBR) terus membawa harapan kepada golongan yang memerlukan. Seramai 20 penduduk Pulau Tuba yang tergolong dalam kategori asnaf telah menerima bantuan yang amat dihargai di sini semalam. Sumbangan ini meliputi barangan asas makanan harian dan wang tunai sebanyak RM100 bagi setiap keluarga.
Majlis agihan sumbangan yang diadakan di Masjid Al-Wafa ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi HALUAN Malaysia, Haji Sa’adan Omar, bersama Pengurus Pembangunan Program HALUAN Malaysia, Encik Mohd Jamil Muda, dan Setiausaha HALUAN Cawangan Kedah, Haji Mohd Fuad Razali.
Pulau Tuba dihuni oleh kira-kira 5,000 penduduk. Mereka rata-rata bergantung sepenuhnya kepada pendapatan nelayan yang tidak menentu dan sumber yang terbatas. Keadaan ini semakin mencabar terutama dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi waktu untuk meraikan keberkatan, tetapi banyak keluarga yang berdepan kesulitan. Dengan adanya bantuan ini, ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan memastikan mereka dapat menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan penuh syukur.
Sumbangan yang disampaikan bukan sahaja memberikan bantuan fizikal, tetapi juga mengingatkan kita tentang pentingnya nilai keprihatinan dan semangat tolong-menolong dalam masyarakat. Melalui program seperti ini, kita bersama-sama dapat memberi perubahan yang bermakna dalam kehidupan mereka yang memerlukan.
Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menjayakan program ini. Setiap bantuan yang diberikan adalah sangat berharga kerana ia membawa harapan dan senyuman kepada keluarga-keluarga yang amat memerlukan sokongan kita.
Marilah kita teruskan usaha ini agar lebih ramai yang dapat merasai kebaikan dan kasih sayang dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Sama-sama menyumbang melalui Sejuta Barakah Ramadan di www.barakahramadan.com.



—
Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia