Sabasun Serah Sumbangan Untuk Anak-anak Pelarian Palestin di Lubnan

Sabasun Serah Sumbangan Untuk Anak-anak Pelarian Palestin di Lubnan

Sabasun Serah Sumbangan Untuk Anak-anak Pelarian Palestin di Lubnan

Sumbangan bernilai RM100,000 membolehkan anak-anak pelarian Palestin mendapat pendidikan berterusan di Palestine Community Educare Centre (PCEC) yang beroperasi sejak 2019.

KUALA TERENGGANU, 8 Januari 2021 – Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd (Sabasun) menyerahkan bantuan bernilai RM100,000 hasil sumbangan pelanggannya untuk pendidikan anak-anak pelarian Palestin di Lubnan melalui Palestine Community Educare Centre (PCEC) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) pada tahun 2019.

Pengarah Urusan Sabasun, Che Salmi bin Che Ibrahim, telah menyerahkan sumbangan bantuan tersebut kepada Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, dalam satu majlis di premis Sabasun Kuala Terengganu, petang tadi. Wang terkumpul adalah hasil sumbangan para pelanggan Sabasun di seluruh Terengganu.

HALUAN menubuhkan PCEC di Kem Ein El-Hilweh yang terletak di selatan Beirut bagi membantu menangani krisis pelarian Palestin yang terpaksa melarikan diri dari Syria yang bergolak sejak tahun 2011. Awalnya, HALUAN menyalurkan sumbangan masyarakat Malaysia bagi menyara hidup 100 orang anak-anak yatim Syria-Palestin di kem tersebut. Ein El-Hilweh menjadi tempat perlindungan kepada 120,000 pelarian Palestin sejak tahun 1948.

PCEC menyediakan pendidikan al-Quran dan fardhu ain untuk kanak-kanak, remaja, serta golongan wanita dewasa. Di samping menjadi sebuah pusat pendidikan komuniti, pusat ini juga dapat mengawal anak-anak dan wanita pelarian Palestin daripada ancaman masalah sosial dan psikologi.

Sabasun telah sekian lama aktif dalam usaha membantu Palestin dengan menyediakan kemudahan kepada pelanggan untuk menyumbang di semua premis perniagaannya. “HALUAN amat menghargai sumbangan masyarakat Terengganu melalui Sabasun untuk membantu penduduk dan pelarian Palestin yang ditimpa musibah berganda-ganda. Saudara-saudara kita di Kem Ein-Hilweh amat gembira dengan berita ini, dalam keadaan mereka berhadapan dengan musim sejuk dan pandemik Covid-19,” kata Dr. Abdullah Sudin.

Menurut Dr. Abdullah Sudin, satu misi bantuan musim sejuk gabungan beberapa NGO Malaysia termasuk HALUAN akan berlepas ke Lubnan pada pertengahan bulan ini.


Laporan media HALUAN