Pasukan Korban HALUAN Kunjungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kenya

Pasukan Korban HALUAN Kunjungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kenya

Pasukan Korban HALUAN Kunjungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kenya

NAIROBI, KENYA, 4 Jun 2025 – Pasukan ibadah korban dan misi kemanusiaan HALUAN Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke atas pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, TYT Encik Ruzaimi Mohamad, bersempena pelaksanaan misi korban 1446H di kawasan Garissa, Kenya.

Delegasi tiga anggota yang diketuai oleh Naib Presiden 4 HALUAN, Dr. Baharudin Suri bersama Encik Abdul Fattah Mustafar dan Encik Mahmood Izzat Ikhwan Huzaidi, disambut mesra oleh TYT Ruzaimi dan pegawai kedutaan di pejabat Suruhanjaya di Runda Grove.

Dr. Baharudin menyatakan penghargaan atas kesudian pihak Suruhanjaya menerima kunjungan tersebut, yang disifatkan sebagai penghormatan kepada seluruh penyumbang dan peserta korban dari Malaysia.

Dalam sesi perbincangan yang berlangsung hampir dua jam itu, pihak HALUAN memaklumkan tentang pelaksanaan korban tahun ini melibatkan 688 ekor kambing korban dan 29 kambing akikah di perkampungan Somalia sekitar Garissa. Program ini dijalankan bersama NGO tempatan, Task Aid Foundation, memandangkan kawasan kem pelarian Dadaab masih berisiko tinggi dari segi keselamatan.

TYT Ruzaimi yang turut bertanggungjawab bagi urusan diplomatik Malaysia di beberapa negara Afrika Timur seperti Somalia, Sudan Selatan, Rwanda, Tanzania dan Uganda, turut mengambil maklum perkembangan misi HALUAN di rantau itu. Beliau kagum dengan komitmen HALUAN yang telah menjalankan 14 misi korban sejak 2011, bermula sewaktu krisis kemarau dan kebuluran di Somalia.

Beliau menyarankan agar HALUAN memperluaskan inisiatif kepada program berteraskan kelestarian sosioekonomi, pendidikan dan kebajikan yang bersifat inklusif merentas agama dan komuniti. Antara contoh yang dikongsikan ialah penglibatan Suruhanjaya dalam projek pendidikan di sebuah sekolah separa asrama di Homa Bay yang menghimpunkan pelajar pelbagai latar belakang, sebagai pendekatan berdakwah secara hikmah di kalangan majoriti bukan Islam di Kenya.

HALUAN menyambut baik saranan tersebut dan merancang untuk memperkukuh kerjasama dalam projek-projek masa depan, termasuk pembangunan ekonomi komuniti miskin melalui penternakan kambing di sekitar Garissa.

Dr. Baharudin menyimpulkan pertemuan ini sebagai sangat bermanfaat, khususnya dari segi nasihat keselamatan dan kemungkinan kerjasama strategik yang lebih luas dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

"Kesediaan TYT untuk membuka ruang kerjasama amat kami hargai. Ia memberi sinar harapan untuk memperluas manfaat kepada mereka yang memerlukan di kawasan sempadan Kenya-Somalia,” ujar beliau.


Laporan Mahmood Izzat Ikhwan Huzaidi
Wartawan MediaHALUAN