
Iftar Amal Harmoni Kongsi Kasih Sayang Merentas Benua
KUALA LUMPUR, 15 Mar 2025 – Program Iftar Amal Harmoni yang berlangsung di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat pada Sabtu lalu telah memberi peluang kepada pelajar antarabangsa, masyarakat bukan Islam, serta golongan asnaf seperti anak yatim, ibu tunggal dan mualaf untuk berbuka puasa bersama.
Program anjuran HALUAN cawangan Kuala Lumpur melalui Biro HALUAN Fitrah (BHF) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Masjid Al-Akram ini dihadiri lebih 150 peserta.
Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Ketua BHF Pusat, Dr. Basil Towil; Pengerusi Masjid Al-Akram, Datuk Ahmad Hadiatullah Maknun Ridzuan; YDP HALUAN cawangan Kuala Lumpur, Encik Azhar Idris; Presiden Global Unity Network, Encik Shah Kirit Kakulal Govindji; Pegawai Tadbir Student Development and Campus Lifestyle (SDCL) UniKL, Encik Muhammad Nizam Shamsudin; Ketua HALUANITA cawangan Kuala Lumpur, Puan Azzah Salimi serta wakil-wakil komuniti tempatan dan antarabangsa. Turut hadir adalah pelajar antarabangsa dari Afrika Selatan, India, Nigeria, Rusia, Jepun, Pakistan dan China.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti ucapan alu-aluan oleh Datuk Ahmad Hadiatullah Maknun, sebelum dirasmikan oleh Dr. Basil Towil. Kemuncak acara ialah perkongsian Encik Shah Kirit mengenai kelebihan berpuasa serta memberi pengetahuan tentang amalan berpuasa dan pengenalan Islam. Perkongsian beliau membuka mata ramai hadirin terutamanya jemputan bukan Islam yang turut disantuni. Malah masyarakat bukan Islam turut diberi peluang untuk menyertai sesi lawatan ke masjid (Mosque Tour), mendengar laungan azan secara langsung, serta berbuka puasa bersama. Mereka juga berpeluang untuk menyaksikan sendiri solat maghrib berjemaah.
Seorang pelajar dari China,Guo Jinting, meluahkan keterujaannya setelah diundang menyertai program ini. Beliau menyatakan pengalaman menyaksikan solat maghrib berjemaah dan peluang untuk bertanya mengenai Islam dan budaya Melayu sebagai pengalaman yang sangat unik. "Saya teruja untuk datang dan berharap rakan-rakan lain juga dapat menyertai program ini pada masa hadapan," kata beliau.
Ketua Exco Pelajar Antarabangsa UniKL yang berasal dari Nigeria, Ashlee Wadzanai Gwangwadza turut berkongsi, "Program ini sangat bermakna kerana ia memberi peluang kepada kami untuk memahami budaya Melayu, mencari keamanan dan perpaduan, serta belajar bahawa dosa adalah perbuatan individu, bukan budaya.Beliau sangat teruja serta gembira kerana majlis dikendalikan dalam Bahasa Inggeris.
Di majlis ini juga Puan Nur Shuhada Adriel, seorang ibu tunggal yang telah memeluk Islam sejak sembilan tahun lalu, berkongsi cabaran menguruskan kewangan sambil membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah berusia 16, 14 dan 13 tahun.
Kerjasama antara masjid, NGO, dan institusi pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta, dilihat sebagai langkah penting dalam memupuk pemahaman dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama. Kejayaan program ini juga memberikan impak positif dalam membetulkan kecelaruan kefahaman terhadap Islam melalui interaksi yang lebih dekat dengan komuniti bukan Islam.
Pengarah Program, Encik Azhari Johari mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menyumbangkan makanan, belian meja dan barangan dapur untuk Ramadan bagi mualaf, ibu tunggal dan anak yatim. Beliau turut menambah bahawa sambutan yang semakin meningkat pada program tahun ini mencerminkan keberkesanan usaha BHF dalam memupuk keharmonian masyarakat. Ini adalah kali ketiga berturut-turut HALUAN cawangan Kuala Lumpur melaksanakan majlis iftar harmoni.
“Di masa hadapan, saya amat mengesyorkan agar lebih ramai penyumbang terutama golongan korporat dan penderma untuk tampil membantu kami menjayakan aktiviti dakwah yang mampu mengakrabkan golongan bukan Islam kepada keindahan deen Islam. Program ini membuktikan bahawa melalui gabungan aktiviti bersama, kita dapat memupuk pemahaman antara agama dan kaum serta menjadikan negara kita lebih harmonis serta mengelak segala prejudis atau prasangka,” ujar beliau.





—
Report by Durratun Nasuha Mohamad
Setiausaha Program Iftar Amal Harmoni 2025