
HALUAN Sertai Kempen Bantuan Kemanusiaan Bina Semula Syria
CYBERJAYA, 27 Mac 2025 – Gabungan Bina Semula Syria (GBSS) yang turut disertai oleh HALUAN Malaysia telah melancarkan kempen bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Syria yang terkesan akibat konflik panjang yang melanda negara tersebut. Majlis pelancaran kempen yang berlangsung di Rekascape, Cyberjaya itu dihadiri hampir 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha kemanusiaan ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang merasmikan majlis tersebut menekankan pentingnya solidariti global dalam usaha membangunkan semula Syria selepas kejatuhan rejim Bashar. Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi ketika menyertai misi kemanusiaan di Syria di mana beliau menyaksikan sendiri penderitaan rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal dan keluarga akibat perang.
Pelancaran GBSS ini memfokuskan bantuan kemanusiaan berskala besar, termasuk pemulihan infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi di Syria. Dalam majlis ini, pelarian Syria yang hadir turut menerima bantuan makanan asas dan sumbangan wang tunai bagi persiapan menyambut Syawal.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi HALUAN, Encik Saadan Omar; Pengurus Pembangunan Projek HALUAN, Mohd Jamil Muda; Pengerusi GBSS, Mohd Hakim Mohd Nor; serta Pengarah Grand Iftar for Humanity, Syahrir Azraf Saleh.
Dalam majlis tersebut, Encik Saadan telah menyampaikan cek cura daripada HALUAN sebagai tanda dukungan terhadap kempen bantuan kemanusiaan ini.
Dr. Zulkifli turut menegaskan bahawa usaha kolektif yang dilakukan oleh 20 NGO ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah, tetapi juga memberikan impak yang lebih besar dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Diharapkan dengan sokongan semua pihak, kempen ini dapat memberikan harapan baru kepada rakyat Syria untuk memulakan kehidupan semula setelah bertahun-tahun menghadapi penderitaan akibat peperangan dan penindasan.



—
Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia