
HALUAN Hulur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran di Kampung Kijang
KOTA BHARU, 29 Apr 2025 – Tragedi kebakaran yang menimpa lapan buah keluarga di Kampung Kijang di sini sekitar jam 4.50 petang semalam mendapat perhatian dan tindakan pantas daripada HALUAN cawangan Kelantan yang tampil membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Seramai 38 orang termasuk kanak-kanak tinggal sehelai sepinggang setelah sebahagian besar rumah mereka musnah dijilat api.
HALUAN Kelantan melalui Biro Kebajikan telah turun ke lokasi bagi menilai situasi dan menyalurkan bantuan segera. Berdasarkan maklumat mangsa daripada Penghulu Mukim Binjai (DUN Kijang), Encik Nik Ab Rahman Nik Mat, bantuan awal telah disampaikan dalam bentuk keperluan asas seperti selimut, sejadah, tuala mandi, biskut, air mineral, serta kotak selamat untuk menyimpan barang atau dokumen penting. Langkah bantuan awal amat penting bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para mangsa.
Tidak ketinggalan, Biro HALUANITA Kelantan turut turun padang menyantuni mangsa dengan menyediakan makanan dan mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh disalurkan dalam masa terdekat. Kehadiran mereka bukan sekadar membawa bantuan fizikal, tetapi juga sokongan emosi yang sangat dihargai oleh keluarga mangsa.
Insiden ini mengingatkan kita semua akan kepentingan untuk sentiasa cakna dan saling membantu dalam menghadapi musibah. Dalam masyarakat yang harmoni, tiada siapa harus dibiarkan sendirian.







Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia