Agihan Iftar SBR di Mindanao dan Manila

Agihan Iftar SBR di Mindanao dan Manila

Agihan Iftar SBR di Mindanao dan Manila

FILIPINA, 13 Mac 2025 – Telah diketahui umum bahawa ganjaran bagi mereka yang membantu orang lain berbuka puasa adalah sangat besar, sehingga penyumbang akan memperoleh pahala yang setara dengan orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka. Lebih bermakna lagi apabila orang yang dibantu itu terdiri daripada golongan saudara baru serta pelajar agama daripada keluarga anak yatim dan miskin.

Sebahagian daripada sumbangan anda melalui kempen “Tajaan Iftar Sejuta Barakah Ramadan (SBR) 6.0” telah pun diagihkan kepada keluarga dan pelajar di Manila serta wilayah Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM).

Semalam di Manila, seramai 60 ahli kariah telah menyertai majlis berbuka puasa di Masjid IORM di Barangay San Rafael IV, Longbeach Noveleta, sebuah perkampungan yang terletak sekitar 30 kilometer dari kota Manila. Islam The Original Religion of Mankind (IORM) Inc. adalah sebuah pertubuhan dakwah di Filipina.

Di BARMM, seramai 200 pelajar dan guru di lima sekolah anak yatim turut menerima manfaat daripada sumbangan ini. Di Markaz Alhikmah dan Markadz Kameen yang terletak di Pamalian 3, Tugunan Special Geographic Area, 30 pelajar bersama guru di setiap sekolah menerima juadah berbuka. Begitu juga, seramai 30 pelajar dan guru di Markadz Ka’meen di Barangay Pamalian 2 turut menerima juadah berbuka puasa.

Agihan bantuan turut disampaikan kepada 45 pelajar dan guru di Markadz Pamalian Al-Islamiyah yang terletak di Pamalian, Tugunan Special Geographic Area, serta 50 pelajar lelaki dan guru mereka di Markadz Da’rul Oyom yang terletak di Barangay Tapodok, Tugunan Special Geographic Area.

Di pertengahan Ramadan ini, marilah kita menggandakan amalan bersedekah dengan membantu mereka yang sangat memerlukan. Sumbangan boleh disalurkan melalui www.barakahramadan.com.


Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia