Syurga Menanti Keluarga Yang Bahagia
SKUDAI, 10 Dis 2012 – Mahasiswa UTM di sini berpeluang menikmati wacana khas Mahligai Impian 2012 yang telah memaparkan kesantunan hidup berumahtangga secara Islami sebagai teras menggapai syurga.
Wacana seharian pada 9 Disember anjuran Biro HALUANITA Negeri Johor ini dihadiri sekitar 130 orang peserta terdiri daripada pelajar UTM dan ahli-ahli HALUAN. Menurut Pengarahnya, Pn. Hjh. Yasmin binti Talib di antara objektif wacana ini adalah untuk menyediakan asas kepada pasangan untuk mempertingkatkan ilmu dalam membentuk rumahtangga bahagia. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Sr. Abdul Hakim Mohammad, YDP HALUAN Johor.
“Komunikasi yang berkesan juga amat penting dalam membina keluarga yang harmoni. Di samping itu, kami ingin memberi kefahaman kepada pasangan muda dan bakal pengantin bahawa perkahwinan atau rumahtangga itu adalah bagi memperolehi redha Allah SWT,” tambah beliau lagi.
Peserta berpeluang mendengar ceramah “Membangun Cinta dalam Baitul Muslim” oleh Encik Rosdi Baharom, dikuti ceramah bertajuk “Keluarga Bahagia: Antara Realiti dan Fantasi” yang telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahim Hamid dari Pulau Pinang.
Peserta semakin teruja dan ini terbukti bilamana sesi forum menjadi hangat dengan pelbagai persoalan dan pendapat yang timbul, demi mempelajari teknik membina baitul muslim yang dirahmati Allah.
Seorang peserta bernama Khairul Nizam Mohamadiah dari Johor Bahru berkata, “Program sebegini dapat meningkatkan kefahaman kami khususnya yang telah berumahtangga tentang komunikasi berkesan antara suami dan isteri dalam membentuk rumahtangga yang harmoni.”
Laporan Mohd Khairy Abd Jaafar